Saturday, 3 February 2018

Addison, Aku Tetap Juara!

Sebuah karya kreatif – termasuk cerpen dan novel – tidak hanya bergantung kepada kemampuan penulis untuk bercerita. Selain daripada mesej atau pengajaran yang disampaikan, sebuah novel – termasuk bagi bacaan kanak-kanak – amat wajar menampilkan ilmu bantu dan maklumat tambahan yang berupaya membantu memperkaya pengetahuan pembaca.

Perkara ini berjaya dilakukan oleh Chua Pei Yong dengan sempurna menerusi novel Addison, Aku Tetap Juara! (2018). Sebagai seorang penulis etnik Hokkien berketurunan Tionghua yang gemar membaca dan menimba ilmu, anak jati Klang, Selangor ini berjaya menerapkan ilmu baharu yang jarang ditemui dalam karya kreatif tempatan.

Malah, saya berpendirian bahawa novel sulung Pei Yong bukan sebuah novel kanak-kanak. Sebaliknya, sebuah novel bagi bacaan khalayak remaja awal (13–15 tahun) pelbagai kaum.

Novel setebal 128 halaman ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dijual pada harga RM8.00 senaskhah.


Watak-watak yang ditampilkan memberi nafas baharu dan segar kepada khalayak yang dahagakan karya-karya yang terlepas daripada acuan konvensional. Watak-watak seperti Mei San dan Rajeswari [bukan Raja Rajeswari Seetha Raman] bukan sekadar “watak sampingan” seperti yang sering berlaku dalam karya-karya lazim di Malaysia. Sebaliknya, merekalah penggerak utama yang menghidupkan fiksyen ini.

Pei Yong juga menampilkan sedikit sebanyak unsur budaya Cina untuk membantu pembaca pelbagai kaum – kanak-kanak, remaja, dewasa – memahami keunikan budaya etnik Hokkien. Penampilan itu pula disajikan secara bersahaja, bukan secara paksa.

Ringkasnya, kemunculan novel ini amat dialu-alukan, khususnya sewaktu sastera kebangsaan memang ketandusan bahan bacaan bermutu bagi khalayak kanak-kanak dan remaja.

Saya berharap novel ini mendapat perhatian yang sewajarnya dalam penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi kategori novel kanak-kanak/remaja.