Wednesday, 3 August 2016

Anda Mahu Terus Membisu?

Nampaknya “isu-isu terpencil” yang berlaku di beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) semakin membimbangkan, dan perlu diberikan perhatian serius sebelum nasi menjadi bubur.

Saya menyeru guru-guru, bekas guru, murid-murid, bekas murid, serta ibu bapa yang menghantar anak-anak ke SJKT tampil mendedahkan kelemahan supaya penyakit yang sedang merebak dapat diubati.


Langkah segera perlu diambil demi menyelamatkan SJKT dan memastikan sekolah aliran Tamil terus unggul di Malaysia; selaras kempen “SJKT Pilihan Kita” yang giat dipromosikan sejak beberapa tahun lalu.


Baru-baru ini, portal Vanakkam Malaysia (30 Julai 2016) melaporkan bahawa seorang guru SJKT cuba membunuh diri. Akhbar The Star (31 Julai 2016) memberikan maklumat lebih lanjut mengenai kes itu yang berlaku di Klang, Selangor. Berita ini turut dilaporkan di Free Malaysia Today (1 Ogos 2016).

Saya pernah menulis artikel “Guru SJKT dan Bunuh Diri” (The Malay Mail Online, 9 dan 10 Februari 2015) untuk mendedahkan isu penderaan mental oleh guru besar yang menyebabkan ramai guru SJKT memikirkan untuk membunuh diri.

Portal Free Malaysia Today (2 Ogos 2016) menyiarkan berita ibu bapa yang hilang kepercayaan terhadap guru besar sebuah SJKT di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pelbagai isu berkaitan SJKT telah saya dedahkan menerusi beberapa artikel – BACA DI SINI dan BACA DI SINI – sehingga akhbar Tamil Nesan (13 Januari 2016) melabel saya sebagai “pengkhianat” yang perlu dihadapkan ke mahkamah. Akhbar itu turut “menyeru pencinta Bahasa Tamil di seluruh negara membuat laporan polis terhadap pengkhianat ini.”

Akhbar Malaysia Nanban (19 Januari 2016) pula menjatuhkan hukuman bahawa saya tidak layak mengkritik kelemahan SJKT kerana saya bukan keturunan Tamil, bahasa ibunda saya bukan Tamil, dan saya bukan bekas murid SJKT.

Sehingga kini, tidak ada walau satu laporan polis dibuat oleh sesiapa terhadap saya berhubung pelbagai pendedahan yang saya lakukan. Tentu semua pihak tahu bahawa pendedahan yang saya lakukan adalah berdasarkan fakta dan bukti, serta bertujuan menyelamatkan SJKT sebelum dihancurkan oleh orang dalam.

[Lihat juga - SK Jadi Lubuk Perkauman?]

Apabila membaca dan mendengar mengenai pelbagai isu SJKT sejak belakangan ini, saya sedar bahawa saya tidak boleh berdiam diri walaupun saya bukan keturunan Tamil, bahasa ibunda saya bukan Tamil, dan saya bukan bekas murid SJKT (Malaysia Nanban, 19 Januari 2016).


Tentu ramai yang mahu menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung pelbagai kepincangan yang nyata wujud di SJKT, tetapi tiada saluran untuk bersuara. Politik di SJKT membuatkan banyak pihak terpaksa makan hati berulam jantung.

Maklumlah, daripada pengalaman saya sendiri, apabila artikel “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” tersiar, Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Dr N. Rajendran bertanya, “Apakah Uthaya tidak tahu tentang kejayaan murid-murid SJKT?” (Malaysia Nanban, 14 Januari 2016); manakala Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menegakkan benang yang basah dengan berkata, “tidak ada satu pun kes seumpama itu berlaku di SJKT.”


Kini, peluang dibuka kepada individu yang prihatin dan berani untuk tampil menyuarakan pandangan dan komen terhadap isu-isu yang benar-benar wujud di SJKT.


Saya memberi jaminan bahawa maklumat peribadi setiap individu terbabit akan dirahsiakan sepenuhnya. Maklumat peribadi tidak akan didedahkan kepada sesiapa.

Murid SJKT, bekas murid, ibu/bapa/penjaga kepada murid atau bekas murid SJKT, guru dan bekas guru SJKT yang berani sahaja dipelawa mengisi borang dalam talian ini.

[Lihat juga - SK Jadi Lubuk Perkauman?]

Maklumat yang disalurkan akan digunakan untuk menulis artikel di blog dan portal berita. Isu-isu yang memerlukan perhatian juga akan disalurkan terus kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

(Tentulah Kamalanathan dan Rajendran mungkin menafikan apa-apa masalah dan isu yang didedahkan mengenai SJKT. Maka, saya akan membawakan terus segala isu itu kepada perhatian media dan pegawai-pegawai kementerian yang boleh membantu.)


Orang ramai boleh tampil melakukan pendedahan demi masa depan SJKT dan masa depan murid-murid SJKT; atau boleh memilih untuk berdiam diri dan membiarkan SJKT menemui kehancuran secara semula jadi.


Baca: [ADUAN 1] - [ADUAN 2] - [ADUAN 3]