Tuesday, 11 January 2005

Dari Dewan Kuliah ke Tengah Pentas

Oleh GANESAN DURAISAMY
Utusan Malaysia, 10 Januari 2005
.
TANGGAPAN bahawa pihak pengurusan serta pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak menunjukkan minat terhadap sastera dan bahasa Malaysia terbukti jauh meleset.

Subjek berkenaan boleh dijadikan menarik jika tenaga pengajar menunjukkan komitmen serta mampu menimbulkan suasana yang sesuai untuk para pelajar menguasai bahasa dan sastera.

Demikian dibuktikan oleh tenaga pengajar dan pelajar Kolej Prime USJ, Subang Jaya baru-baru ini melalui acara Baca Cerpen Pulau Cinta.

Ketua Bahagian Akademiknya, Norashikin Baharom berkata, beliau menyambut baik usaha yang dilakukan pensyarah kursus Bahasa Malaysia, Uthaya Sankar SB dalam menghidupkan acara sastera dan bahasa di kolej berkenaan.

"Uthaya berjaya menggunakan pengalaman dan minatnya dalam bidang penulisan, bahasa dan sastera untuk menarik minat pelajar kolej ini ke arah yang sama melalui pelbagai aktiviti luar," katanya.

Acara Baca Cerpen Pulau Cinta menampilkan sekitar 44 pelajar serta kakitangan pelbagai kaum dari Kolej Prime USJ membaca tujuh buah cerpen secara berturutan di pentas.

Antara cerpen yang dijadikan teks adalah Bitara Sita, Sengketa Pulau Cinta, Sasterawan Pulau Cinta, Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta dan Pesona Kad Cinta Kita.

Para peserta pula melakukan kelainan pada acara ini di mana dialog-dialog yang terdapat pada teks dibaca oleh peserta yang berlainan; lalu menjadikan pengalaman mendengar pembacaan cerpen umpama mendengar drama radio.

Kakitangan kolej, termasuk ketua-ketua bahagian, turut mengambil bahagian sebagai tanda sokongan terhadap usaha memasyarakatkan sastera serta mendaulatkan bahasa Malaysia.

Peserta yang mengambil bahagian juga terdiri daripada pelajar pelbagai kaum dari jurusan kejuruteraan, perniagaan, sains dan teknologi maklumat.

Baca Cerpen Pulau Cinta adalah anjuran Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Prime USJ serta Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!