29 Aug 2012

Chellam – Bahagian 5

27 MEI 2012 – Nama saya Chellam. Sebelum ini, anda telah membaca kisah saya ditulis oleh orang lain. Kali ini, saya sendiri akan menceritakan kisah saya kepada anda. Saya harap anda akan lebih memahami penderitaan dan perjuangan saya dalam hidup ini.

Pada waktu siang, saya menyapu jalan. Pada sebelah malam pula, saya mencuci pinggan-mangkuk di sebuah kedai makan kepunyaan sebuah keluarga Cina. Memang saya penat bekerja tetapi saya sanggup berkorban demi masa depan keempat-empat anak saya.

“Emak, lihatlah keputusan UPSR saya,” kata Kavitha suatu hari sambil berlari-lari pulang dari sekolah.

Hati saya berdebar. Apakah keputusan yang diterima oleh anak sulung saya? Kalau keputusannya baik, tentu Kavitha akan menjadi sumber inspirasi kepada adik-adiknya. Akan tetapi, jika keputusannya kurang baik, apa yang boleh saya lakukan?

Sambil cuba mengawal perasaan berdebar-debar, saya melihat kertas yang dihulurkan oleh Kavitha. Secara tiba-tiba sahaja, air mata saya mula mengalir.

Tulisan pada kertas keputusan UPSR itu menjadi kabur kerana mata saya digenangi air. Namun, saya dapat melihat dengan jelas tanda “A” yang tercatat pada kertas keputusan itu. Ada tujuh “A” semuanya.

Saya kehilangan kata. Saya terus memeluk Kavitha dan menangis sepuas-puas hati. Kogila, Kannama dan Karpagam pula terpinga-pinga melihat kelakuan saya. Agaknya mereka tidak faham mengapa saya menangis dan mengalirkan air mata.

“Emak sangat bangga dengan keputusan kamu, Kavitha. Emak memang tahu bahawa kamu seorang pelajar yang bijak. Kamu membuatkan emak dan adik-adik kamu sangat bangga,” kata saya selepas mengelap air mata di pipi.

Kavitha cuba tersenyum. Akan tetapi, dia juga sedang menangis. Tentu sahaja anak sulung saya turut tidak dapat mengawal perasaan gembira kerana pengorbanannya membawa hasil. Kavitha mendapat 7A dalam UPSR. Sejuk hati saya menatap kertas keputusan itu.

“Bukan kita sahaja yang bangga, emak,” kata Kogila. “Guru besar dan semua guru di sekolah juga sangat gembira. Semua orang memuji kakak. Mereka juga memuji emak kerana berjaya membimbing kakak sehingga berjaya dalam UPSR.”

Kejayaan Kavitha mendapat 7A dalam UPSR memang merupakan satu kejayaan peribadi kepada diri saya. Semasa saya remaja, saya memang seorang pelajar yang bijak. Akan tetapi, pelajaran saya merosot setelah mula bercinta dengan Selvam. Akhirnya saya langsung tidak berminat dalam pelajaran. Saya hanya memikirkan soal bercinta dengan Selvam.

Bagaimanapun, sudah terbukti bahawa keputusan yang saya ambil adalah salah. Saya telah kahwin lari dengan Selvam. Akibatnya, saya dihina oleh masyarakat. Saya juga menjadi mangsa cacian emak mentua saya. Anak-anak saya turut dihina kerana kesemuanya perempuan.

Selvam pula sudah berubah selepas kami berkahwin. Hanya selepas menjadi isterinya, saya mendapat tahu bahawa dia kaki botol dan penagih dadah. – Bersambung

(Uthaya Sankar SB seorang penulis sepenuh masa yang berusaha mengangkat isu-isu berkaitan bahasa, sastera, sosial, seni dan budaya menerusi penulisan. Beliau menulis cerita ini berdasarkan kisah benar yang diceritakan kepadanya beberapa tahun lalu. Nama-nama watak ditukar atas permintaan individu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 Mei 2012.)