4 Nov 2009

Dari Kota Kinabalu ke Beaufort

Apabila bangun pada pukul 5:10 pagi, 4 November 2009 di Bilik 1212, Hotel Cititel Express, Kota Kinabalu, Sabah, saya tidak lagi berasa hairan melihat suasana cerah di luar.

Sebaik sahaja saya mendaftar keluar hotel, saudara Harun (yang berasal dari Sandakan dan baru beberapa minggu ditugaskan di Kota Kinabalu) datang untuk membawa saya ke Beaufort. Sebelum itu, kami mengambil Minah Khan yang turut serta.

Jarak dari Kota Kinabalu ke Beaufort sekitar 90 kilometer. Kami sampai di Hotel Jasaria pada pukul 7:45 pagi. Saya sampai ke Beaufort buat pertama kali dalam hidup. Sebaik tiba, kami minum dan makan kuih cempedak.

Pada pukul 9:00 pagi, Bengkel Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar Daerah Beaufort bermula dengan ucapan oleh Timbalan Pengarah, Perpustakaan Negeri Sabah, Puan Maria Sinti.

Belia memaklumkan bahawa sudah ada tujuh Kelab Membaca Sinar Pintar (KMSP) di daerah Beaufort. Bengkel Mentor KMSP ini pula turut menampilkan peserta dari seluruh negeri Sabah.

Suatu perkara penting yang dinyatakan oleh Puan Maria Sinti dan mencuri tumpuan saya adalah bahawa penglibatan sebagai Mentor KMSP bukan hanya atas dasar mahu berkhidmat kepada masyarakat; malah juga bagi menambah nilai bagi diri mentor terbabit.

Saya mengendalikan Bengkel Mentor KMSP yang disertai oleh 35 individu dari seluruh negeri Sabah. Kebanyakan mereka adalah pustakawan dan sukarelawan yang memang sudah biasa mengendalikan aktiviti berkaitan buku dan pembacaan untuk kanak-kanak dan remaja.

Maka, “tugas” saya menjadi amat mudah dalam membimbing serta memberikan maklumat lebih lanjut mengenai KMSP.

Selain mengambil foto menggunakan telefon bimbit, saya juga membuat rakaman video untuk siaran “Peristiwa” di TV1 (BACA DI SINI).

Kami berhenti untuk makan pada pukul12:30 tengah hari. Pada pukul 1:20 tengah hari, saya masuk ke bilik saya – Bilik 814 – untuk berehat sebentar.

Bengkel disambung dengan kerja kumpulan sehingga pukul 5:00 petang. Beberapa peserta membeli buku-buku yang saya bawa. Terima kasih kepada Puan Aine Naddia Samin yang menguruskannya!

Selesai bengkel, saya ke Dewan Pa’ Musa di mana majlis perasmian akan berlangsung esok.

Di sana, saya berbual-bual mengenai KMSP dan beberapa hal berkaitan buku dan budaya membaca dengan Puan Ester V. Mobilik.

Pukul 7:15 malam, saya pulang ke Bilik 814 di Hotel Jasaria. Akses internet tidak begitu baik. Saya pula teramat penat dan mengantuk. Maka, saya memilih untuk tidur awal.