30 Jun 2012

Panchayat: Bahagian 22 – Revathi

[Ramani seharusnya membuktikan di panchayat bahawa abang kembarnya tidak bersalah.]

Sebentar tadi pun, apabila saya menceritakan kepada Malliga Akka tentang kemungkinan Ramani Attan terlibat dalam insiden pembunuhan James Arivalahan, dia tidak percaya.

Katanya, saya terburu-buru membuat keputusan. Fikiran saya bercelaru, katanya lagi sambil menasihatkan saya agar melupakan sahaja segala tanggapan yang tidak berasas.

Tapi tidak berasaskah tanggapan saya?

“Kita jangan memikirkan yang bukan-bukan.” Kedengaran suara Pak Cik Senthamarei, bapa Malliga Akka. “Kematian Kim Seng adalah suatu tragedi. Dia memang gemar memburu di hutan rizab di belakang kuil Maha Kaali. Malangnya, kali ini dia tertembak dirinya sendiri. Kejadian buruk ini hanyalah sebuah tragedi. Kita jangan memikirkan yang bukan-bukan berhubung kejadian ini.”

Orang ramai yang menghadiri panchayat terdiam semula. Mungkin mereka sedang sama-sama memikirkan kebenaran kata-kata ketua kampung.

“Apa yang boleh kita lakukan adalah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Lee Kim Seng. Kita harus membantu keluarga mendiang. Kita jangan pula menambah derita keluarga mendiang dengan membuat pelbagai andaian berhubung punca kematiannya,” tambah ketua panchayat.

Para penduduk masih diam. Mereka bagaikan menerima sahaja kata-kata Pak Cik Senthamarei. Cuma kelihatan Sitambaram, Mahmood serta beberapa lagi penduduk yang berwajah pucat. Mungkin mereka tidak dapat menerima keputusan panchayat secara bulat-bulat.

Kebimbangan Sitambaram adalah berasas. Saya pasti bahawa dia atau Mahmood akan menjadi mangsa seterusnya. Tentu Ramani Attan akan membalas dendam ke atas mereka pula selepas ini!

Memang semasa panchayat bersidang berhubung kejadian berhala Kaali Devi yang hilang tempoh hari, Sitambaram dan kawan-kawannya yang menjadi saksi. Merekalah yang beria-ia mengatakan bahawa Raja Mama yang melesapkan berhala emas berkenaan. Kalau bukan kerana mereka, tentu nama Raja Mama tidak tercemar.

Tapi wajarkah Ramani Attan membalas dendam?

Ya, saya memang yakin dan percaya bahawa Sitambaram, Mahmood Abdullah, mendiang James Arivalahan dan mendiang Lee Kim Seng menganiaya mendiang Raja Mama.

Wajarlah mereka dihukum. Tapi bukan dihukum bunuh. Lebih-lebih lagi oleh Ramani Attan sendiri.

Ramani Attan harus menyerahkan tugas menghukum kepada panchayat. Ramani Attan seharusnya membuktikan di panchayat bahawa abang kembarnya tidak bersalah.

Akan tetapi, Ramani Attan tidak melakukan sebarang usaha ke arah itu. Kalau saya mencadangkan pula, dia tidak mahu mendengar. Dia semakin menjauhkan diri dari saya.

Fikiran saya semakin bercelaru. Bahagian pelipis saya urut sedikit untuk meredakan rasa sakit. Malliga Akka masih berdiri di sebelah saya. Para penduduk pula kelihatan sedang berbual sesama sendiri.

Pak Cik Senthamarei sedang mengarahkan sesuatu kepada Maramanden. Lantas lelaki yang terkenal setia itu bangkit berlalu pergi meninggalkan tapak panchayat.

Haruskah saya mendedahkan di panchayat bahawa Ramani Attan yang membunuh Kim Seng?

Atau benarkah Ramani Attan yang melakukan pembunuhan itu? Apakah bukti yang ada pada saya?

Malam tadi saya mengalami mimpi yang aneh. Sebuah mimpi yang mungkin agak keterlaluan. Saya sedang berjalan melintasi kuil Maha Kaali. Entah mengapa tergerak hati saya untuk masuk ke dalam bangunan kuil. Seperti ada suatu kuasa yang menarik saya ke sana.

Apabila berada di perkarangan kuil, saya nampak Madurai Kaala. Badannya berwarna merah darah. Lembu pelaga itu memakai kalungan bunga pelbagai warna pada leher. Madurai Kaala berjalan perlahan-lahan memasuki kuil. Saya terus mengekorinya.

Di dalam kuil, saya ternampak Puan Janaki! Beliau bersari warna merah seperti yang dipakainya sewaktu meninggal dunia hampir sepuluh bulan lalu.

Madurai Kaala tunduk hormat di hadapannya. Kemudian, Puan Janaki membisikkan sesuatu ke telinga lembu berkenaan. Sesudah itu, Madurai Kaala meluru keluar dari kuil. Saya pula terus terpaku di tempat saya.

Tidak lama selepas itu, Madurai Kaala kembali bersama Sitambaram. Lelaki itu kelihatan menggigil. Dia merayu-rayu kepada Puan Janaki; tetapi saya tidak mendengar apa-apa yang diucapkannya.

Puan Janaki masuk ke dalam bilik kecil di tengah kuil yang dulu menempatkan berhala emas Kaali Devi.

Sejurus kemudian, Puan Janaki keluar semula bersama berhala emas! Berhala itu diajukannya kepada Sitambaram.

“Mari kita pulang.”

Saya hairan melihat Malliga Akka di hadapan saya.

“Mari kita pulang,” katanya lagi.

Saya terus merenungnya. Kepala saya terasa pening.

Panchayat sudah berakhir. Mari kita pulang,” tambah Malliga Akka sambil memegang lengan saya.

“Sudah tamat?” Saya semakin sedar di mana saya berada. “Apa keputusan panchayat?”

“Kim Seng mati tertembak diri sendiri.”

“Itu sahaja?” Saya berjalan beriringan dengan Malliga Akka yang bersari putih. “Dia bukan ditembak?”

Malliga Akka menghentikan langkahnya. Dia memandang wajah saya. Kali ini saya memberanikan diri untuk merenung matanya.

Ah! Sinar kebahagiaan sudah lenyap terus daripada matanya. Cahaya matahari di ufuk barat juga tidak berupaya memberi sinar pada sepasang mata yang sudah tidak bermaya. Bersambung

Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 Ogos 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 30 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk menyumbang ke arah usaha menerbitkan novel ini dalam bentuk buku.)