4 Aug 2016

SJKT – Aduan 2

Berikut aduan yang diterima daripada Sheila (bukan nama sebenar) pada 4 Ogos 2016 berhubung SJKT Ladang Victoria, Padang Serai:

Anak saya belajar di SJKT Ladang Victoria, Padang Serai. Tiada lagi program atau aktiviti luaran dengan alasan Guru Besar (GB) dan Penolong Kanan 1 (PK1) tidak mahu sebarang kecelakaan berlaku jika murid-murid menyertai apa-apa aktiviti atau pertandingan. GB dan PK1 juga memberi alasan yang mereka berdua juga ada keluarga dan bukan hanya bertugas menjaga anak-anak orang lain (murid sekolah). GB juga berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak akan memberi kebenaran dengan sewenang-wenangnya atau membuat pengumuman mengenai sebarang pertandingan. Bukankah murid-murid sepatutnya menimba pengalaman dan pendedahan daripada aktiviti luar, dan bukan terperuk di dalam bilik darjah sahaja?
   
Pada masa Mesyuarat Agung PIBG, ibu bapa digalakkan bertanya soalan. Tetapi jika ada sebarang pertanyaan daripada ibu bapa, jawapan yang diberikan GB dan PK1 amat kasar dan seperti berteriak. Mereka selalu mengutuk ibu bapa bahawa jika ibu bapa tidak tahu peraturan PPD/sekolah, lebih baik tutup mulut. “Kamu tidak dibenarkan tanya soalan jika kamu sendiri tidak tahu jawapannya!” Bukankah ibu bapa berhak bertanya sebarang soalan jika tidak puas hati? Inikah sikap GB dan PK1 kepada ibu bapa yang hantar anak-anak ke SJKT? Ramai ibu bapa yang berfikir mahu tukar anak-anak ke sekolah lain! 
   
Beberapa guru sekolah ini mengadu kepada saya bahawa GB dan PK1 bercakap kasar kepada guru wanita, dan memberi tekanan mental sehingga ramai guru bercadang memohon bertukar ke sekolah lain. Guru-guru yang berani bersuara akan dipulaukan. Sebagai seorang ibu, saya bimbang segala isu ini akan menjejaskan prestasi akademik dan ko-kurikulum anak-anak. 
     
Ada maklumat bahawa PK1 mengajar di sebuah pusat tuisyen. Dia menggalakkan murid-murid sekolah ini mengambil kelas tuisyen di pusat itu. Anehnya, tindakan PK1 mendapat sokongan GB. 
   
Saya dan beberapa ibu bapa pernah kemukakan aduan menerusi e-mel elaiyaraj@moe.gov.my kepada pembantu Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan, tetapi sehingga kini tiada maklum balas. Harapan saya adalah masalah-masalah ini diselesaikan secepat mungkin, sebelum berlaku apa-apa kecelakaan.

Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan sepenuhnya. Anda juga boleh tampil mengemukakan aduan demi usaha menyelamatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daripada sebarang kelemahan yang menjejaskan impian kempen “SJKT Pilihan Kita” oleh kerajaan.

Rujuk Anda Mahu Terus Membisu? untuk maklumat lanjut – atau KLIK DI SINI.

Paparan isu-isu terpencil ini bertujuan menarik perhatian pihak berkuasa – khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia, dan Jabatan Perdana Menteri – supaya siasatan dapat dilakukan sebelum mana-mana SJKT mengalami kemusnahan akibat tindakan tangan-tangan yang rakus.

Harap maklum bahawa anda membaca paparan ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.