6 Jul 2009

The Alliance: Road to Independence

Saudara Devaraj P. Thangaraju pernah memberitahu saya mengenai buku “The Alliance: Road to Independence” (2009) karya Profesor Madya Joseph M. Fernando yang beliau edit untuk diterbitkan oleh Penerbitan Universiti Malaya.

Dalam e-mel yang diterima pada pagi 6 Julai 2009, Devaraj memaklumkan bahawa Naib Canselor UM akan melancarkan 10 buku terbitan Penerbitan UM pada 16 Julai 2009 (Khamis), 9:30 pagi di Dewan Kuliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya; diikuti sesi diskusi buku “The Alliance: Road to Independence”.

Devaraj turut menulis beberapa perkara yang menarik dalam e-mel beliau. Misalnya:

“Tahukah saudara bahawa pihak British pada asalnya berkira-kira hendak memberikan kemerdekaan pada tahun 1975! Itu pun bukan kemerdekaan mutlak. Masyarakat Malaya mempunyai kesedaran politik yang rendah ketika itu. Namun, segala-galanya mula berubah sejak 1952 dan berlanjutan hingga 1955. Pihak British tidak menjangkakan tsunami politik ini dan akhirnya terpaksa akur. Lalu kita memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957.”

Devaraj bercerita lanjut:

“Apabila menyunting buku ini dan mengikuti arus politik negara kini, tidak dapat tidak, saya merasakan semangat 1Malaysia telah ada sejak 1950-an lagi. Semangat 1Malaysia inilah rahsia sebenar kita dalam mendapat kemerdekaan!”

Bagi mana-mana wakil media, berikut pesanan Devaraj:

“Jika saudara mahu mewawancara pengarang, terutama ketika sambutan Hari Kebangsaan, saya boleh tolong sampaikan hasrat kepada pengarang. Saya fikir, wawancara itu pasti menarik kerana pengarang telah melakukan kajian mendalam dengan merujuk sumber primer di mana sesetengahnya telah berada dalam klasifikasi Rahsia dan baru sahaja dinyah rahsia.”

Bagi sesiapa yang berminat menghadiri majlis pada 16 Julai 2009, sudilah menghubungi Saudara Devaraj P. Thangaraju melalui talian 03-7967 5809, e-mel devarajt@um.edu.my atau t_devaraj@yahoo.com sebelum 13 Julai 2009.