Judul: Kaatu Perumal: Folk Hero of Sungai Siput
Penulis: Dave Anthony
Penerbit: Parsosma Enterprise
Tahun: 2015 (Cetakan Pertama)
Tebal: 86 halaman
Harga Pasaran: RM18.00
Harga Saya: [RUJUK DI SINI]
Komunis sering diberikan gambaran negatif di negara ini.
Orang komunis – termasuk ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada
1930 – dilabel sebagai pengganas dan pembunuh yang kejam.
Label demikian mula-mula diberikan oleh penjajah British.
Anehnya, walaupun komunis di Malaya pada mulanya menentang penjajah dan
kapitalis British, akan tetapi PKM dan British bekerjasama menentang Jepun di
Malaya (1941-1945). Apabila British kembali menjajah Malaya (1945), komunis
juga kembali menentang penjajah berkenaan.
Buku teks Sejarah
terus melabel komunis sebagai pengganas. Darurat (1948-1960) menguatkan lagi
gambaran negatif mengenai pejuang/tentera komunis. British muncul sebagai wira,
manakala komunis yang berjuang demi tanah air diberikan label pengganas yang
kejam.
Benarkah anggota komunis – Cina, Melayu dan India –
merupakan pengganas yang menzalimi orang awam? Mungkinkah benar pemerintah
(British) menganiaya orang awam dengan menjadikan komunis sebagai alasan?
Inilah antara persoalan penting yang turut diketengahkan
menerusi buku Kaatu Perumal: Folk Hero of Sungai Siput
(2015) tulisan Dave Anthony. Buku ini terhasil menerusi cerita lisan daripada
sekumpulan warga emas yang diwawancara oleh penulis di sekitar Sungai Siput,
Perak.
Siapakah sebenarnya Kaatu Perumal? Mengapa dan bagaimana
seorang pemuda dari estet menyertai gerakan komunis, lalu menjadi buruan
British? Benarkah dia seorang yang zalim? Malah, benarkah Kaatu Perumal gagal
dibunuh tentera British?
Dave Anthony memberikan contoh Kerala Varma Pazhassi Raja
dan Udham Singh sebagai contoh awal pejuang antipenjajah di India. Pasti ada
ciri-ciri dan keperibadian tertentu pada diri Kaatu Perumal yang membuatkan
warga emas di sekitar Sungai Siput masih menganggapnya sebagai wira yang wajar diraikan
dan dikenang.
Buku setebal 86 halaman ini memberikan peluang kepada orang
ramai untuk menilai semula makna
komunis dari sudut yang berbeza. Kita berpeluang mengenali hati-budi dan
perjuangan seorang individu yang sanggup berkorban demi orang ramai. Perjuangan
Kaatu Perumal bukan untuk dirinya, tetapi untuk kaum India khasnya, dan orang
ramai amnya.
Kehidupan – dan kematian – Kaatu Perumal penuh misteri. Hal
ini demikian kerana sejarah hanya merekodkan dan mendokumentasikan hal-hal
berkaitan kebaikan “tuan” seperti penjajah British, dan seterusnya orang
tempatan yang meneruskan gaya “penjajahan” British.
Memandangkan buku ini ditulis berdasarkan penceritaan lisan,
memanglah kesahihan fakta boleh dipertikaikan. Akan tetapi, pada masa sama,
usah lupa bahawa teks-teks keagamaan juga pada mulanya disampaikan secara lisan
sebelum usaha diambil untuk merekodkannya dalam bentuk bertulis.
Sejarah lisan wajar dihormati dan diberikan ruang yang
sewajarnya. Walaupun mungkin ada fakta yang sedikit bercelaru, malah bercanggah
– termasuk dalam kalangan individu yang diwawancara bagi tujuan buku ini – tetapi
kepentingan sejarah lisan perlu diakui dalam usaha kita untuk sama-sama mengetahui
sejarah sebenar di negara bertuah ini.
Pembacaan buku Kaatu
Perumal akan mampu membuka mata dan minda kita untuk melihat dan berfikir
di luar daripada acuan yang sudah sekian lama dibentuk oleh “penjajah” (luar
dan dalam).
Sila
hubungi saya menerusi mesej peribadi – Facebook atau uthayasb@yahoo.com.my – sekiranya anda
berminat membeli buku ini. Hanya sementara stok masih ada. Anda juga mungkin
berminat membeli: [RUJUK SENARAI DI SINI]