31 Dec 2023

Reaksi Pembaca Beta – Anuradha Chelliah

Saya rasa bahagian awal cerpen Guruji dari Jaisalmeragak berbeza dengan cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB yang pernah saya baca sebelum ini. Bahagian awal cerpen ini, yang saya baca sebagai pembaca beta”, umpama membaca kisah sejarah atau kisah kehidupan seorang individu terkenal pada suatu masa dahulu. Sememangnya agak unik untuk mengetahui dan membaca konon-kononnya kisah seorang guruji yang terkenal dengan sekumpulan pengikut tegar.

Walaupun tiada langsung dialog dalam petikan awal yang diberi, saya lebih tertarik dengan apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Walaupun dialog dapat menarik minat pembaca, namun penyampaian isi adalah lebih penting dalam usaha menarik minat pembaca.

Semasa membaca kisah ini, saya rasa seperti seseorang sedang menceritakan kisah guruji kepada saya (pembaca). Saya juga cuba mencari-cari siapakah guruji ini dan adakah guruji ini benar-benar wujud. Mungkin saya terpaksa menunggu dengan penuh sabar untuk berpeluang membaca sambungan kisah ini. Ternyata, tulisan tanpa dialog dalam cerpen ini langsung tidak membosankan.

Saya bersetuju bahawa gaya penulisan pada petikan awal cerpen ini begitu meyakinkan dan seolah-olah individu bernama Prashamsaneeji memang benar-benar wujud. Saya begitu yakin individu bernama Prashamsaneeji merupakan seorang guru yang pernah menyebarkan ajarannya di sini (Malaya), berdasarkan apa yang ditulis pada bahagian awal cerpen ini.

Judul buku (The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy), nama tempat (Jaisalmer, Rajasthan) dan tahun kelahiran (1870) serta tahun penghijrahan tokoh itu ke Malaya (1930) begitu meyakinkan. Semua ini pasti akan membuatkan pembaca mahu terus mengetahui kisah guruji berkenaan.

Pada pendapat saya, watak utama (“Saya”) harus meneruskan kajiannya kerana para pembaca sedang menanti untuk mengetahui siapakah guruji ini dan apakah ajaran beliau kepada para pengikutnya sehingga “Saya” sanggup mengkaji dengan lebih lanjut dan terperinci mengenai watak guruji.

Saya pasti ada sesuatu yang telah mendorong watak utama berumur 21 tahun ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai guruji. Apakah yang mendorong “Saya”? Mengapakah “Saya” mengatakan tidak akan termakan hasutan? Apa yang pasti, watak “Saya” harus mencari jawapan kepada pelbagai pertanyaan.

Agak sukar untuk saya mengagak apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerpen ini. Saya cuba kaitan kisah ini dengan beberapa kisah yang pernah saya baca, namun saya tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya. Mungkin pemuda berumur 21 tahun ini akan menyediakan slaid berdasarkan maklumat yang ditemuinya, tetapi tidak akan mempersembahkannya kepada para pengikut guruji pada tarikh yang ditetapkan.


[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha aktif menulis sejak tahun 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022). Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]