“Belum terlambat untuk memupuk budaya membaca. Karya-karya besar mesti ditelaah oleh golongan muda hari ini bagi melawan kebebalan dan mencambah daya fikir yang kritis.”
Demikian
antara catatan terawal Anwar Ibrahim
selepas menjadi perdana menteri. Ciapan itu menerusi Twitter (kini X) pada 11
Disember 2022 diiringi kartun terbaharu Datuk Lat menunjukkan pekerja di pejabat
perdana menteri tekun membaca buku.
Bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebung. Begitulah juga usaha memupuk minat
dan budaya membaca perlu dimulakan sejak kecil.
Hakikat
ini memang disedari pihak sekolah, ibu bapa, perpustakaan, penerbit, dan
penulis. Malangnya, sehingga kini, kita masih berdepan masalah ketandusan bahan
bacaan dalam Bahasa Malaysia yang sesuai bagi
kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia.
Sebagai
individu yang terlibat dalam bidang penulisan sejak 1992 serta mengendalikan
program galakan membaca di sekolah rendah seluruh negara bersama Pertubuhan Sasterawan
Kaum India (Kavyan) sejak 2004 [baca di sini], saya menyaksikan sendiri
situasi ini.
Buku
cerita berbentuk fonetik dan fonologi memang banyak diterbitkan di Malaysia
dalam pelbagai bahasa. Namun begitu, kita perlu faham bahawa tujuan buku-buku itu
adalah membantu kanak-kanak belajar mengeja dan membaca.
Suku
kata setiap perkataan biasanya dicetak warna berbeza untuk membimbing
kanak-kanak berumur bawah enam tahun belajar membaca berdasarkan sebutan dan bunyi
suku kata.
Bahan
bacaan yang kita perlukan ialah buku-buku yang boleh terus mencambah minat
membaca dalam jiwa kanak-kanak selepas “lulus” peringkat belajar membaca dengan
bantuan buku suku kata, fonetik dan fonologi.
Memanglah
ada lambakan bahan bacaan bagi kanak-kanak dalam bahasa Inggeris tetapi kita
masih dahagakan buku cerita kanak-kanak dalam bahasa kebangsaan.
Walaupun
ada buku tempatan, ibu bapa mengeluh kerana kandungannya terlalu berbentuk keagamaan dan bersifat etnosentrik sehingga gagal menarik
minat kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia.
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, cerita rakyat yang mengangkat watak binatang paling mudah mencuri tumpuan pembaca muda.
Kumpulan
cerita rakyat India yang saya ceritakan semula berjudul Nari! Nari! (1995) dan Munis Dengan Harimau (1996).
Sambutan bagi kedua-duanya amat menggalakkan.
Apa yang
menarik, beberapa pembaca kanak-kanak menghubungi saya selepas mereka berusia
belia.
“Buku Nari! Nari! menjadi buku cerita kegemaran
saya semasa belajar di SK Convent Aulong, Taiping,” kata Dhayapari Shunmugam Pillai menerusi
mesej Facebook pada 3 Jun 2011.
Maklum
balas seperti ini tentulah menggembirakan kerana cerita yang saya tulis berjaya
meninggalkan kesan mendalam pada jiwa kanak-kanak.
Malah,
buku Nari! Nari! diulang cetak pada
2000 kerana mendapat sambutan. Seterusnya, pada 2015, buku itu diterbitkan
semula dalam edisi
baharu. Pada kali ini, saya meminta sumbangan rakan-rakan untuk membantu menampung sebahagian
kos.
[Projek Buku Cerita Rakyat 2025]
Hasilnya,
bahan bacaan itu dihadiahkan kepada sekumpulan kanak-kanak seluruh negara
daripada keluarga berpendapatan rendah. Buku Nari! Nari! juga dijadikan teks program galakan membaca anjuran
Kavyan.
Kumpulan
cerita rakyat itu diulang cetak lagi pada 2023 menerusi sumbangan rakan-rakan khusus untuk
dihadiahkan kepada perpustakaan beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan
Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan Sekolah Kebangsaan (SK)
seluruh negara.
“Dalam cerita rakyat Orang Asli, binatang dan
manusia juga boleh berinteraksi antara satu sama lain. Buku Nari! Nari! sesuai dibaca oleh sesiapa
sahaja kerana mempunyai nilai dan mesej tersendiri.”
Demikian kata Nusi Nati, rakan Orang Asli yang membantu menyalurkan buku cerita
itu kepada sekumpulan kanak-kanak Orang Asli di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang,
dan Johor pada 2015.
Pada bulan September 2024, buku Nari! Nari! diulang cetak supaya dapat
dihadiahkan kepada lebih ramai kanak-kanak daripada keluarga miskin
(B40). Saya turut menghubungi Nusi Nati untuk membantu mengenal pasti
kanak-kanak yang layak.
Dari Mei hingga Julai 2024, saya
bersama-sama Persatuan Kebajikan Idayakkani mengendalikan program “Temasya Bahasa” melibatkan murid, guru, dan ibu bapa
dari 17 buah SJKT di Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak.
Pengalaman itu turut membuktikan betapa kanak-kanak
masih dahagakan bahan bacaan bermutu yang mampu menarik minat terhadap Bahasa Malaysia.
Masalah yang saya perhatikan pada 1990-an nampaknya belum selesai.
Maka, saya meminta bantuan beberapa guru
SJKT, SJKC, dan SK mengenal pasti murid yang benar-benar ada minat membaca dan
layak diberi hadiah buku cerita.
Selain cerita rakyat, saya juga menulis
cerpen kanak-kanak. Sejumlah sepuluh cerita pendek yang ditulis sejak 2003 dikumpul
dan diterbitkan dengan judul Ikan Patin dan Beruang Besar (2017).
Sekali lagi, berkat bantuan rakan-rakan dermawan, buku cerpen itu
dihadiahkan kepada sejumlah kanak-kanak pelbagai kaum berumur sembilan hingga empat
belas tahun.
Cerpen dalam buku itu menampilkan watak
pelbagai kaum, agama, dan latar belakang. Aspek kepelbagaian budaya, adat,
amalan, dan bahasa juga disajikan secara penuh kreatif.
Sebagai seorang penulis, saya amat gembira
kerana masih ada kanak-kanak dan remaja (kini sudah berusia belia) menceritakan
bagaimana buku itu berjaya memupuk minat membaca karya bahasa kebangsaan.
Kumpulan cerpen itu juga sudah kehabisan
stok. Maka, saya baru sahaja ulang cetak untuk memenuhi permintaan. Sumbangan
rakan-rakan juga diperlukan supaya buku Ikan
Patin dan Beruang Besar dapat dihadiahkan kepada perpustakaan sekolah rendah dan menengah terpilih.
Kavyan dan Idayakkani sudah mendapat kelulusan
Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk mengendalikan program “Temasya Bahasa” di
SJKT seluruh negeri.
Maka, kedua-dua buku ini akan dijadikan teks
dalam usaha memupuk minat dan budaya membaca buku cerita bahasa kebangsaan
dalam kalangan kanak-kanak. [Semak Stok Buku - Di Sini]
(Rencana ini ditulis pada 5 September 2024
dan disiarkan dalam ruangan “Bicara Budaya” di akhbar Utusan Malaysia pada 7 September
2024. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa
anda membaca segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya atas pilihan sendiri.)