27 Aug 2011

Cerpen yang Tercicir

6 Jun 2011 – Pada hari ini, saya dijadual mewakili seorang penulis penting tanah air, Azman Hussin, untuk mengadakan perbincangan dengan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung sebuah cerpennya yang “tercicir” daripada antologi khas bagi cerpen-cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Kisah ini bermula pada 24 Mei 2011 apabila Azman membeli antologi Cinta Sekerdip Embun (DBP: 2010) tetapi terkilan kerana cerpennya yang menang kategori cerpen dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2002/03 tidak termuat dalam antologi itu.


“Cerpen saya bertajuk ‘Tahun Depan di Jurusalem’ tersiar di akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 2002, kemudian diumumkan menang Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, HSPM serta Hadiah Sastera Kelantan pada tahun sama.


“Saya pernah dihubungi pegawai DBP berhubung antologi itu dan saya sudah beri surat izin terbit pada tahun 2009. Saya marah dan terkilan. Macam hak saya telah dinafikan,” kata penulis kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu ketika menghubungi saya pada keesokan hari.


Antologi Cinta Sekerdip Embun yang diusahakan oleh Bahagian Penerbitan Sastera DBP memuatkan 50 cerpen yang menang HSPM dari 1996/97 hingga 2004/05.


Bagi karya yang menang HSPM 2002/03, hanya cerpen “Tahun Depan di Jurusalem” tercicir manakala 12 cerpen lain dimuatkan di dalamnya.


“Saya tak mahu hak saya dinafikan. Dulu manuskrip kumpulan cerpen saya, Dongeng Pascamerdeka pernah ditolak DBP, kemudian dimenangkan pula untuk HSPM 1998/99 selepas saya menerbitkannya sendiri. Bagi saya, ini bukan soal tak ada rezeki atau mutu karya saya dipertikaikan. Kalau cerpen ‘Tahun Depan di Jurusalem’ tidak dimuatkan, maka antologi Cinta Sekerdip Embun tidak tepat dari segi fakta HSPM,” katanya sebagai meluahkan perasaan kepada saya.


Saya menghubungi Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan yang menulis pengenalan bagi antologi itu untuk mendapatkan pandangan beliau.


Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu menjelaskan bahawa beliau bukan penyelenggara; sebaliknya hanya menerima manuskrip antologi itu untuk menulis pengenalan.


“Jadi, dalam kedudukan itu, saya memang tidak tahu jika ada cerpen yang tertinggal dalam antologi berkenaan. Apa pun, saya sudah mengirim e-mel kepada pegawai berkenaan di DBP dan minta mereka menyemak dengan segera,” katanya yang turut bersedih atas apa yang berlaku.


Pada petang 25 Mei, saya mengirim e-mel mengenai perkara ini kepada Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Termuzi Abdul Aziz dan dua pegawai yang pernah terlibat dalam projek antologi berkenaan.


Kemudian, pada 1 Jun, saya dimaklumkan bahawa DBP akan mengadakan perbincangan dengan Azman untuk menjelaskan kedudukan sebenar cerpen “Tahun Depan di Jerusalem”.


Ketua Bahagian Penerbitan Buku Sastera DBP, Puan Norimah Bajuri dalam e-mel balasannya kepada saya berkata, “Perbincangan akan dipengerusikan oleh Pengarah Penerbitan DBP pada 6 Jun, pukul 10:00 pagi, di bilik Pengarah Penerbitan, Tingkat 10, Menara DBP.”


Terdahulu, pada 29 Mei, Dr Anwar memanjangkan kandungan e-mel yang beliau terima daripada Puan Norimah di mana antara kandungan e-mel itu adalah seperti berikut:


“Cerpen Azman Hussin yang berjudul ‘Tahun Depan di Jerusalem’ yang memenangi HSPM 2002/03 tidak dimasukkan dalam buku tersebut. Hal ini demikian kerana sepanjang kami menguruskan penerbitan buku tersebut, kami gagal menghubungi beliau untuk mendapatkan izin terbit. Pelbagai usaha telah kami lakukan untuk menjejaki alamat terkini beliau, terutama melalui teman-teman penulis tetapi gagal. Oleh itu, kami mengambil keputusan mengeluarkan cerpen tersebut semasa manuskrip sudah di peringkat pruf akhir (pracetak).”


Azman pula menjelaskan bahawa beliau ada menerima surat meminta izin terbit dan juga panggilan telefon daripada pihak DBP pada 2009.


“Saya telah memberi persetujuan untuk karya itu diterbitkan. Macam mana pula dikatakan saya tidak dapat dihubungi? Rasanya salinan fotokopi surat meminta izin terbit itu masih ada dalam simpanan saya. Tidak betul jika dikatakan saya tidak dapat dihubungi,” katanya.


Mengulas lanjut isu sama, Azman berkata: “Jika diberi alasan tidak dapat dihubungi, itu tipu. Logikkah sebelum ini saya pernah dihubungi untuk diskusi buku Dongeng Pascamerdeka pada tahun 2000, kemudian dihubungi lagi pada tahun sama untuk makluman HSPM, kemudian pada 2004 untuk HSPM 2002/03. Semuanya melalui surat ke alamat yang sama. Saya masih boleh dihubungi di alamat surat-menyurat yang sama sehingga hari ini. Cuba periksa rekod DBP, alamat saya ada dalam simpanan mereka. Kalau tidak, DBP takkan dapat hubungi saya untuk minta izin terbit cerpen tersebut pada tahun 2009.”


Datuk Anwar pula berpendapat bahawa sebaik-baiknya Azman berhubung terus dengan pihak DBP untuk menjernihkan perkara ini berbanding meminta pihak ketiga menguruskannya.


Azman menghubungi saya dari Kelantan pada 31 Mei dan menceritakan beberapa perkara yang membuatkan saya lebih memahami mengapa beliau “keberatan” untuk berurusan sendiri bersama pihak DBP berkenaan isu ini.


Ringkasnya, Azman menaruh kepercayaan kepada saya selaku pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ untuk mewakili beliau dalam pertemuan dan perbincangan bersama pihak DBP bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu cerpennya yang “tercicir” daripada antologi Cinta Sekerdip Embun.


Azman juga sudah menyediakan surat rasmi pada 2 Jun untuk menyatakan bahawa beliau melantik saya sebagai wakil. Maka, secara rasmi, saya akan mewakili Azman dalam pertemuan dan perbicangan bersama pihak DBP pada pagi ini. Saya sudah pun memaklumkan perkara ini kepada Puan Norimah menerusi e-mel pada 2 Jun.


Saya pergi dengan niat murni sambil memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh salah seorang pengarang penting tanah air. Saya pergi kerana kami berdua tidak mahu nasib sama menimpa penulis lain pada masa hadapan.


(Uthaya Sankar SB, The Malaysian Insider, 6 Jun 2011)