1. Saya bercadang menyelenggarakan sebuah buku (antologi) yang menghimpunkan hasil karya mana-mana individu yang mempunyai impian mahu melihat karyanya diterbitkan dalam bentuk buku.
2. Keutamaan diberikan kepada individu yang pernah menyertai mana-mana program anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
3. Individu yang belum berpeluang menyertai aktiviti Kavyan masih akan dipertimbangkan jika ada alasan yang munasabah. (Misalnya, tinggal jauh dari lokasi aktiviti.)
4. Karya yang dimaksudkan termasuk (tetapi tidak terhad kepada) sajak, pantun, cerpen, rencana, esei, kritikan, pandangan, ulasan buku, ulasan filem, esei-foto (photo essay), dan catatan pengalaman.
5. Setiap karya mestilah (wajib) merupakan karya asli tanpa sebarang unsur peniruan yang menjadikannya tidak asli.
6. Karya mestilah mampu menarik minat khalayak umum; bukannya karangan membosankan yang ditulis mengikut skema jawapan peperiksaan sekolah.
7. Karya wajib ditulis menggunakan Bahasa Malaysia; tetapi penggunaan perkataan/frasa bahasa-bahasa lain dibenarkan mengikut kesesuaian.
8. Individu yang tidak tahu membezakan antara “ke” dan “kah” dinasihatkan supaya tidak mengirimkan karya untuk antologi ini.
9. Tema adalah bebas, tetapi tidak melanggar Perlembagaan Malaysia.
10. Penulis mestilah warganegara Malaysia.
11. Karya yang sudah pernah tersiar di akhbar, majalah, jurnal, blog dan sebagainya masih diterima untuk antologi ini. (Jangan kirim karya yang pernah diterbitkan dalam bentuk buku.)
12. Peserta juga digalakkan mengirimkan karya baharu yang belum pernah tersiar di mana-mana.
13. Setiap karya akan dinilai oleh penyelenggara dan penerbit.
14. Keputusan penilaian adalah muktamad. Penyelenggara/penerbit berhak untuk tidak memberikan alasan mengapa karya ditolak.
15. Setiap penulis dibenarkan mengirim maksimum lima (5) karya.
16. Karya yang terpilih mungkin disunting sebelum dimuatkan dalam antologi.
17. Karya yang mempunyai terlalu banyak kesalahan bahasa atau kesalahan tanda baca akan ditolak. (Penulis dinasihatkan supaya menyemak karya mereka berulang kali sebelum dikirim kepada penyelenggara.) [Sedikit Panduan – untuk rujukan sahaja]
18. Hak cipta karya dipegang oleh masing-masing penulis.
19. Karya yang terpilih tidak dibayar royalti atau honorarium kerana projek ini bertujuan memberi peluang kepada penulis baharu melihat karya mereka diterbitkan dalam bentuk buku.
20. Setiap penulis akan menerima satu (1) naskhah buku sebagai cenderamata. Buku hanya akan disampaikan pada majlis pelancaran. Penulis yang tidak menghadiri majlis pelancaran tidak akan menerima cenderamata ini. (Jika buku perlu dikirim melalui pos, penulis perlu menanggung kos PosLaju.)
21. Penulis yang terpilih wajib mengemukakan foto profesional (bukan selfie) untuk dimuatkan dalam antologi. Foto perlu dikirim menerusi e-mel secara lampiran (attachment).
22. Penulis yang terpilih wajib mengemukakan biodata mengikut format yang ditetapkan oleh penerbit. (Format akan dikirim selepas karya dinilai.)
23. Bagi karya berbentuk puisi (sajak, pantun dan sebagainya), panjang karya mestilah sekurang-kurangnya 20 baris.
24. Bagi karya berbentuk prosa (rencana, cerpen dan sebagainya), panjang karya mestilah 400 – 1,000 perkataan. (Bagi kanak-kanak sekolah rendah, panjang karya prosa sekurang-kurangnya 150 perkataan.)
25. Bagi karya berbentuk esei-foto, teks mestilah sekurang-kurangnya 50 perkataan, dan disertakan sekurang-kurangnya satu (1) foto asli.
26. Karya wajib dikirim menerusi e-mel sebagai lampiran (attachment). Penyerahan dalam sebarang bentuk/cara lain tidak dilayan.
27. Tarikh tutup muktamad bagi penyerahan karya (manuskrip) adalah pada 31 Mei 2017 (Rabu). Karya yang dikirim selepas tarikh tutup tidak akan dilayan sama sekali.
28. Bagi karya yang terpilih, penulis terbabit akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2017 (Jumaat).
29. Antologi ini akan dicetak dalam jumlah terhad; iaitu berdasarkan jumlah tempahan awal berbayar (paid pre-order).
30. Para penulis yang karya mereka termuat dalam antologi ini digalakkan turut membuat tempahan awal berbayar; sama ada untuk diri sendiri atau untuk dihadiahkan/dijual kepada orang lain.
31. Para penulis juga perlu terlibat sama dalam usaha membantu mempromosikan antologi ini bagi mendapatkan tempahan awal berbayar daripada saudara-mara dan orang ramai.
32. Antologi ini hanya akan diterbitkan sekiranya terdapat jumlah karya yang mencukupi untuk dibukukan; dan jika jumlah tempahan awal berbayar mencapai minimum 300 naskhah sebelum 31 Julai 2017.
33. Hubungi uthayasb@yahoo.com.my atau www.facebook.com/uthaya jika ada sebarang pertanyaan berkaitan projek penerbitan antologi ini.