Buku terbaharu saya [Februari 2022] berjudul Suvarna Bhumi: Identiti dan Jati Diri. Ia setebal 510 halaman dan memuatkan 74 esei merangkumi pelbagai topik berkaitan masyarakat majmuk di Malaysia.
Memandangkan judulnya Suvarna Bhumi, pasti pembaca akan tertanya-tanya sama ada buku ini turut merungkai lokasi sebenar kawasan bernama Suvarnabhumi yang pernah dibaca dalam karya epik dan buku sejarah.
Malah, sewaktu saya sedang giat mempromosi kulit buku ini di media sosial, seorang individu dari Indonesia mengirim mesej dan bertanya sama ada saya menghuraikan secara tepat sejarah Sumatra dalam tulisan saya.
Pertanyaan ini agak berasas kerana gelaran Golden Chersonese (Semenanjung Emas), Suvarnadvipa (Kepulauan Emas), Suvarnapura (Bandar Emas) dan Suvarnabhumi (Tanah Emas) pernah digunakan apabila merujuk kepada suatu kawasan yang masih tidak dapat dipastikan lokasinya secara tepat dan khusus.
Ada pandangan mengatakan gelaran itu merujuk kepada Kerajaan Funan di Kemboja, Suwannaphum di Thailand dan Shonar Bangla di Bangladesh. Malah, ada pandangan mengatakan ia merujuk kepada Myanmar, Sumatra, Jawa, Filipina, Semenanjung Tanah Melayu atau keseluruhan Nusantara (bukan ibu negara baharu Indonesia).
Namun begitu, esei-esei dalam buku terbaharu saya tidak bertujuan mengenal pasti lokasi Suvarnabhumi. Sebaliknya, sebagaimana dilakukan menerusi buku Malaiur Manikam (2015) dan Mandala Bicara (2016), saya mahu membawa pembaca majmuk di Malaysia masuk ke dalam diri untuk mengenal hal-hal berkaitan identiti dan jati diri yang mungkin semakin dilupai.
Dalam pada itu, saya sendiri memang amat berminat untuk meneruskan pencarian maklumat berkaitan sejarah dan kisah berhubung kawasan yang digelar Suvarnabhumi. Malangnya, keseluruhan koleksi bahan rujukan di perpustakaan saya musnah dalam banjir besar yang melanda Taman Sri Muda pada 18 Disember 2021.
Maka, saya beralih kepada Internet untuk mencari maklumat berkaitan Suvarnabhumi. Hasil carian pasti membawa kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Thailand. Namanya diberi oleh Raja Bhumibol Adulyadej dengan rujukan kepada kerajaan Buddha di India pada masa silam. Untuk rekod, “Suvarna” (emas) dan “bhumi” (tanah) adalah istilah Sanskrit dan Pali.
Rencana penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Esei 2024.
[Rencana ini ditulis pada 3 Februari 2022 dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 12 Februari 2022. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]