Apabila disebut nama Pulau Carey, apa yang selalu muncul dalam minda ialah Orang Asli daripada suku Mah Meri. (Baca rencana “Hargai Keunikan Orang Asli” untuk maklumat lanjut.) Sejak keluarga saya berpindah dari Taiping, Perak ke Klang, Selangor pada akhir 1991, saya banyak mendengar tentang pulau ini.
Saya hanya berpeluang ke Pulau Carey dua kali untuk mengendalikan
program penghayatan bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sana
pada 2015. Agak menarik kerana ada tiga buah SJKT dan tentulah secara logik
bermakna pernah ada ramai penduduk kaum India di sana pada suatu masa dahulu.
Selepas mendengar beberapa kisah dan pengalaman berkaitan komuniti India
di Pulau Carey, akhirnya saya berpeluang memiliki buku Carey Island: Jalannya Berdebu
(2024) yang turut diterbitkan dalam edisi bahasa Tamil.
Malah, pada 31 Mac 2024, saya mengunjungi Dr. Ramachandran Ponnan yang berusaha mengumpulkan catatan kenangan
sekitar 65 individu yang sama ada lahir di Pulau Carey atau pernah berkerja di
pulau berkenaan. Hasilnya, sebuah dokumentasi penting untuk merakam hakikat
hidup kaum India di pulau itu.
“Sewaktu berkunjung ke Muzium Pulau Carey, saya amat kecewa dan hairan
kerana sejarah serta sumbangan komuniti India tidak ditemui. Saya tidak mahu
sejarah terpadam atau ditenggelamkan. Situasi itu yang mencetuskan idea
sehingga lahirnya buku ini dengan kerjasama pelbagai pihak,” Ramachandran
menjelaskan.
Sesungguhnya kedua-dua buku ini membantu saya mengetahui sejarah dan
pengalaman sebenar komuniti India di Pulau Carey. Setiap halaman mendokumentasi
cerita suka duka, perjuangan dan kejayaan yang mustahil kita temui dalam buku
teks sejarah di sekolah dan universiti.
Menurut maklumat dalam buku ini, keluarga diraja Selangor memberi
konsesi tanah di pulau ini kepada Syarikat Jugra Land untuk membangunkan
kawasan paya bakau terbiar. Kemudian, pada 1906, syarikat itu bersama Carey
Berhad membangunkan sebahagian pulau bagi tujuan pertanian.
Individu yang menerajui usaha ini ialah E.V. Carey di mana namanya
diberikan kepada pulau ini. Pada mulanya, penanaman kopi dan teh diusahakan di
Pulau Carey sebelum beralih kepada kelapa dan getah. Tenaga buruh untuk meneroka
tanah dan kemudian berkerja di ladang dibawa dari India.
Mulai 1970-an, getah diganti dengan kelapa sawit. Tenaga buruh Indonesia
dan Bangladesh mula dibawa masuk. Penduduk asal kaum India pula semakin berkurangan
kerana berhijrah ke tempat lain.
Ladang di Pulau Carey pula pada waktu itu bertukar tangan daripada orang
British kepada Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan kemudian kepada Sime Darby
Plantation.
Bagi komuniti India generasi kedua, ketiga, dan keempat di Pulau Carey,
mereka telah melihat sendiri segala perubahan yang berlaku di sini sama ada
dari sudut ekonomi, sosial, politik, sejarah, atau pembangunan.
Mereka juga bimbang kalau-kalau segala sumbangan, pengalaman, dan
sejarah komuniti India di pulau ini hilang dan dilupakan jika tidak ada
sebarang usaha dokumentasi.
Itulah juga sebabnya cadangan projek buku yang diusahakan ini mendapat
sokongan pelbagai lapisan komuniti. Ramachandran berkongsi pengalaman
mengusahakan projek ini dengan bantuan sekumpulan bekas pelajarnya yang
memiliki aspirasi hampir sama.
Keluarga Ramachandran berpindah dari Ladang Sungai Tinggi, Batang
Berjuntai (Bestari Jaya) ke Pulau Carey pada 1967. Sebagai remaja berumur 17
tahun waktu itu, dia mula meneroka pulau berkenaan untuk mengenali keunikannya.
Apabila pulang selepas menamatkan pengajian tinggi di India, Ramachandran menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (Inggeris) Ladang Barat. Dia masih ingat motivasi diberi pengetua waktu itu, Paul Nathan, demi membantu anak-anak kaum India berjaya dalam pelajaran.
Pengalaman Ramachandran, Paul Nathan dan ramai lagi orang didokumentasi
dalam buku setebal 195 halaman ini, manakala buku versi Tamil pula 145 halaman.
Sebagai seorang penulis, pengkaji, dan peminat sejarah, saya amat teruja
membaca buku Carey Island: Jalannya
Berdebu. Seolah-olah saya berpeluang bertemu dan mendengar sendiri pengalaman
lebih 60 orang yang pernah atau masih tinggal di sana.
Nampaknya pernah ada 16 penempatan bagi pekerja ladang di pulau ini pada
masa lalu. Antaranya Pandaman, Therku Perattu, Veppamalai, Aayiram Ekar, Nadu
Perattu, Theyellai Perattu, Valai Perattu, dan Sungai Pattani.
Salah satu keunikan buku ini terletak pada gabungan penulisan berbentuk
akademik dan santai. Penyelenggara yang merupakan bekas pensyarah menggunakan pendekatan
kajian akademik dengan merujuk sumber sekunder
seperti buku, jurnal dan bahan arkib.
Sementara itu, responden pula merupakan individu yang lahir di Pulau
Carey atau pernah berkerja di sana. Mereka menulis catatan berdasarkan
pengalaman sendiri. Sumber primer
seperti ini adalah maklumat asli yang tinggi nilainya dalam bidang kajian
akademik.
Rata-rata penduduk yang berkongsi pengalaman dalam buku ini merupakan generasi
kedua atau ketiga. Mereka menceritakan secara ikhlas dan terperinci segala pengalaman
suka dan duka sejak kecil di pulau ini.
Mereka terkenang kehidupan silam di ladang terpencil tanpa kemudahan
asas. Walaupun pelbagai rintangan terpaksa diharungi, rata-rata mengimbau
kenangan manis bersama rakan-rakan sepermainan.
Mereka sedar segala pengalaman itu merupakan khazanah bernilai kerana
kehidupan di Pulau Carey sudah jauh berbeza sekarang.
Ramai juga bekas guru dan guru sementara menceritakan pemerhatian dan
pengalaman. Rata-rata mengakui pentingnya pendidikan untuk memungkinkan mobiliti sosial berlaku dalam
masyarakat.
Lebih menarik apabila kebanyakan responden dalam buku ini menceritakan
kejayaan diri atau anak-anak dalam bidang pendidikan dan kerjaya.
Buku ini umpama sekarung permata, nilam, mutiara, berlian, zamrud, dan
yakut yang amat berharga dan wajar dibaca.
Nota: Majlis pelancaran buku ini di SJKT Pulau Carey Barat dijadual pada 16 Jun 2024.
[Wawancara Ramasamy Veerappan]
[Wawancara Mallika Muniandy]
[Wawancara B. Parathasarathee]
[Wawancara Sivasangu Karuppannan]
[Rencana
ini ditulis pada 4 April 2024 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 6 April 2024. © Uthaya Sankar
SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]