12 Jan 2016

SJKT dan Penghayatan Bahasa Malaysia


Akhbar Utusan Malaysia (25 Oktober 2014) memetik “pendedahan” pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, iaitu berdasarkan hasil kajian dalam kalangan 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 79 kem seluruh negara pada 2010, sejumlah 604 pelatih kaum Cina dan India langsung tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia.

“Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baru tiga bulan sudah boleh berbahasa Melayu,” sindir Ku Seman Ku Hussian di Mingguan Malaysia (26 Oktober 2014).

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berpengalaman mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di sekolah kebangsaan (SK), SJKT, SJKC dan sekolah menengah aliran Cina di seluruh negara sejak 1999.

Hasil pengalaman dan penelitian Kavyan, ramai murid dan guru di sekolah vernakular ada minat dan penguasaan Bahasa Malaysia yang sangat menakjubkan.

Semasa berucap pada Perhimpunan Agung MCA (12 Oktober 2014), pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata: “Tolong jangan bimbang tentang sekolah Cina kerana ia sudah dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Malah ia termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara.”

Sewaktu mengulas janji Perdana Menteri, sebuah rencana di Mingguan Malaysia (19 Oktober 2014) pula menyebut tentang “hakikatnya pada hari ini hampir semua murid SJKC didapati kurang fasih berbahasa Melayu.”

Menurut penulis rencana itu lagi: “Hakikatnya yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah murid SJKC (mahupun SJKT) masih ramai ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Malaysia.”

Dalam soal kepentingan Bahasa Malaysia, Kavyan bersetuju dengan pandangan Awang (Utusan Malaysia, 14 Oktober 2014) iaitu “keupayaan menguasai dan menggunakan secara tertib bahasa kebangsaan sama sekali tidak akan melunturkan kecintaan seseorang kepada bahasa ibundanya.”

Menyedari hakikat jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah vernakular terhad serta peluang menggunakan bahasa berkenaan di luar bilik darjah juga terhad, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP serta Kavyan menjalankan program MBM di beberapa SJKT dan SJKC sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 2014 dan 2015.

Dengan kerjasama Gemilang Publishing Sdn Bhd, program MBM turut diadakan di beberapa sekolah rendah dan menengah vernakular di Kuching, Sarawak dan Kota Bharu, Kelantan.

Esei penuh didokumentasi dalam Suvarna Bhumi (2022).

[Makalah ini ditulis pada 3 Januari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 5 Januari 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]