[Mengikut laporan Bernama,
jumlah penduduk kaum India di negara ini hampir dua juta orang; dengan majoriti
keturunan Tamil. Soalnya: Apakah wujud rasa sangsi terhadap kesetiaan kaum
India terhadap Malaysia?]
[BACA BAHAGIAN PERTAMA] – Pada
26 Julai 2010, saya memutuskan untuk mengambil langkah wajar sebagai protes
terhadap penghinaan yang dilakukan melalui penggunaan istilah “bangsa asing”
dan “pendatang”. Keputusan saya adalah seperti berikut; sebagaimana saya
paparkan pada ruangan status di Facebook
pada 26 Julai 2010:
“Sesiapa yang berpendirian bahawa warganegara Malaysia
daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan ‘lain-lain’ sebagai ‘pendatang’ dan
‘bangsa asing’ tolong segera klik unfriend
kerana saya tidak layak menjadi sahabat anda. Teruskanlah hidup anda yang penuh
kepura-puraan.”
Dalam masa tidak sampai 24 jam, dua individu berbuat
demikian. Terima kasih, Tuhan, kerana menyelamatkan saya daripada terus berkawan
dengan puak ekstremis, etnosentrik, ultra kiasu dan fanatik yang menggugat
keamanan negara!
Mengikut laporan Bernama (9 Disember 2012), jumlah penduduk kaum India di negara ini
hampir dua juta orang; dengan majoriti keturunan Tamil. Soalnya: Apakah wujud
rasa sangsi terhadap kesetiaan kaum India terhadap Malaysia?
Sejarah membuktikan bahawa kedatangan
penduduk awal kaum India adalah dari Benua Kecil India. Akan tetapi, bukan
hanya selepas tahun 1900 seperti yang cuba “disajikan” kepada pelajar Tingkatan
Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya menerusi novel Interlok: Edisi Murid karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang dimanipulasi pihak
berkepentingan.
Malah, walaupun negara sudah mencapai
kemerdekaan, masih ramai penduduk kaum India di Malaysia dikatakan
lebih berminat mengetahui perkembangan politik – selain perkembangan filem – di
India berbanding perkembangan dalam negeri.
Sekelompok anak-anak muda yang lahir jauh
selepas merdeka juga didapati lebih terkesan oleh perkembangan politik di India
(khasnya Tamil Nadu) berbanding apa yang berlaku di dalam negara. Kehadiran enam akhbar Bahasa Tamil yang menyajikan berita Tamil Nadu memudahkan lagi perkara ini berlaku. [Nota: Akhbar keenam terbit mulai 1 Mac 2013.]
Tidak kurang juga kelompok yang masih
menggelar serta menganggap diri mereka sebagai imigran dari India. Saya sendiri
pernah mendengar ungkapan seperti itu yang sebenarnya amat memalukan dan
semacam tidak memahami realiti.
Hal ini belum termasuk label “pendatang” yang
dipercayai diletakkan secara penuh sedar oleh puak tertentu yang secara
terancang berusaha menafikan hak kaum India sebagai warganegara Malaysia.
Bukti sejarah dihapus secara terancang
Di sisi yang lain pula, sekumpulan kaum
India sendiri nampaknya menganggap Malaysia sebagai “negara mereka” (their
country) dan bukannya “negara kita” (our country). Isu-isu ini saya
perhatikan sendiri hasil pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang
didengar dan diperhatikan adalah realiti pahit. Saya ada memperkatakan isu ini
menerusi sebuah makalah di majalah Minda keluaran September 2003; jauh
sebelum tsunami politik 8 Mac 2008.
Agak menarik jika dapat dikaji mengapa
keadaan seperti didedahkan di atas boleh berlaku. Mungkin sahaja penelitian
terhadap sejarah awal kedatangan kaum India ke negara ini boleh membantu kita
untuk sama-sama memahami mentaliti dan sifat mereka pada masa kini.
Hubungan antara Benua Kecil India dan
Kepulauan Melayu di nusantara sebenarnya terjalin jauh sebelum bermulanya
Kerajaan Melayu Melaka. Sejak awal kurun Masehi, sudah terdapat
kerajaan-kerajaan awal seperti Srivijaya, Funan, Langkasuka, Kadaram (Kedah),
Tun-Sun (Terengganu) dan Chih-Tu (Kelantan).
Kajian membuktikan bahawa kesemuanya
adalah kerajaan yang dipengaruhi unsur Hindu-Budha dan budaya serta tradisi
pemerintahan India. Malangnya, bukti-bukti sejarah itu semakin dihapuskan
secara terancang oleh puak tertentu demi kepentingan politik perkauman. Suatu
lagi realiti yang pahit untuk diterima. Saya sedar bahawa saya akan dikecam kerana
mengeluarkan kenyataan ini tetapi fakta tetap fakta.
Walaupun kemudian Kerajaan Melayu Melaka
menerima pengaruh Islam, unsur-unsur agama Hindu dan budaya India terus
kekal dan sebati dengan budaya Melayu-Islam hingga kini. Cuba
perhatikan, teliti dan kaji budaya Melayu-Islam di Malaysia secara objektif dan
hakikat ini akan terpampang jelas di depan mata. Tidak wujud “budaya Melayu”
yang kukuh jika semua “budaya India” dibuang.
Kedatangan orang India ke Kepulauan Melayu
pada peringkat awal hanyalah sebagai pedagang. Jumlah mereka tidak ramai dan
mereka tidak bercadang untuk menetap di sini. Namun, mereka mendapat tempat
istimewa daripada golongan diraja sehingga digelar “saudagar diraja”. [Lihat
juga: Masyarakat Chetti]
Pada tahun 1820-an, banduan-banduan India
dilaporkan dibawa ke Tanah Melayu. Tenaga buruh banduan berkenaan digunakan
untuk membina bangunan, jalan raya dan jambatan. Perlu diingat bahawa India dan
Tanah Melayu sama-sama dijajah British pada waktu itu.
Agak menarik juga untuk direnungkan
bagaimana ada pihak yang tidak lama dahulu tiba-tiba tampil mengubah fakta
sejarah dengan mengatakan bahawa negara ini tidak pernah dijajah! Maka, saya
tidak akan terkejut jika ada puak tertentu tampil mengatakan bahawa negara ini
tidak pernah menerima sebarang pengaruh budaya dan agama dari India.
Berbalik pada topik perbincangan, pada
tahun 1840-an, ladang-ladang tebu mula diusahakan secara besar-besaran di
Seberang Perai oleh pengusaha Eropah. Lalu, buruh dibawa dari Tamil Nadu, India
untuk bekerja di sana. Pembukaan ladang kopi di Selangor pada tahun 1870-an
membuatkan lebih ramai buruh dibawa dari India.
Punca kaum India berhijrah ke Tanah Melayu
Suatu perkara yang cukup menarik untuk
diteliti adalah berhubung soal mengapa pengusaha ladang Eropah berminat
mengambil rakyat India menjadi buruh di ladang. Alasan yang biasa diberi adalah
bahawa Tanah Melayu dan India sama-sama dijajah British. Maka, proses membawa
buruh adalah lebih mudah dan murah. Upah yang diminta juga jauh lebih rendah
berbanding upah yang sedia diterima pekerja dari Eropah.
Sebenarnya, selain daripada alasan di
atas, ada beberapa lagi alasan yang lebih menarik untuk diteliti secara
mendalam. Alasan-alasan ini bukan sahaja relevan untuk mengkaji mengapa
pengusaha ladang Eropah mengambil buruh dari India. Malah, boleh membantu untuk
mengetahui sifat dan peribadi penduduk kaum India secara am.
Ada beberapa sebab mengapa orang India
bersedia untuk datang ke Tanah Melayu sebagai buruh pembinaan dan buruh di
ladang pada masa silam. Sistem aturan dan kedudukan dalam masyarakat di negara
India pada masa lalu menjadi penghalang untuk mencapai mobiliti sosial.
Seseorang yang lahir dalam keluarga pencuci pakaian (dobi), misalnya, hanya
boleh menjadi pekerja dobi dan tidak boleh mencapai status lebih tinggi dalam
masyarakat di negara itu.
Berbekalkan impian membaiki kedudukan
ekonomi dan status dalam masyarakat tanpa dipengaruhi ikatan tradisi yang
mengongkong, ramai yang bersedia datang ke Tanah Melayu yang dikenali sebagai Suwarna
Bumi (“Semenanjung Emas”).
Bagaimanapun, jangan pula terpengaruh
seratus peratus dengan apa yang dipaparkan dalam novel Interlok: Edisi Murid dan dipertahankan secara bermati-matian oleh puak tertentu bahawa
rata-rata buruh kaum India yang dibawa ke Tanah Melayu oleh British adalah
daripada “kasta p***”. Semua itu boleh dianggap – malah terbukti – propaganda terancang
puak tertentu bagi menjatuhkan maruah dan semangat kaum India di Malaysia.
Pada realiti masa silam, pertambahan dan
kepadatan penduduk di Benua Kecil India juga menyebabkan masalah mendapatkan
bekalan makanan yang mencukupi. Begitu juga dari segi pekerjaan. Situasi
menjadi bertambah buruk sepanjang musim kemarau dan banjir besar.
Di bawah pemerintahan British, penduduk di
India terpaksa membayar cukai yang tinggi. Semua faktor ini menyebabkan ramai
rakyat India memutuskan untuk mencari kehidupan baru di Tanah Melayu.
Di pihak pengusaha Eropah pula, mereka
dikatakan memilih untuk mengambil buruh dari India kerana golongan ini sentiasa
akur pada arahan kerja yang diberi. Mereka tidak menimbulkan masalah kepada
majikan.
Sikap ini tentu sekali disukai pengusaha
ladang Eropah yang menghadapi masalah mendapatkan golongan pekerja seperti itu
daripada kalangan buruh dari Eropah dan penduduk Melayu tempatan pada waktu
itu. – Bersambung
minggu hadapan [BACA DI SINI]
[Makalah
ini dikemas kini pada 2 Mac 2013 berdasarkan bahan lama dan disiarkan di Roketkini pada 19 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]