30 Apr 2024

Jalan Berdebu di Pulau Carey

Apabila disebut nama Pulau Carey, apa yang selalu muncul dalam minda ialah Orang Asli daripada suku Mah Meri. (Baca rencana “Hargai Keunikan Orang Asli” untuk maklumat lanjut.) Sejak keluarga saya berpindah dari Taiping, Perak ke Klang, Selangor pada akhir 1991, saya banyak mendengar tentang pulau ini.

Saya hanya berpeluang ke Pulau Carey dua kali untuk mengendalikan program penghayatan bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sana pada 2015. Agak menarik kerana ada tiga buah SJKT dan tentulah secara logik bermakna pernah ada ramai penduduk kaum India di  sana pada suatu masa dahulu.

Selepas mendengar beberapa kisah dan pengalaman berkaitan komuniti India di Pulau Carey, akhirnya saya berpeluang memiliki buku Carey Island: Jalannya Berdebu (2024) yang turut diterbitkan dalam edisi bahasa Tamil.

Malah, pada 31 Mac 2024, saya mengunjungi Dr. Ramachandran Ponnan yang berusaha mengumpulkan catatan kenangan sekitar 65 individu yang sama ada lahir di Pulau Carey atau pernah berkerja di pulau berkenaan. Hasilnya, sebuah dokumentasi penting untuk merakam hakikat hidup kaum India di pulau itu.

“Sewaktu berkunjung ke Muzium Pulau Carey, saya amat kecewa dan hairan kerana sejarah serta sumbangan komuniti India tidak ditemui. Saya tidak mahu sejarah terpadam atau ditenggelamkan. Situasi itu yang mencetuskan idea sehingga lahirnya buku ini dengan kerjasama pelbagai pihak,” Ramachandran menjelaskan.

Sesungguhnya kedua-dua buku ini membantu saya mengetahui sejarah dan pengalaman sebenar komuniti India di Pulau Carey. Setiap halaman mendokumentasi cerita suka duka, perjuangan dan kejayaan yang mustahil kita temui dalam buku teks sejarah di sekolah dan universiti.

Menurut maklumat dalam buku ini, keluarga diraja Selangor memberi konsesi tanah di pulau ini kepada Syarikat Jugra Land untuk membangunkan kawasan paya bakau terbiar. Kemudian, pada 1906, syarikat itu bersama Carey Berhad membangunkan sebahagian pulau bagi tujuan pertanian.

Individu yang menerajui usaha ini ialah E.V. Carey di mana namanya diberikan kepada pulau ini. Pada mulanya, penanaman kopi dan teh diusahakan di Pulau Carey sebelum beralih kepada kelapa dan getah. Tenaga buruh untuk meneroka tanah dan kemudian berkerja di ladang dibawa dari India.

Mulai 1970-an, getah diganti dengan kelapa sawit. Tenaga buruh Indonesia dan Bangladesh mula dibawa masuk. Penduduk asal kaum India pula semakin berkurangan kerana berhijrah ke tempat lain.

Ladang di Pulau Carey pula pada waktu itu bertukar tangan daripada orang British kepada Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan kemudian kepada Sime Darby Plantation.

Bagi komuniti India generasi kedua, ketiga, dan keempat di Pulau Carey, mereka telah melihat sendiri segala perubahan yang berlaku di sini sama ada dari sudut ekonomi, sosial, politik, sejarah, atau pembangunan.

Mereka juga bimbang kalau-kalau segala sumbangan, pengalaman, dan sejarah komuniti India di pulau ini hilang dan dilupakan jika tidak ada sebarang usaha dokumentasi.

Itulah juga sebabnya cadangan projek buku yang diusahakan ini mendapat sokongan pelbagai lapisan komuniti. Ramachandran berkongsi pengalaman mengusahakan projek ini dengan bantuan sekumpulan bekas pelajarnya yang memiliki aspirasi hampir sama.

Keluarga Ramachandran berpindah dari Ladang Sungai Tinggi, Batang Berjuntai (Bestari Jaya) ke Pulau Carey pada 1967. Sebagai remaja berumur 17 tahun waktu itu, dia mula meneroka pulau berkenaan untuk mengenali keunikannya.

Apabila pulang selepas menamatkan pengajian tinggi di India, Ramachandran menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (Inggeris) Ladang Barat. Dia masih ingat motivasi diberi pengetua waktu itu, Paul Nathan, demi membantu anak-anak kaum India berjaya dalam pelajaran.

Pengalaman Ramachandran, Paul Nathan dan ramai lagi orang didokumentasi dalam buku setebal 195 halaman ini, manakala buku versi Tamil pula 145 halaman.

Sebagai seorang penulis, pengkaji, dan peminat sejarah, saya amat teruja membaca buku Carey Island: Jalannya Berdebu. Seolah-olah saya berpeluang bertemu dan mendengar sendiri pengalaman lebih 60 orang yang pernah atau masih tinggal di sana.

Nampaknya pernah ada 16 penempatan bagi pekerja ladang di pulau ini pada masa lalu. Antaranya Pandaman, Therku Perattu, Veppamalai, Aayiram Ekar, Nadu Perattu, Theyellai Perattu, Valai Perattu, dan Sungai Pattani.

Salah satu keunikan buku ini terletak pada gabungan penulisan berbentuk akademik dan santai. Penyelenggara yang merupakan bekas pensyarah menggunakan pendekatan kajian akademik dengan merujuk sumber sekunder seperti buku, jurnal dan bahan arkib.

Sementara itu, responden pula merupakan individu yang lahir di Pulau Carey atau pernah berkerja di sana. Mereka menulis catatan berdasarkan pengalaman sendiri. Sumber primer seperti ini adalah maklumat asli yang tinggi nilainya dalam bidang kajian akademik.

Rata-rata penduduk yang berkongsi pengalaman dalam buku ini merupakan generasi kedua atau ketiga. Mereka menceritakan secara ikhlas dan terperinci segala pengalaman suka dan duka sejak kecil di pulau ini.

Mereka terkenang kehidupan silam di ladang terpencil tanpa kemudahan asas. Walaupun pelbagai rintangan terpaksa diharungi, rata-rata mengimbau kenangan manis bersama rakan-rakan sepermainan.

Mereka sedar segala pengalaman itu merupakan khazanah bernilai kerana kehidupan di Pulau Carey sudah jauh berbeza sekarang.

Ramai juga bekas guru dan guru sementara menceritakan pemerhatian dan pengalaman. Rata-rata mengakui pentingnya pendidikan untuk memungkinkan mobiliti sosial berlaku dalam masyarakat.

Lebih menarik apabila kebanyakan responden dalam buku ini menceritakan kejayaan diri atau anak-anak dalam bidang pendidikan dan kerjaya.

Buku ini umpama sekarung permata, nilam, mutiara, berlian, zamrud, dan yakut yang amat berharga dan wajar dibaca.

Nota: Majlis pelancaran buku ini di SJKT Pulau Carey Barat dijadual pada 16 Jun 2024. [Wawancara Ramasamy Veerappan] [Wawancara Mallika Muniandy]

[Rencana ini ditulis pada 4 April 2024 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 6 April 2024. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]