“Mengapa mayat kaum India dibakar dan
bukan ditanam? Adakah mayat itu dimandikan dan disembahyangkan?”
Antara perkara yang sering ditanya kepada
saya oleh rakan-rakan pelbagai kaum adalah berkaitan upacara menyempurnakan
mayat mengikut budaya India; khususnya agama Hindu.
Pertanyaan seperti ini tidaklah bermaksud
menghina atau mempersoalkan amalan dan budaya kaum India. Sebaliknya menunjukkan
bahawa individu yang bertanya tadi berminat untuk mengetahui, memahami dan
menghormati amalan dan budaya kaum India.
Malah, sering juga timbul masalah dalam
kalangan kaum India sendiri untuk memberi penjelasan mengenai upacara
menyempurnakan mayat. Maka, saya melakukan sedikit kerja mengumpul bahan dan
maklumat umum berkaitan upacara menyempurnakan mayat dalam kalangan masyarakat
India beragama Hindu.
Perlu dijelaskan bahawa penerangan yang
saya berikan adalah secara umum. Mungkin sahaja ada kelompok tertentu yang
mempunyai amalan yang berbeza sedikit berbanding kelompok lain. Namun, asasnya
adalah hampir sama. Tambahan pula, tujuan saya adalah untuk memberikan
penjelasan umum; bukan penerangan terperinci mewakili kelompok tertentu.
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh
kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang mahu terlibat sama dalam
upacara menyempurnakan mayat adalah bertenang. Demikian nasihat pertama yang
diberikan oleh salah seorang warga emas yang saya temui untuk mendapatkan
panduan dan pandangan apabila saya mahu menulis sebuah makalah bagi majalah Sarina (Oktober dan November 2004). - Makalah penuh disiarkan dalam empat siri dan kini boleh dibaca dalam Mandala Bicara.