12 Jul 2010

Avatar Tiru Blue Crow?

Mahkamah Beijing menetapkan hari ini (12 Julai 2010) untuk mendengar hujah kes berhubung dakwaan pengarah terkenal Hollywood, James Cameron, meniru idea filem Avatar (2009) daripada manuskrip novel The Legend of the Blue Crow (1997) karya pengarang China, Zhou Shaomou.
.

Pengarang itu berkata, dia mahu mendapatkan ganti rugi kerana ideanya dicuri dan dijadikan sebuah filem yang mencipta sejarah dan fenomena di seluruh dunia.

.

Walaupun Shaomou diminta mengemukakan bukti di mahkamah hari ini, kes ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sebelum dibicarakan.

.

“Kes ini melibatkan warganegara asing dan syarikat asing, maka prosesnya tentulah rumit dan mengambil masa yang sangat lama,” kata Lu Yao, seorang pegawai di Mahkamah Beijing.

.

Selain daripada Cameron, novelis China itu turut memfailkan saman terhadap 20th Century Fox Film Corporation, dua pengedar filem di China dan Pawagam Haidian di mana Shaomou menonton filem Avatar.

.

“Plot dalam filem itu 80 peratus serupa dengan jalan cerita novel yang saya tulis pada 1997. Novel saya disiarkan secara bersiri menerusi dua laman sesawang di China pada 1999,” kata Shaomou.

.

Laman sesawang rasmi bagi filem Avatar pula menyebut bahawa Cameron mendapat idea bagi filem itu hampir 15 tahun lalu, iaitu sebelum Shaomou menghasilkan novelnya.

.

Pada 1994, Cameron menulis skrip terperinci sepanjang 80 halaman bagi filem itu yang menggunakan latar tahun 2154.

.

Penggambaran filem Avatar sepatutnya bermula selepas Titanic (1997) selesai dan tayangan dijadualkan pada 1999, seperti diumumkan Cameron pada Ogos 1996, tetapi kemudian beliau mengubah fikiran kerana sedar, teknologi yang diperlukan untuk merealisasikan Avatar belum wujud waktu itu.

.

Kerja-kerja mencipta bahasa bagi puak Na’vi (dengan hampir seribu kosa kata) bermula pada 2005 manakala usaha penciptaan dunia Pandora dan kebudayaan unik puak Na’vi bermula 2006.

.

Pada 2006 lagi, Cameron berkata bahawa jika filem Avatar berjaya, maka beliau akan menghasilkan dua lagi filem sebagai lanjutan kepada kisah dalam filem sulung.

.

Shaomou, seorang pengurus perniagaan, mengatakan Cameron meniru 80 peratus idea dalam novel sains fiksyen sepanjang 1.2 juta perkataan yang ditulisnya.

.

Kisah dalam novel The Legend of the Blue Crow adalah mengenai watak “Blue Crow” yang bekerja di makmal angkasa lepas dan menemui bukti kewujudan makhluk asing, lalu menghantar klon manusia untuk meneroka dunia baru itu.

.

Mungkinkah keputusan kes yang dibawa oleh Shaomou ke Mahkamah Beijing mengubah keadaan?

..

(Sinar Harian, 12 Julai 2010)