5 Feb 2011

Namesake

Sejak kecil, saya sedar bahawa nama saya amat unik dan istimewa. Malah gharib; lain daripada yang lain. Sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja, saya tidak menemui insan lain dengan nama yang sama: Uthaya Sankar. Apatah lagi insan lain bernama “Uthaya Sankar SB”!
.

Nama paling hampir yang saya temui adalah Shankar, rakan sekolah semasa Tingkatan 4, dan Uday Shankar semasa Tingkatan 6. Juga seorang pelajar lain bernama Uthaya Kumar.

.

Maka, tidak hairan juga jika sejak kecil, saya sering mencatatkan dalam buku: “There shall never be an other me” — dengan penggunaan “an other” dan bukan setakat “another”.

.

Tentu sahaja keunikan yang dirasakan tidak patut berhenti setakat pada nama. Sebaliknya perlulah dibuktikan dan dizahirkan melalui perlakuan dan hasil kerja.

.

Sebagai seorang pengarang, saya percaya bahawa saya sudah mampu membuktikan “keunikan” saya melalui karya-karya kreatif yang dihasilkan.

.

Saya nyatakan perkara ini bukan untuk mendabik dada, tetapi untuk menekankan bahawa setiap orang perlu menyedari keunikan dan keistimewaan yang dimiliki; serta menzahirkannya.

.

Berbalik pada soal nama yang lain daripada yang lain pula, “Uthaya Sankar” memang bukan nama yang lazim. Tidak seperti “Uthaya Kumar” dan “Uthaya Soorian”.

.

Semasa menjadi pensyarah kolej selama sembilan tahun, para pelajar memperkenalkan Friendster kepada saya. Antara perkara pertama yang saya lakukan selepas mendaftar menjadi ahli adalah mencari “namesake”, iaitu insan yang mempunyai nama yang sama seperti saya.

.

Saya menemui seorang “Uthaya Shankar” dan mengajaknya menjadi kawan. Bagaimanapun, perkenalan kami di Friendster bukan suatu perkenalan yang rapat.

.

Malah, tidak lama kemudian, selepas para pelajar saya memperkenalkan Facebook, saya beransur meninggalkan Friendster. Uthaya Shankar juga sudah meninggalkan Friendster.

.

Sekali itu, di rangkaian sosial Facebook, saya sekali lagi mencari namesake saya. Saya menemui seorang “Uthaya Sankar”, beberapa “Uthaya Shankar”, beberapa “Udaya Sankar” dan beberapa “Udaya Shankar”.

.

Sepatutnya saya berasa sedih kerana nama saya sudah tidak unik lagi. Sebaliknya saya berasa gembira lalu menambah mereka sebagai rakan!

.

Malangnya, hanya dua “Uthaya Shankar” yang menjadi rakan saya di Facebook. Kami berkomunikasi dari semasa ke semasa melalui rangkaian sosial berkenaan.

.

Pada 13 September 2009, saya sedang melayari Facebook menggunakan telefon bimbit dan sedikit terkejut membaca status yang yang menyebut bahawa saya terpaksa bekerja pada hari Ahad.

.

Hairan! Saya tidak bekerja pada hari berkenaan. Mungkinkah ada penggodam (hacker) yang melakukan perubahan pada status itu?

.

Sejurus kemudian, baru saya sedar bahawa saya sedang membaca status yang diletak oleh namesake saya! Lalu, saya menulis komen pada status berkenaan dan menceritakan secara ringkas tentang reaksi spontan saya.

.

Secara kebetulan juga, pada sebelah malam hari yang sama, sewaktu saya sedang makan malam di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Shah Alam bersama kembar, saya ditegur oleh seorang pemuda.

.

Rupa-rupanya dialah “Uthaya Shankar” yang terpaksa bekerja pada hari berkenaan. Kebetulan, beliau datang ke restoran yang sama bersama rakan-rakan dan cam wajah saya.

.

Hampir seminggu kemudian, saya tiba-tiba mendapat idea untuk bertemu namesake saya untuk berkenalan secara lebih rapat. Lalu, saya mengirim mesej kepada kedua-dua “Uthaya Shankar” secara berasingan melalui rangkaian sosial Facebook.

.

Secara kebetulan juga, pada pagi 23 September 2009, saya mendapat balasan daripada kedua-dua mereka selang beberapa minit!

.

Lalu, saya menghantar mesej kepada mereka berdua sekali gus supaya kami bertiga boleh berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon. Tidak lama kemudian, kedua-dua “Uthaya Shankar” turut menjadi sahabat di Facebook.

.

(Tidak setakat itu, teman wanita salah seorang Uthaya Shankar juga menambah saya sebagai rakan.)

.

Saya yang sejak kecil merasakan nama saya begitu unik, kini tiba-tiba berasa lebih unik — kerana akan berpeluang bertemu dengan namesake dalam masa terdekat.

.

Ruangan status pada Facebook menjadi tempat untuk berkongsi kegembiraan bersama-sama sekitar 1,190 rakan di Facebook.

.

Saya menyatakan bahawa saya akan makan malam bersama seorang Uthaya Shankar pada 24 September 2009, dan akan bersarapan bersama seorang lagi Uthaya Shankar pada 26 September 2009.

.

Paparan status itu segera mendapat reaksi daripada beberapa orang rakan.

.

Kebanyakan mengatakan bahawa mereka keliru kerana ada terlalu ramai “Uthaya”, serta berharap saya tidak keliru apabila bertemu beberapa lagi “Uthaya” (kerana saya menyatakan hasrat untuk mengumpulkan 11 namesake).

.

Salah seorang rakan menyatakan rasa syukur kerana tidak ramai orang mempunyai nama yang sama dengan dirinya. Manakala seorang lagi beranggapan pasti kesemua namesake mempunyai corak pemikiran yang sama!

.

Tentu sekali — dan mujurlah — tidak demikian halnya. Cuma, saya berasa amat seronok dan terasa seperti sudah menjadi salah satu watak unik dalam filem X-Men.

.

Pada ruangan komen status Facebook, saya turut memberikan contoh dialog yang mungkin akan kedengaran apabila para namesake bertemu:

.

Saya Uthaya. Helo Uthaya. Ini Uthaya. Anda sudah bertemu Uthaya? Anda tentu Uthaya! Biar saya perkenalkan anda kepada Uthaya. …

.

Ruangan komen berkenaan menjadi lebih meriah apabila kedua-dua namesake turut menulis pandangan masing-masing. Dan kami bertiga juga menjadi sedikit keliru kerana tidak tahu siapa yang mengemukakan komen yang mana satu!

.

Memang saya secara spontan teringat pada watak utama dalam cerpen Bahasa Bengali bertajuk “Ratan Babu Aar Shei Lokta” (bertajuk “Ratan Babu and That Man” dalam versi Bahasa Inggeris dan “Ratan Babu dan Lelaki Itu” dalam terjemahan Bahasa Malaysia) karya pengarah filem legenda Satyajit Ray (2 Mei 1921 – 23 April 1992).

.

Malah, saya ada menyebut tentang cerpen berkenaan dalam cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” (Rudra Avatara, 2008).

.

Bezanya, watak Ratan Babu bertemu dengan watak Manilal Majumdar yang memiliki watak, perwatakan, kisah silam dan pengalaman yang 100 peratus sama dengan dirinya.

.

Saya pula akan bertemu namesake yang saya percaya hanya memiliki persamaan pada nama. Seronok!

.

Pada 24 September 2009, saya bertemu Uthaya Shankar di Taman Sri Muda, Shah Alam. Kami berbual mesra sambil minum.

.

Rupa-rupanya, Uthaya Shankar ini adalah sama dengan individu yang menjadi sahabat saya di Friendster sebelum ini!

.

Beliau berusia 23 tahun, meminati pelakon Ajit Kumar dan sudah “mengenali” saya sejak kecil; mungkin seawal 1995. Emaknya, seorang guru, selalu memberitahu beliau bahawa ada seorang pengarang bernama Uthaya Sankar SB.

.

Malah, menurut Uthaya, selepas kami berdua menjadi sahabat di Facebook, beliau telah memberitahu emaknya bahawa pengarang yang dimaksudkan itu kini sahabatnya!

.

Khabarnya apabila Uthaya memberitahu emaknya bahawa kami berdua sudah membuat temujanji, emaknya berkata, “Wah, sudah menjadi begitu rapat!”

.

Pertemuan kami tidaklah begitu lama. Sempat mengambil foto kenang-kenangan. Sempat saya berikan kumpulan cerpen Kathakali untuk dibaca. Sempat bertukar-tukar cerita. Sempat saling mengenali.

.

Apa yang pasti, kami bukan seperti Ratan Babu dan Manilal Majumdar. Kami adalah namesake, bukan klon.

.

Sempat juga kami berdua bercakap tentang “Uthaya Shankar” yang seorang lagi berdasarkan maklumat diri di Facebook. (Wah! Dua Uthaya “bergosip” tentang Uthaya yang seorang lagi!)

.

Ringkasnya, saya berasa seperti bertemu salah seorang ahli keluarga yang sudah lama dikenali.

.

Saya berjanji kepada Uthaya bahawa saya akan mengatur pertemuan untuk kami bertiga; sementara menunggu kehadiran lebih ramai “Uthaya Sankar”, “Uthaya Shankar”, “Udaya Sankar” dan “Udaya Shankar” yang sudi menyertai kami.

.

Pada 26 September 2009, saya bertemu dengan Uthaya Shankar — yang seorang lagi — untuk bersarapan di SS15, Subang Jaya. Sebaik bertemu, kami berpelukan bagai sudah lama mengenali satu sama lain!

.

Seperti yang saya lihat pada foto-foto penuh gaya di FacebookKLIK DI SINI – Uthaya yang berumur 28 tahun ini memang iras pelakon Vikram. Bagaimanapun, beliau yang memang berminat untuk berlakon (dan juga meminati pelakon Ajit Kumar), belum cuba mencari peluang.

.

“Jangan tunggu sehingga esok,” pesan saya kepada beliau sambil menyenaraikan beberapa tokoh muda dalam industri filem pendek tempatan yang boleh dihubungi.

.

Uthaya yang mendapat pendidikan peringkat Sarjana di Universiti Warwick, United Kingdom juga ada minat dan bakat menulis. Malah, beliau sudah menghasilkan sebuah manuskrip novel Bahasa Inggeris. Beliau berjanji akan memberikannya kepada saya untuk dibaca dalam masa terdekat.

.

Uthaya yang saya temui pada 24 September 2009 agak pendiam dan malu-malu untuk bergambar. Uthaya yang ini pula sebaliknya.

.

Ternyata kami bertiga mempunyai begitu banyak perbezaan dari pelbagai segi: umur, latar pendidikan, latar keluarga, pekerjaan, minat, rupa fizikal dan bermacam-macam lagi.

.

Persamaan nama menyatukan kami.

..

Kini sudah ada 3 namesake. Saya mencari 8 lagi untuk melengkapkan sepasukan 11 orang! Untuk apa? Kita tunggu dan lihat.

..

(© Uthaya Sankar SB 2009. The Malaysian Insider, 9 Oktober 2009)