3 May 2011

Mesyuarat Pindaan Novel Interlok

Berikut kenyataan bersama Dr N S Rajendran, G Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB pada 3 Mei 2011, jam 2:00 petang:

1. Pada 28 April 2011, kami menerima surat undangan bertarikh 26 April 2011 daripada Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia bagi “Mesyuarat Pindaan Novel Interlok Karya SN Datuk Abdullah Hussain”.


2. Mesyuarat dijadualkan pada 3 Mei 2011 (Selasa), jam 2:30 petang di Blok E9, Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya.


3. Kami bertiga sampai di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya pada jam 1:30 petang dengan niat mengadakan perbincangan bersama berhubung “pindaan dan pembetulan bagi novel Interlok karya SN Datuk Abdullah Hussain yang telah dipinda oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka”.


4. Pada jam 1:45 petang, 3 Mei 2011, kami dimaklumkan menerusi panggilan telefon dan SMS daripada pegawai di Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa “Mesyuarat hari ini ditangguhkan pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak” kerana “masalah komunikasi”.


5. Maka, kami bertiga belum berpeluang melihat kesemua 106 pindaan yang sepatutnya dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) “berdasarkan keputusan Panel Bebas Mengkaji Novel Interlok yang telah dibentangkan di Parlimen pada 24 Mac 2011 oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia”.


6. Atas sebab itu juga, kami bertiga tidak dapat membuat apa-apa kenyataan atau komen lanjut mengenai pindaan terhadap novel Interlok (edisi murid) walaupun dihubungi wakil media.