Sehingga kini, istilah “keling” masih disalah guna untuk tujuan menghina sehingga makna sebenar yang positif sudah dilupakan. Dalam pada itu, Kamus Dewan sekali pun tidak memberikan satu lagi takrifan “keling” yang amat dibanggakan etnik Iban atau Dayak Laut di Sarawak.
Penduduk
asli itu pula dahulu dikaitkan dengan budaya pemburu kepala dan amat digeruni.
Topik “keling” dan “pemburu kepala” yang sinonim dengan orang Iban membuka
peluang kepada saya untuk berbual dengan seorang anak muda kelahiran Batang
Rajang, Kapit, Sarawak.
Larry
Walter Brauh Dian yang memiliki diploma seni persembahan dari Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak sangat berbangga dengan identiti dan
jati diri dimiliki.
Malah,
semasa belajar di UPSI, beliau dinobatkan pemenang tiga anugerah Festival Gawai
2021. Sejak itulah pemuda berumur 24 tahun ini semakin bersemangat menyertai pelbagai
pertandingan ‘Keling Gawai’.
“Perkataan
‘keling’ dalam bahasa Iban bermakna ‘pahlawan’ dan merujuk kepada seorang wira
legenda. Tidak ada konotasi negatif seperti di Semenanjung Malaysia,” Larry
yang kini tinggal di Sibu menjelaskan.
Sempena Pesta Gawai yang biasanya disambut pada
awal Jun, akan diadakan pertandingan khas bagi pemuda dan pemudi. Bagi kategori
wanita, johan digelar “Kumang”, diikuti “Lulong” (kedua) dan “Selinggar
Matahari” (ketiga).
Bagi
kategori lelaki pula, johan diangkat sebagai “Keling”, diikuti “Laja” (kedua)
dan “Bungai Nuing” (ketiga). Maka, gelaran “keling” yang berasal daripada makna
“pahlawan” dalam bahasa Iban adalah sesuatu yang amat membanggakan.
Sejak
2021, Larry terlibat dalam sembilan pertandingan Keling di mana yang terakhir
ialah Keling Kumang Raban Ngepan Iban di Miri pada Ogos 2023 di mana pemuda ini
diumum pemenang kategori pakaian terbaik dan bakat terbaik.
“Saya
selalu memberi komitmen 200 peratus dalam setiap persembahan, bermula dengan segala
persiapan awal. Kalau tidak menang pun tidak mengapa, asalkan juri dan penonton
merasai kehadiran saya dengan penampilan unik mewakili etnik Iban,” kata Larry
yang merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik.
Rencana penuh dalam Kumpulan Rencana (2025).
[Rencana
ini ditulis pada 15 Januari 2024 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar
Utusan Malaysia pada 20 Januari 2024.
© Uthaya
Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]