1 Oct 2004

Patah Tumbuh, Hilang Tak Berganti

Besarnya sumbangan Allahyarham Dr Haji Othman Puteh dalam melahirkan penulis generasi muda tidak dapat dinafikan, apatah lagi dipertikaikan. Tanyalah pada mana-mana penulis yang lahir mulai tahun 1980-an dan pasti mereka mengaku “Raja Sastera Remaja” menjadi pembimbing dan guru; secara langsung atau tidak langsung.

Bagi kelompok penulis kaum India yang menulis karya bahasa kebangsaan, beliau turut menjadi pendorong dan pemberi motivasi. Sesungguhnya Allahyarham adalah “mahaguru” dan “bapa” kepada para penulis muda tanpa mengira kaum dan darjat.

Saya mengenali beliau secara peribadi sewaktu menyertai Minggu Penulis Remaja pada tahun 1991. Pucuk diundang, ulam mendatang kerana karya-karya beliau – khususnya cerpen-cerpen non-konvensional – menjadi kegemaran saya sejak beberapa tahun terdahulu.

Saroja Theavy Balakrishnan pula lebih bertuah kerana berpeluang mendapat bimbingan formal daripada Allahyarham semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1990-an, peluang yang sama diperoleh Srivali Seeridaram dan beberapa individu lain.

Sering kali, apabila kami bertemu, Pak Haji Othman Puteh (demikian saya gemar memanggil beliau; rujuk Siru Kambam, hlm. x) akan menyatakan perlunya lebih ramai penulis kaum India terlibat dalam sastera kebangsaan.

“Pernah ada Jasgunaa Sangani mendapat bimbingan MPR sebelum Uthaya tetapi kemudian hilang begitu sahaja,” kata beliau pada MPR 1997 sejurus selepas saya menyampaikan kertas kerja. “Selepas Uthaya pula beberapa lagi remaja kaum India menyertai MPR. Sayang sekali mereka juga tidak meneruskan penglibatan dalam bidang penulisan.”

Saroja dan saya sendiri tersenarai sebagai “anak emas” beliau; walaupun kami tidak berpeluang menjadi “anak angkat” secara rasmi seperti Denial Jabon Janaun, Julia Unggai, Jariah Taha, Jonathan Kandok dan rakan-rakan mereka melalui Projek Anak Angkat DBP Cawangan Sabah.

Namun, pada hakikatnya, beliau merupakan father figure bagi kami. Beliau tidak pernah kedekut ilmu. Walaupun beliau sentiasa sibuk, namun, kesibukan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak menghulurkan bantuan.

“Apa cerita?”

Demikian beliau akan bertanya setiap kali saya menghubungi beliau. Pada Ogos 1999, saya menyampaikan ‘cerita’ mengenai cadangan menubuhkan persatuan khusus bagi penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Beliau menyatakan sokongan, mengucapkan tahniah serta menasihatkan supaya aktif.
.
(Petikan rencana yang disiarkan dalam majalah Minda, Oktober 2004)