Memandangkan petikan daripada dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dipaparkan di BAHAGIAN PERTAMA adalah dalam Bahasa Malaysia, maka ia mampu dibaca
oleh semua rakyat Malaysia. Anda tidak mempersoalkan mengapa maklumat mengenai
kaum India perlu dipaparkan dalam Bahasa Malaysia; mengapa bukan dalam Bahasa Tamil.
Demikianlah juga apabila saya menulis mengenai budaya kaum India menggunakan Bahasa Malaysia.
Sama ada anda kaum India atau Bukan India, anda akan mampu membacanya; kerana
sasaran pembaca saya adalah Bangsa Malaysia.
Mungkin pula ada puak yang mempersoalkan bahawa memandangkan
lebih 55% kanak-kanak kaum India belajar di SJKT,
bukankah lebih baik jika mesej yang ingin disampaikan kepada kaum India ditulis
menggunakan Bahasa Tamil.
Hal ini mengingatkan saya secara khusus kepada Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama,
Taiping, Perak sejak Jun 2016. Teks bacaan, borang dan sebagainya menggunakan
Bahasa Malaysia. Peserta yang rata-rata terdiri daripada golongan B40 mengisi
borang dan menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Memang ada segelintir yang
selesa dengan Bahasa Tamil, tetapi majoriti tidak menghadapi masalah membaca
dan menulis menggunakan Bahasa Malaysia pada skala sederhana.
Apabila timbul keperluan, wakil Kavyan menggunakan Bahasa Tamil untuk
berbual, berkomunikasi dan memberikan penerangan kepada peserta. Penjelasan
yang diberikan memudahkan peserta kelompok B40 lebih memahami perkara tertentu
yang mungkin asing bagi mereka.
Antara program yang dijalankan di Aulong Lama sejak Jun 2016
di bawah Projek Komuniti Kavyan
adalah Hari Keluarga Komuniti India, Program Latihan Kepimpinan, Program
Memartabatkan Bahasa Malaysia, Bengkel
Memperkasakan Wanita, Temasya
Bahasa, Program Pembimbing Rakan Sebaya, Bengkel
Lakonan Pentas, Bengkel Keluarga Harmoni, Bengkel Mencungkil Kreativiti, Bakat
Seni dan Budaya Kaum India, Baca
Cerpen Siru Kambam III dan Bengkel
Baca Cerpen Kavyan.
Saya dan Kavyan sebenarnya berada di landasan yang betul
walaupun hampir kesemua peserta Projek
Komuniti Kavyan di Aulong Lama adalah komuniti India dalam kategori B40.
Data dalam dokumen Pelan
Tindakan Masyarakat India Malaysia mencatatkan bahawa hasil tinjauan
bersemuka yang dilakukan oleh Sekretariat Pelan Tindakan Masyarakat India
Malaysia dengan kelompok B40 di seluruh Semenanjung Malaysia menunjukkan, “Bahasa Tamil dan
Bahasa Malaysia merupakan bahasa yang paling difahami oleh responden.”
Data menujukkan bahawa 94% responden memiliki tahap
kecekapan “baik” untuk berbual menggunakan Bahasa Tamil, manakala 64% bagi Bahasa Malaysia, dan 29% untuk Bahasa Inggeris.
Dari sudut kemampuan memahami komunikasi lisan, 93% memiliki kecekapan
Bahasa Tamil, 64% dalam Bahasa Malaysia, dan 32% dalam Bahasa
Inggeris.
Bahasa Malaysia Merentas Kaum dan Kedudukan Ekonomi
Walaupun majoriti kaum India dalam kategori B40 yang
diwawancara mempunyai kecekapan “baik” dalam perbualan Bahasa Tamil (94%) dan
kemampuan memahami Bahasa Tamil lisan (93%), keadaan berubah secara drastik
apabila melihat pada aspek kemampuan membaca dan mengarang (menulis) dalam
Bahasa Tamil.
Sementara 42% responden mengaku cekap membaca bahan-bahan dalam Bahasa Tamil, sebanyak 49% responden mampu membaca bahan-bahan dalam Bahasa Malaysia.
Hanya sejumlah 38% responden kaum India dalam kategori B40
yang ditemui di seluruh Semenanjung Malaysia memiliki kemampuan mengarang
(menulis) dalam Bahasa Tamil, berbanding 46%
yang boleh melakukannya dalam Bahasa
Malaysia.
Kavyan dan saya sendiri tidak kisah sama ada khalayak
sasaran aktiviti dan bahan bacaan merupakan orang India atau Bukan India; SJKT,
SJKC atau SK; T20, M40 atau B40. Kelompok sasaran kami adalah Bangsa Malaysia.
Bagaimanapun, jika mahu dipersoalkan sama ada aktiviti Kavyan
serta hasil tulisan saya yang menggunakan Bahasa Malaysia boleh sampai kepada
komuniti India dalam kategori B40, perlu diingat bahawa mengikut data dalam
dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia,
terdapat 57,624 isi rumah kaum India berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan,
serta 71,148 isi rumah dengan pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan.
Jumlahnya adalah 128,772 isi rumah kaum India dalam kumpulan
berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Mereka termasuk dalam kategori B40.
Data sudah menunjukkan bahawa mereka memiliki “tahap kecekapan baik” (malah, lebih baik!) dalam membaca dan mengarang
menggunakan Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Tamil.
Dokumen Pelan Tindakan
Masyarakat India Malaysia turut memaparkan data berkaitan tahap penguasaan
bahasa dalam kalangan ibu bapa berpendapatan rendah (B40) dan mempunyai
anak-anak yang masih bersekolah. Sejumlah 68% ibu bapa berkenaan “berharap
anak-anak mereka melanjutkan pendidikan tinggi”.
Dalam kalangan responden itu, kemampuan berbual adalah Bahasa Tamil (99%),
Bahasa Malaysia (96%) dan Bahasa
Inggeris (73%). Kemampuan memahami adalah Bahasa Tamil (99%), Bahasa
Malaysia (95%) dan Bahasa Inggeris
(78%).
Pada masa sama, kemampuan membaca pula, Bahasa Tamil (65%), Bahasa Malaysia (79%) dan Bahasa Inggeris (58%), manakala kemampuan mengarang (menulis) menunjukkan Bahasa Tamil (60%), Bahasa Malaysia (76%) dan Bahasa Inggeris (54%).
Semakin jelas bahawa Kavyan dan saya sendiri berada di
landasan yang betul. Tidak timbul soal kaum India (kanak-kanak, remaja, belia, dan
orang dewasa; termasuk lepasan SJKT dan kelompok B40) menghadapi masalah untuk
membaca, memahami dan mengikuti program Kavyan dalam Bahasa Malaysia, atau
tulisan saya dalam Bahasa Malaysia.
Selanjutnya -- Penerimaan Kaum India Terhadap Bahasa Kebangsaan.
Selanjutnya -- Penerimaan Kaum India Terhadap Bahasa Kebangsaan.
Sejak diasaskan pada tahun 1999, Kavyan berpegang teguh pada
moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.
Segala aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya terbuka kepada
semua tanpa batas kaum dan bahasa ibunda.
Hasil tulisan saya dalam Bahasa Malaysia disasarkan kepada
seluruh Bangsa Malaysia. Maka, tidak timbul soal hasil tulisan saya hanya mampu
dibaca orang Melayu, atau kaum India hanya boleh menikmati tulisan saya jika
ditulis menggunakan Bahasa Tamil.
Malah, ANDA
sendiri menjadi bukti nyata! Tahniah dan terima kasih kerana sudi membaca
tulisan ini sepenuhnya. Baca juga - Buku Budaya Kaum India.
Nota: Memang ada individu (tanpa mengira kaum dan
latar pendidikan) yang kurang mampu membaca karya/tulisan Bahasa Malaysia.
Mereka masih boleh menikmati (mendengar) Rakaman Audio Bacaan Cerpen yang
diedarkan secara percuma.
Topik berkaitan -- Penerimaan Kaum India Terhadap Bahasa Kebangsaan.
Topik berkaitan -- Penerimaan Kaum India Terhadap Bahasa Kebangsaan.
Perkembangan pada Jun 2018 -- Kerajaan Semak Semula MIB.