29 Mar 2004

Bengkel Cerpen Kavyan Dapat Sambutan

Utusan Malaysia, 29 Mac 2004

BENGKEL Karyawan Muda anjuran Yayasan Sasterawan Kaum India (Kavyan) baru-baru ini berlangsung dalam keadaan sederhana tetapi penuh manfaat apabila para peserta diberi penerangan, nota serta latihan terperinci mengenai penulisan cerpen.

Aktiviti yang dianjurkan oleh Kavyan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor, Lembaga Muzium Selangor berlangsung di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah.

Bengkel kendalian penulis, Uthaya Sankar SB itu bukan sahaja disertai pelajar dan remaja tetapi juga sekumpulan murid sekolah rendah yang sama-sama berminat mempelajari teknik penulisan cerpen Bahasa Malaysia daripada pembimbing berpengalaman.

Kesemua 40 peserta juga diberi latihan individu dan berkumpulan untuk menguji serta memantapkan pemahaman mereka mengenai apa yang dipelajari pada bengkel sehari itu.

Rata-rata peserta melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mendapat bimbingan yang menyeluruh dan sistematik; serta disampaikan secara mudah dan menarik oleh tokoh yang prolifik.

Bengkel Karyawan Muda adalah lanjutan daripada siri bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Kavyan sejak tahun 1999 dalam usaha mengesan, membimbing serta mengasah bakat baru daripada kalangan remaja pelbagai kaum.