Apabila menonton filem
atau siri televisyen, saya suka meneliti ciri intertekstual yang terkandung di
dalamnya. Hal ini berlaku secara spontan kerana saya menonton filem bukan
sekadar untuk berhibur tetapi untuk merangsang pemikiran kreatif dan kritikal
secara yang menyeronokkan.
Filem The
Words (2012) adalah mengenai apa yang terkandung di dalam dan di luar
sebuah novel berjudul The Words.
Bagaimanapun novel berkenaan tiada apa-apa kaitan dengan autobiografi Jean-Paul
Sartre berjudul Les Mots (1963), di
mana judul itu bermakna “the words” dalam Bahasa Perancis.
Seorang pemuda (lakonan
Ben Barnes) yang baru kematian anak dan baru ditinggalkan isteri mula menulis –
menaip menggunakan mesin taip – kisah-kisah berdasarkan pengalamannya.
Manuskrip itu kemudian hilang apabila tertinggal di dalam kereta api yang
dinaiki isterinya.
Lebih 50 tahun
kemudian, manuskrip berkenaan ditemui seorang penulis muda (lakonan Bradley
Cooper) yang menaipnya semula bulat-bulat – menggunakan komputer riba – untuk
diterbitkan. Lalu, penulis asal (yang kini sudah tua; lakonan Jeremy Irons)
datang untuk memberitahu bahawa kisah dalam buku itu adalah sebenarnya apa yang
ditulisnya dan kemudian hilang.
Kisah itulah yang
secara amnya disajikan menerusi novel berjudul The Words karya seorang pengarang terkenal (lakonan Dennis Quaid)
dalam filem berjudul The Words yang
ditulis serta diarahkan oleh Brian Klugman dan Lee Sternthal. Cukup
memeningkan, bukan?
Apabila menonton filem
berkenaan pada 4 Januari 2013, saya segera teringat akan insiden makalah saya
mengenai Kathakali (Dewan Siswa,
Oktober 1995) yang turut saya paparkan di laman sesawang diplagiat seorang
individu tidak dikenali menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya (Februari 2012).
Pengalaman plagiat itu
turut saya gunakan untuk menghasilkan cerpen “Ingin Jadi Sasterawan” (Fokus SPM,
Julai 2012) dan “Penulis dari Pulau Cinta” (Tunas
Cipta, Oktober 2012). Kedua-dua cerpen itu saya jadikan contoh dalam
bengkel penulisan cerpen dan makalah anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) untuk mengingatkan peserta tentang
bahaya mencuri (menciplak) karya orang lain.
Bagaimanapun, apabila
cerpen saya disiarkan di Tunas Cipta,
ada pula pihak luar yang tampil “mencucuk” orang dalam di Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) dengan menyebarkan khabar angin bahawa saya menulis cerpen berkenaan
untuk memperli dan mempersenda DBP. Ternyata memang puak anti-Uthaya dan anti-Kavyan tidak pernah duduk diam dan tidak pernah menggunakan otak
dalam usaha mereka yang bertentangan dengan ajaran mana-mana agama.
Dalam pada itu, individu
yang memplagiat makalah Kathakali sudah disenarai hitamkan oleh DBP secara
profesional dan penuh beretika menerusi surat bertarikh 1 Mac 2012. Saya kagum
dengan sikap tegas yang ditunjukkan. Itulah juga mesej yang mahu saya sampaikan
menerusi dua cerpen tadi; iaitu risiko yang terpaksa ditanggung jika menciplak atau
memplagiat karya orang.
Hubungan filem dengan karya lain
Saya ada menyebut
istilah “intertekstual” pada bahagian awal makalah ini. Teori intertekstual dikemukakan oleh
Mikhail Bakhtin dalam Speech Genre and
Other Late Essays (1986), Julia Kristeva dalam Desire in Language: A Semiotic Approach of Literature and Art
(1980) dan tokoh tempatan, Mana Sikana dalam Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998). Proses pembacaan
dan menonton filem akan menjadi amat menarik dan lebih bermakna sekiranya kita
dapat mempraktikkan teori ini secara santai.
Dalam
filem The Words, berlaku dialog (kaitan)
yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran; iaitu kaitan antara
filem itu dengan novel berjudul The Words
serta manuskrip asal yang kononnya ditulis orang lain. Perkara-perkara berkaitan
“dialog” ini dihuraikan oleh Bakhtin dalam bukunya. Dalam filem ini juga
terdapat beberapa lagi teks; iaitu ciri yang ditekankan oleh Kristeva.
Dalam pada itu, plot
filem The Words dikatakan sangat
serupa dengan sebuah filem Jerman berjudul Lila,
Lila (2009) yang dibuat berdasarkan novel berjudul Lila, Lila (2004) karya Martin Suter. Agak menarik untuk
diperhatikan bahawa sebuah filem yang mengemukakan isu plagiat, turut berdepan
kemungkinan memplagiat idea daripada filem/novel lain.
Penulis dan pengarah The Words pula mengatakan bahawa idea
bagi filem itu diperoleh daripada kisah benar pengarang terkemuka, Ernest
Hemingway yang dikatakan pernah kehilangan sebuah beg berisi sejumlah
manuskrip.
Sesungguhnya, pada
Disember 1922, isteri Hemingway iaitu Elizabeth Hadley Richardson dilaporkan
pergi bertemu suaminya di Geneva tetapi tertinggal sebuah beg berisi sejumlah
manuskrip asal karya Hemingway di dalam kereta api yang dinaiki.
Kisah itulah yang
kononnya dikembangkan menjadi skrip filem The
Words sekitar dua belas tahun lalu – iaitu sekitar tahun 2000 – dengan
mengutarakan pertanyaan “what if”
(bagaimana jika). Teknik “what if”
memang turut saya sarankan kepada peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan.
Ringkasnya, filem The Words ada sekurang-kurangnya tiga
lapisan cerita mengenai empat watak berbeza. Belum lagi mengambil kira beberapa
lapisan kisah di luar filem berkenaan. Golongan penulis dan peminat filem yang
mencabar minda pasti akan mendapat manfaat dan pengajaran berguna menerusi
filem ini.
Sekiranya teori
intertekstual digunakan, maka akan jelaslah bahawa filem The Words menjadi sebahagian daripada jaring (sesawang) yang
semakin melebar. Filem ini ada hubungan dengan sekian banyak perkara lain yang berlaku
sebelum dan selepasnya, sama ada di dalam atau di luar filem.
Sesungguhnya,
filem tersebut berciri intertekstual di mana “dalam setiap karya itu berlaku
dialog yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran” seperti kata
Bakhtin serta “dalam sebuah teks terdapat beberapa buah teks” seperti kata
Kristeva.
Dari cerpen ke siri televisyen
Intertekstualiti
tidak harus disalahertikan sebagai ciplak, plagiat, epigon, ‘cuplikan’ atau
yang seumpamanya. Saya ada
menghuraikan teori intertekstual ini menerusi sebuah rencana di akhbar Mingguan Malaysia (2 Ogos 1998) serta
didokumentasikan di blog saya untuk rujukan dan panduan umum. [BACA DI SINI]
Sementara itu, pengarang Rusia, Mikhail Bulgakov (1891 – 1940) menggunakan
pengalamannya sebagai doktor muda di sebuah hospital kecil di Smolensk untuk
menghasilkan sejumlah cerpen yang disiarkan di beberapa jurnal perubatan.
Kemudian, cerpen-cerpen berkenaan dikumpul dan diterbitkan oleh para pengkaji dalam
buku berjudul A Country Doctor’s Notebook
(Записки юного
врача).
Karya agung Mikhail
adalah novel satira The Master and
Margarita (Ма́стер и Маргари́та) yang ditulis pada 1937 tetapi hanya terbit pada 1967; lama
selepas pengarang itu meninggal dunia. Novel itu diterjemahkan ke Bahasa
Inggeris pada 1967, 1992, 1993, 1997, 2006 dan 2008 oleh penterjemah/penerbit
berbeza.
Menurut sumber di
internet, terjemahan cerpen-cerpen Bahasa Rusia karya Mikhail ke Bahasa
Inggeris dilakukan oleh Michael Glenny pada 1975. Judul sembilan cerpen dalam
buku ini adalah “The Embroidered Towel”, “The Steel Windpipe”, “Black as
Egypt’s Night”, “Baptism by Rotation”, “The Speckled Rash”, “The Blizzard”,
“The Vanishing Eye”, “Morphine” dan “The Murderer”.
Terjemahan ke Bahasa
Perancis dilakukan oleh Paul Lequesne (1994) manakala satu lagi terjemahan
Bahasa Inggeris dilakukan oleh Hugh Aplin (2011) dengan judul A Young Doctor’s Notebook.
Terjemahan terbaru
inilah yang dijadikan siri televisyen pada 2012 di mana Daniel Radcliffe (pelakon
filem-filem Harry Potter) memegang watak Mikhail semasa baru tamat
pengajian dan menjadi doktor muda, manakala watak dewasa dilakonkan Jon Hamm (pelakon
siri Mad Men).
Saya
membeli cakera video digital (DVD) A Young Doctor’s Notebook (2012) pada 19 Januari 2013 dan
meluangkan waktu malam 20 Januari 2013 menonton kisah-kisah yang diadaptasi
daripada cerpen Rusia dalam empat episod.
Agak
menarik untuk diperhatikan bagaimana kisah-kisah pengalaman Mikhail disajikan semula dalam bentuk visual dengan
melakukan sedikit perubahan dari segi teknik penceritaan. Misalnya, watak
dewasa (Jon Hamm) hadir bersama-sama watak muda (Daniel Radcliffe) untuk
memberikan panduan serta menyusahkan hidupnya.
Filem The Words dan siri A Young
Doctor’s Notebook menggabungkan beberapa dunia yang mampu pula dinikmati
oleh “penghuni” dua dunia; iaitu dunia penulisan dan dunia perfileman. Pada
masa sama, peminat buku, penulis dan peminat filem/siri televisyen yang bermutu
juga akan mampu menghargainya. Apatah lagi jika dihayati menerusi pemahaman dan
aplikasi teori intertekstual.
[Makalah
ini ditulis pada 23 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 28 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]