14 Feb 2013

Politikus Muda Mendepani Zaman

Topik mengenai kedudukan kaum India di Malaysia sebagai “deposit tetap” bagi Barisan Nasional (BN) hangat diperkatakan sejak Perhimpunan Agung Ke-66 MIC pada Ahad lalu – BACA DI SINI.
 
Semasa berbual-bual bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad di Taman Subang Indah pada 12 Disember 2012, saya cuba mendapatkan sedikit pandangannya berhubung perkara ini.
 
Akan tetapi, sebelum itu, saya berminat juga untuk mengetahui pengalaman pergaulan beliau bersama masyarakat India sebelum gelombang Reformasi pada tahun 1998 dan sebelum terlibat dalam bidang politik sejak tahun 2001 pada usia 19 tahun.
 
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengakui bahawa pada peringkat awal – sebelum menjadi ahli politik – pengalaman bergaul dengan masyarat India agak terhad disebabkan beberapa faktor.
 
“Saya ada rakan-rakan pelbagai kaum semasa di sekolah rendah. Kemudian, apabila masuk ke sekolah menengah berasrama penuh, rakan-rakan sepenuhnya kaum Melayu. Namun, masih ada peluang berinteraksi bersama guru-guru kaum India. Pada peringkat A-Levels, hampir 70 peratus pelajar Melayu. Ringkasnya, pada peringkat awal memang ada interaksi dengan kaum India tetapi tidak menyeluruh dan rapat,” katanya.
 
Selepas terlibat dalam bidang politik pula, Nazmi mengakui bahawa peluang dan ruang untuk berkomunikasi dengan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang semakin banyak. Khususnya apabila beliau mula aktif dalam Keadilan (nama lama) di Kelana Jaya.
 
“Lebih-lebih lagi, apabila saya menjadi ADUN Seri Setia pada 2008. Ini antara DUN paling tinggi komuniti kaum India di negeri Selangor, iaitu hampir 30 peratus. Jadi, secara tidak langsung, interaksi dengan kaum India memang banyak,” beliau mengimbau kenangan silam.
 
Pemuda itu turut mengakui tentang realiti Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 yang dilihat sebagai “Tahun Hindraf” iaitu berikutan kebangkitan kumpulan itu pada tahun sebelumnya. Gelombang kebangkitan kaum India sangat nyata apabila mereka berani menentang arus dan tampil menyokong parti-parti pembangkang.
 
“Saya perhatikan sendiri keadaan di mana ada banyak tempat yang sebelum itu sukar dimasuki calon dan wakil PAS dan Keadilan untuk berkempen dan menjalankan aktiviti. Tiba-tiba sahaja, rata-rata kawasan yang majoriti penduduknya kaum India, kami sudah boleh masuk dan dialu-alukan oleh penduduk setempat.
 
“Dahulu, pengaruh satu parti politik tertentu (MIC) terhadap masyarakat India sangat besar sehingga sukar diterobos parti-parti lain. Kini masalah seperti itu tidak timbul. Sama ada calon kaum Melayu, Cina atau India, masyarakat India sudah sedia menerima mereka tanpa sentimen kaum. Memang banyak perubahan positif berlaku sejak 2008,” katanya.
 
Memandangkan Nazmi kini banyak berurusan dengan masyarakat India, saya ingin juga tahu sekiranya beliau melihat kehadiran apa-apa nilai dan keistimewaan pada budaya kaum India. Bagi saya, perkara itu juga mampu memberi sedikit gambaran sama ada seorang tokoh politik mahu benar-benar memahami penduduk di kawasannya atau sekadar melihat mereka sebagai “aset dan deposit tetap”.
 
Pemuda ini yang ternyata percaya pada demokrasi, keadilan sosial dan perpaduan nasional sangat teruja untuk berkongsi pengalaman dan penelitiannya bersama-sama saya. Katanya, masyarakat India memang diperhatikannya sangat cepat menguasai sesuatu bahasa berbanding komuniti lain.
 
“Kalau lihat pada kepetahan atau kebolehan kaum India menguasai Bahasa Malaysia dan Inggeris – selain bahasa ibunda mereka – memang hebat. Pada pengamatan dan pandangan saya, mungkin kerana kaum India adalah minoriti berbanding kaum Melayu dan Cina, misalnya, maka mereka secara semula jadi mampu menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling dan tuntutan semasa,” kata Nazmi yang memperoleh Ijazah LLB (Kepujian) dari King’s College, Universiti London.
 
Beliau juga kagum dengan semangat yang ditunjukkan masyarakat India sejak dahulu sebagai aktivis dan pejuang hak sosial dan politik. Contoh paling nyata adalah dalam kesatuan sekerja di mana ramai individu kaum India terlibat sebagai pemimpin berikutan kesedaran tentang hak pekerja.
 
Satu lagi perkara yang ternyata menarik perhatian Nazmi adalah kekayaan budaya yang dimiliki kaum India. Walaupun pada umumnya budaya kaum India yang ditonjolkan di Malaysia adalah budaya keturunan Tamil, pemuda ini menyedari serta menghargai bahasa, budaya dan keunikan amalan keturunan lain seperti Malayalam, Telugu dan Punjabi.
 
Saya mengenali Nazmi sejak akhir tahun 1990-an sewaktu beliau menjadi editor SuaraAnum.com tetapi kami hanya bertemu pada Mac 2011; semasa isu novel Interlok: Edisi Murid sedang hangat diperkatakan. Namun, saya sentiasa mengikuti perkembangan politikus muda ini menerusi laman sesawang dan laporan media alternatif.
 
Memandangkan kawasan di mana beliau menjadi ADUN merupakan “kawasan panas” dan ada ramai penduduk kaum India (54.3 peratus Melayu, 28.3 peratus India, 16.3 peratus Cina), mungkinkah timbul masalah bahasa dan komunikasi? Misalnya bersama-sama penduduk di Desa Mentari, Taman Desaria, Kampung Lindungan, Kampung Penaga, PJS5, PJS6, Kampung Gandhi dan Taman Medan.
 
Tambahan pula, Nazmi secara relatif masih muda berbanding politikus dalam BN, misalnya. Dalam pada itu, pandangan yang sering dicanangkan pihak tertentu (etnosentrik) adalah bahawa kaum India di negara ini kurang menguasai bahasa kebangsaan.
 
“Memang ada sedikit masalah bahasa dan komunikasi dengan warga emas kaum India tetapi tidak timbul isu dalam kalangan generasi muda. Tetapi saya dan rakan-rakan seperjuangan tidak menjadikan isu penguasaan bahasa sebagai alasan untuk menafikan hak penduduk. Kalau ada individu yang menghadapi masalah komunikasi dan bahasa, rakan-rakan lain tampil membantu menjadi penterjemah,” katanya dengan optimis.
 
Mengenai usianya pula, Nazmi mengakui bahawa pada peringkat awal (2008), memang ada penduduk yang sedikit sangsi pada kemampuannya. Tambahan, beliau wakil rakyat termuda yang dipilih berikutan PRU-12.
 
“Waktu itu, nampak sangat saya muda dan berumur 26 tahun. Ada juga golongan penduduk lebih dewasa di kawasan saya yang tertanya-tanya bolehkah ‘budak’ seperti saya memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Tetapi, selepas mereka melihat sendiri kemampuan saya, timbul keyakinan,” pemuda berumur 30 tahun itu mengakui.
 
Memandangkan Nazmi menjadi ADUN di kawasan yang ada ramai penduduk kaum India, maka saya tidak melepaskan peluang untuk meminta pandangan beliau berhubung kenyataan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan penduduk/pengundi kaum India di negara ini sebagai “deposit tetap” bagi BN.
 
“Saya rasa, apabila kita menggelarkan mana-mana komuniti itu sebagai aset atau deposit tetap, ada dua gambaran yang diberikan. Pertama, sifat melihat semua perkara dari sudut kewangan; seolah-olah penduduk dan rakyat negara ini hanya aset kewangan untuk parti pemerintah.
 
“Kedua, kenyataan seperti itu sebenarnya suatu peghinaan kepada komuniti terbabit; sama ada Melayu, Cina, India atau etnik lain di negara kita. Kalau kita lihat, dahulu BN menggelarkan Sabah dan Sarawak sebagai aset dan deposit tetap. Kita boleh lihat sendiri keadaan di kedua-dua negeri itu sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut.
 
Menghurai lanjut mengenai kaum India pula, katanya, komuniti ini belum ada kekuatan politik berbanding kaum Melayu. Mereka juga belum ada kekuatan ekonomi berbanding kaum Cina, misalnya. Akibatnya, keperluan masyarakat India sering dilupakan dan hak mereka dianggap tidak penting oleh pemerintah; kecuali dijadikan “aset dan deposit tetap” menjelang pilihan raya.
 
Sebagaimana saya, Nazmi juga masih tertanya-tanya mengapa parti-parti politik berasaskan kaum perlu dijadikan medan dan medium untuk mendekati dan menangani masalah rakyat.
 
Misalnya, MIC sering diserahkan tugas dan tanggungjawab oleh Kerajaan Pusat untuk meneliti, menilai dan menyelesaikan masalah berkaitan kaum India. Akhirnya, tidak timbul interaksi sebenar antara Kerajaan BN dengan kaum India; sebaliknya hanya interaksi antara MIC dengan kaum India. Bagaikan tanpa MIC, kaum India tidak boleh “berhubung terus” dengan kerajaan.
 
“Amalan seperti itu mengingatkan kita pada zaman feudal. Saya merasakan amalan itu tidak sihat dan tidak sesuai dalam konteks negara kita pada abad ke-21,” kata pengarang buku Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 (2010) itu.
 
Lalu, apa yang sihat dan sesuai bagi Malaysia? Demikian saya bertanya untuk menguji pendirian sebenar Nazmi.
 
“Bagi saya, apa yang sesuai adalah amalan politik di mana kita melihat segala isu melibatkan mana-mana kaum, etnik, agama dan komuniti sebagai isu rakyat dan isu warga Malaysia. Kalau ada kaum India yang dinafikan hak dokumen pengenalan diri, itu isu hak rakyat Malaysia. Kalau ada individu kaum Cina yang layak tetapi tidak menerima biasiswa, itu isu penindasan terhadap rakyat Malaysia,” katanya secara spontan dan ikhlas.
 
[Makalah ini ditulis pada 12 Disember 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 17 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]