7 Dec 2022

Uthaya Ditahan Polis — Catatan Rakan-rakan

“Saya mengenali Uthaya sejak sekitar 2018. Apabila saya mendapat berita beliau ditahan polis pada 11 April 2022, saya memang terkejut, risau, resah, dan sedih. Saya juga kasihan kerana ini pengalaman pertama Uthaya ditangkap polis dan masuk lokap. Namun, kemudian saya rasa lega apabila diberitahu, beliau dilayan secara profesional sepanjang dalam tahanan. Saya sering menghubungi anak saudaranya (Harveen Sankar) untuk mengetahui perkembangan. Selepas dibebaskan, Uthaya ‘berehat’ beberapa bulan daripada Facebook. Memang terasa rindu untuk membaca catatan beliau yang sentiasa mencabar minda.” – Sasitharan SG (Ayer Itam, Pulau Pinang)

“Saya mengenali Uthaya sejak 2014 melalui Facebook. Saya membaca dan meminati tulisan beliau. Saya amat terkejut apabila mendapat tahu Uthaya ditahan polis pada 11 April 2022. Beberapa orang rakan dan ahli keluarga juga memberitahu saya peristiwa itu. Uthaya juga ada memaklumkan perkembangan melalui WhatsApp dan media sosial sehingga telefon beliau dirampas.

“Pada mulanya saya fikir kes beliau ditahan tidaklah begitu serius. Apabila beliau meminta bantuan peguam, barulah saya faham situasi sebenar yang sedang dihadapi.

“Apabila tiada maklum balas melalui WhatsApp daripada Uthaya, saya menghubungi anak beliau melalui Messenger. Penulis lain juga menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan. Saya pun tidak tahu apa yang sedang berlaku dan tidak dapat memberi sebarang jawapan kepada mereka. Pada masa itulah saya berhubung dengan anak Uthaya. Saya hanya dapat memberi sokongan moral kepada anak dan isteri beliau.

“Saya berasa syukur apabila beliau dibebaskan. Saya rasa Uthaya harus terus menulis perkara yang benar, betul, dan tepat kerana beliau menulis selepas membuat pembacaan dan kajian menyeluruh. Tulisan Uthaya menepati prinsip ‘Berani Kerana Benar’.” – Anuradha Chelliah (Banting, Selangor)

“Saya kenali Uthaya sejak 1994. Memang amat terkejut, walaupun saya tahu mungkin akan mengundang situasi seperti ini berdasarkan penulisan berani beliau di Facebook sejak dahulu.

“Sepanjang Uthaya dalam tahanan polis, saya berharap sangat segala urusan dipermudahkan dan tidak akan ada tindakan tegas diambil terhadapnya. Pada keesokan hari, saya amat lega dan apa yang saya harapkan tercapai juga.

“Saya rasa, Uthaya sentiasa perlu berhati-hati apabila menulis berkaitan agama atau kaum. Lagipun, di negara kita tidak mengamalkan kebebasan bersuara yang sepenuhnya.” – M. Mahendran (Bentong, Pahang)

[Akan dikemas kini apabila ada komen/reaksi baharu]