Baru-baru ini, timbul isu pemaparan
“Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan yang dikeluarkan oleh Lembaga
Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ramai orang berkongsi isu berkenaan di
media sosial (khasnya Facebook) dan
meluahkan rasa tidak bersetuju dengan tindakan LP dan KPM.
LP dalam kenyataan media bertarikh 14
Jun 2016 mengatakan bahawa amalan menulis “Bukan Islam” pada slip peperiksaan
bagi calon “Bukan Melayu” yang menduduki peperiksaan dilaksanakan sejak 2005.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.
Kamalanathan menerusi kenyataan di Facebook
pada 14 Jun 2016 memberikan alasan kononnya status “Bukan Islam” diletak pada
slip peperiksaan bagi memastikan calon yang mengambil subjek Pendidikan Islam
atau Pendidikan Moral diberikan kertas soalan yang betul. [The question “Bukan Islam” is applicable for the “Pendidikan Islam or
Pendidikan Moral” subject to ensure the right question paper is given to those
sitting for this subject.]
“Pihak LP bersedia mempertimbang untuk
melaksanakan perubahan dan penambahbaikan paparan pada Kenyataan Kemasukan
Peperiksaan SPMU yang akan datang setelah mendapat persetujuan Pengurusan
Tertinggi KPM,” kata kenyataan media LP (14 Jun 2016).
Pada pendapat saya sebagai presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan
pemilik Perunding Media, Motivasi dan
Penerbitan Uthaya, pandangan orang ramai perlu diberikan perhatian serius
sebelum Pengurusan Tertinggi KPM dan LP mengambil tindakan sewajarnya dengan
kadar segera.
Bagi memudahkan proses mengumpulkan
pandangan orang ramai, saya menyediakan borang yang boleh diisi dalam talian (online) di http://kavyanregistrationbeta.yolasite.com/kpm.php [BACA
CATATAN DI BLOG]
Masyarakat pelbagai kaum dan agama dari
seluruh negara berpeluang mengisi borang itu dari 12:00 tengah hari, 15 Jun
2016, hingga 12:00 tengah hari, 16 Jun 2016; iaitu dalam tempoh 24 jam.
Tiga pilihan yang diberikan adalah:
(1) Kekalkan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan bagi
calon Bukan Melayu. Tiada sebarang masalah.
(2) Nyatakan agama sebenar (misalnya “Hindu”, “Kristian”, “Buddha”,
“Sikh” dan “Islam”) pada slip peperiksaan bagi semua calon. Barulah adil.
(3) Mansuhkan terus pemaparan agama pada slip
peperiksaan semua calon. Tidak timbul keperluan untuk menyatakan agama dalam
konteks peperiksaan. Alasan kononnya pemaparan “Islam” dan “Bukan Islam” adalah
bagi memastikan kertas soalan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak
tersilap diberikan kepada calon adalah amat tidak logik dan tidak boleh
diterima akal rasional.
Saringan dan semakan dilakukan
secara teliti bagi memastikan tidak ada lebih daripada satu borang daripada
individu yang sama. Hanya borang yang lengkap dengan nama, dan nombor telefon
atau e-mel, diambil kira.
Dalam tempoh 24 jam berkenaan, iaitu
sehingga 12:00 tengah hari, 16 Jun 2016, sejumlah 565 borang diterima
daripada orang ramai (responden) yang prihatin terhadap isu yang diperkatakan.
Tidak ada seorang pun responden memilih untuk mengekalkan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan bagi
calon Bukan Melayu.
Hal ini membuktikan bahawa rakyat
Malaysia daripada pelbagai kaum, etnik dan agama di seluruh negara membantah
serta tidak bersetuju dengan tindakan LP dan KPM meletakkan status “Bukan
Islam” pada slip peperiksaan.
Sekitar 10% individu yang mengemukakan pandangan meminta supaya LP dan KPM
berlaku adil dengan menyatakan agama sebenar (misalnya “Hindu”, “Kristian”,
“Buddha”, “Sikh” dan “Islam”) pada slip peperiksaan bagi semua calon.
Hampir 90% rakyat Malaysia yang mengemukakan pandangan meminta
supaya dimansuhkan terus pemaparan agama pada
slip peperiksaan semua calon. Hal ini
kerana tidak timbul keperluan untuk menyatakan agama dalam konteks peperiksaan.
Alasan kononnya
pemaparan “Islam” dan “Bukan Islam” adalah bagi memastikan kertas soalan
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak tersilap diberikan kepada calon
adalah amat tidak logik dan tidak boleh diterima akal rasional.
Maka, saya selaku
individu yang menyediakan borang dalam talian (online) bagi mengumpulkan pandangan orang ramai mahu mengeluarkan
kenyataan rasmi mewakili para responden pelbagai kaum dan agama dari seluruh
negara bahawa:
Lembaga Peperiksaan
(LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mana-mana pihak perlu
menghentikan segera amalan meletakkan status “Bukan Islam” pada slip peperiksaan
dan mana-mana dokumen rasmi.
Saya mewakili para
responden meminta kerjasama pihak media
menyiarkan pandangan ini untuk makluman umum. [BACA BERITA DI BERITA DAILY] [BACA RENCANA DI ROKETKINI]
Saya juga akan menulis surat rasmi kepada Menteri Pendidikan dan Pengarah
Peperiksaan berhubung perkara ini untuk tindakan lanjut; serta bersedia
mengatur pertemuan dengan mereka untuk perbincangan lanjut.
Wakil media yang mahu melihat borang-borang yang diisi oleh para
responden sila hubungi saya kerana saya bercadang mengatur satu sesi khas
bersama-sama wakil media pada petang Ahad,
19 Jun 2016 di Shah Alam; sekiranya ada permintaan dan janji temu.