Kamariah Kamarudin
sedikit teragak-agak sewaktu mahu menghadiahkan
senaskhah buku kajian ilmiah berjudul Takmilah
dalam Novel Melayu (2011) kepada saya.
Kami bertemu di rumah Timah Baba (isteri
Allayarham Dr Othman Puteh) pada petang 7 Jun 2012
setelah sekian lama tidak berpeluang untuk bertemu dan berkongsi cerita.
Di pihak saya pula, saya amat gembira
menerima hadiah berupa buku daripada rakan penulis yang sebelum ini menghasilkan
novel-novel seperti Takdir Bukan Hukuman (1992),
Tiada Noktah Kasih (1996) dan Kau yang Kusayang (2004) serta kumpulan
cerpen Mencari Kamil (2008).
Buku ilmiah Takmilah dalam Novel Melayu adalah kajian peringkat kedoktoran yang
dilakukan Kamariah secara mendalam dan menyeluruh dengan mengaplikasikan Teori
Takmilah bertunjangkan Islam yang dipelopori Dr Shafie Abu Bakar.
Kamariah juga menggunakan Teori Takmilah
dalam kajian ilmiah peringkat ijazah sarjana sewaktu kami sama-sama meneruskan
pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1998.
Walaupun buku ini adalah berdasarkan sebuah
kajian ilmiah peringkat kedoktoran, ia masih amat komunikatif dan “mesra
pembaca”. Seorang individu “Bukan Islam” seperti saya juga tidak menghadapi
masalah untuk memahami pelbagai perkara berkaitan Islam yang diperkatakan oleh pengarang
dengan bahasa yang mudah.
Kita sering mendengar mengenai penganjuran
pertandingan menulis novel/cerpen berunsur Islam tetapi apakah sebenarnya yang
dimaksudkan dengan “berunsur Islam”? Sering kali karya “berunsur Islam” akan
berbentuk dakwah yang kurang mempunyai nilai seni dan sastera; serta kurang
“mesra” dengan pembaca Bukan Islam.
Penelitian terhadap buku Takmilah dalam Novel Melayu mampu
memberikan penjelasan sebenar kepada “penulis karya berunsur Islam” mengenai
apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan karya seumpama itu.
Dalam bab pertama, Kamariah menghuraikan
secara amat terperinci mengenai konsep Sastera Islam dan fenomenanya di
Malaysia. Penjelasan mengenai pandangan/karya Imam al-Ghazali, Sayyid Quth dan
Ismail Raj’i Al-Faruqi pasti membantu pemahaman pembaca terhadap pelbagai aspek
penghasilan karya berunsur Islam.
Bab kedua pula menerangkan apa sebenarnya
Teori Takmilah; khususnya sejarah, prinsip, hubungan dengan sastera, inderawi,
akli dan rohani.
Seterusnya, Kamariah memperkatakan konsep
akidah dan ibadah dalam bab ketiga. Dalam menghuraikan konsep-konsep berkenaan,
beliau memberikan contoh daripada sejumlah novel yang dijadikan teks kajian.
Walaupun pada dasarnya Takmilah dalam Novel Melayu adalah sebuah buku kajian ilmiah, ia
masih amat sesuai dibaca oleh khalayak umum yang mahu mengetahui secara
mendalam apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “karya berunsur Islam”.
Malah, selepas membaca buku ini, orang
ramai akan berpeluang mengaplikasikannya pula sewaktu membaca karya-karya lain;
khususnya cerpen dan novel yang dihasilkan penulis beragama Islam di negara
ini.
Menerusi pembacaan bab keempat buku ini,
saya lebih memahami konsep sebenar khalifah, dakwah dan jihad,
serta ciri-ciri kamil dan rabbani yang sepatutnya hadir secara penuh seni dalam
karya-karya berunsur Islam.
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa
dakwah dalam Islam terbahagi kepada dakwah terhadap orang Islam, terhadap ahli
keluarga dan terhadap masyarakat luar; sebelum memikirkan soal dakwah terhadap
orang “Bukan Islam”.
Begitu juga konsep jihad yang terbahagi
pula kepada jihad nafsu (jihad besar), jihad nafsu dengan diri sendiri, jihad
nafsu dengan lelaki/wanita, jihad lahiri (jihad kecil), jihad dengan hati,
jihad dengan lisan/kalam, jihad dengan taklim, jihad dengan harta/wang dan
jihad dengan nyawa.
Maka, buku setebal 672 halaman ini tidak
sekadar membantu khalayak lebih memahami karya sastera berunsur Islam. Lebih
daripada itu, Takmilah dalam Novel Melayu
amat sesuai dijadikan bahan bacaan ke arah menjayakan proses dakwah
terhadap orang Islam sendiri.
Maka, sekiranya anda sedang memikirkan
“hadiah” yang sesuai diberi kepada ahli keluarga sempena ketibaan Ramadan, buku
Takmilah dalam Novel Melayu terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah serampang dua mata yang amat bertepatan.
(Uthaya Sankar SB pernah menjadi kolumnis
ruangan sastera di majalah Dakwah
terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Ulasan
buku ini ditulis pada 26 Jun 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 30 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)