3 Mar 2012

Panchayat: Bahagian 9 – Atma

[Malliga terkejut dan sedih menerima berita yang disampaikan oleh Maramanden.]

“Dia sudah mati!”


Bergemuruh darah saya apabila mendengarnya. Sitambaram yang menyampaikan berita itu kelihatan sedang tersenyum. Begitu gembirakah dia dengan berita itu?


“Bila?”


“Entah. Tapi mayatnya ditemui pagi tadi.”


“Sudah diuruskan mayatnya?” Tanya bapa sambil membeliakkan mata. “Bila akan dibawa ke tanah perkuburan?”


“Sedang diurus, encik. Jenazahnya akan dibawa ke kubur sekejap lagi. Kami menunggu kepulangan encik sahaja.”


“Bapa, benarkanlah saya pergi,” pinta saya.


Bapa menoleh ke arah saya. Dia kelihatan terkejut.


“Awak masih belum pergi lagi?”


“Saya yang tidak membenarkannya pergi, attan,” emak pula yang menjawab pertanyaan itu. “Saya suruh dia tunggu sehingga attan pulang dari pekan.”


“Isy! Awak ni. Takkan pada waktu macam ini pun awak nak mendapatkan izin daripada saya sebelum bertindak,” balas bapa dengan nada marah bercampur kecewa.


“Tapi, attan ….”


“Sudahlah, Manggalam. Jangan buang masa lagi. Mari kita segera pergi ke rumah mereka.”


Bapa bergegas pergi mendahului emak dan saya menaiki kereta lembu. Ragu bergegas datang menaiki kereta lembu sejurus sebelum kami bertolak.


Dia sudah tiada!


Pagi tadi, bapa ke pekan atas urusan rasmi panchayat. Saya sedang membasuh pakaian di belakang rumah. Waktu itulah Maramanden datang menyampaikan berita yang sukar dipercayai itu.


“Puan Manggalam! Malliga!” Panggil lelaki itu dari luar.


“Ada apa?” Tanya emak sebaik sahaja kami berdua sampai di muka pintu.


“Raja, puan.”


“Raja Attan?” Tanya saya dengan perasaan yang berbelah bagi antara gembira dan kecewa.


Adakah dia dibuktikan tidak bersalah mencuri berhala Kaali Devi? Sudah dibersihkankah nama Raja Attan? fikir saya. Atau sudah tertangkapkah dia!


“Kenapa dengan dia?” Emak bertanya.


“Dia … dia sudah ditemui, puan,” katanya dengan suara tersekat-sekat tanpa mahu memandang muka saya.


Hati saya melonjak gembira untuk seketika. Raja Attan sudah kembali. Sekarang, mudahlah untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah. Biar bapa sedar bahawa keputusan yang diambilnya di panchayat semalam sudah jauh meleset.


“Sudahkah Raja Attan menerangkan apa yang terjadi?” Tanya saya lagi sambil melangkah menuruni anak-anak tangga berjumlah dua di hadapan rumah.


“Sebenaranya ….”


Saya hairan melihat Maramanden yang tertunduk. Apakah yang sudah terjadi sebenarnya?


“Apa yang terjadi sebenarnya?” Begitu juga tanya emak.


“Kami temui Raja di hadapan kuil Maha Kaali.”


“Jadi? Apa yang menjadi masalah sekarang? Adakah berhala Kaali Devi turut dijumpai; lalu awak gembira kerana berjaya membuktikan bakal menantu saya sebagai pencuri?” Emak ternyata tidak dapat mengawal dirinya ketika itu.


“Bukan, puan. Kami hanya … hanya menemui mayat Raja di hadapan kuil.”


Tanpa saya sedari, air mata sudah banyak mengalir. Mundani ungu saya mula dibasahi air mata. Lengan saya juga. Emak mengesat dengan hujung sarinya. Ragu dan bapa duduk diam sahaja sambil merenung jalan.


Sampai di hadapan rumah Raja Attan, saya dapati suasana lengang. Hanya beberapa orang pemuda yang kelihatan sedang menyediakan usungan.


Raja Attan sudah meninggal dunia! Benarkah Raja Attan sudah meninggal dunia?


Pertanyaan itu bertubi-tubi menikam otak saya seperti jarum tajam. Tidak tertahan kepala saya menerima segala tikaman itu.


Emak membantu saya turun dari kereta lembu. Mungkin dia sedar bahawa saya kelihatan terlalu lemah. Sesungguhnya saya terasa lemah seluruh anggota.


Raja Attan sudah pergi meninggalkan saya!


“Bagaimana semua ini terjadi?” Saya terdengar bapa bertanya kepada Rengasamy yang datang menyambut kedatangan kami.


“Kami pun hairan, tuan. Pagi tadi, apabila si ayyer pergi ke kuil, dia ternampak mayat Raja di hadapan kuil. Dia datang memberitahu kami. Lalu kami membawanya ke sini.”


“Hmm. Berhala tu?” Bisik bapa.


Rengasamy tidak menjawab. Walaupun terasa lesu, saya cuba mendongak memandang muka Rengasamy. Dia sedang menggeleng. – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN



Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 3 Julai 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 3 Mac 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)