Istilah “salam” dalam Bahasa Malaysia datang daripada Bahasa Arab yang membawa makna “aman” atau “sejantera” (peace). Dalam konteks Malaysia, kesilapan besar yang sering dilakukan kelompok tertentu adalah dengan mengaitkan “salam” hanya dengan agama tertentu. Hal ini mungkin berlaku kerana As-Salam adalah satu daripada 99 nama Allah dalam Islam.
..
Apabila kita gagal membezakan antara “salam” dan “As-Salam", maka timbullah prasangka apabila orang daripada agama lain menyapa kita dengan kata “salam”. Kekurangan dan kejahilan sebenarnya terletak pada diri kita sendiri yang berfikiran sempit dan tidak tahu makna “salam”.
..
Malah, dalam kalangan orang Israel (Yahudi), ada lagu popular bertema keamanan berjudul “Salaam”. Dalam Bahasa Hebrew, “salam” disebut “shalom” manakala dalam Bahasa Malta disebut “sliem”.
..
Dalam konteks Arab-Islam, “As-Salamu Alaykum” membawa makna “may peace be upon you” dan biasanya dibalas dengan “wa alaykum as-Salam” yang membawa makna “and upon you be peace”. Dalam konteks Arab-Islam, kedua-dua ucapan itu tidak disempitkan pada etnik, kaum, bangsa dan agama tertentu.
..
Dalam konteks Bahasa Malaysia, “assalamualaikum” adalah istilah Bahasa Arab yang membawa makna “selamat sejahtera kepada kamu semua” dan “damai atau kesejahteraan padamu” (Kamus Dewan). Maka, sesiapa yang berkata “Assalamualaikum dan selamat sejahtera” sebenarnya jahil dan/atau fanatik.
..
Malah, “memberi salam” tidak semestinya merujuk kepada ucapan “assalamualaikum” seperti yang disangka golongan tertentu; sebaliknya merujuk pada perbuatan mengucapkan kata-kata hormat seperti assalamualaikum, salam, vanakam, hello dan selamat sejahtera.
..
Begitu juga apabila kita “kirim salam” kepada seseorang. Makna sebenar “kirim salam” adalah bahawa kita mengharapkan orang berkenaan berada dalam kesejahteraan. Dalam Bahasa Inggeris, sering disebut “Please send him my regards” yang membawa makna “Tolong sampaikan salam saya kepadanya”.
..
Malangnya, ramai golongan jahil yang sering bertanya, “Kirim salam saja? Tak kirim barang?” kerana mereka tidak tahu makna “kirim salam” dan “sampaikan salam”. Serta mereka ternyata mementingkan material!
..
Lebih malang apabila dalam konteks kelompok tertentu, “salam” (atau vanakam, atau shalom, atau apa sahaja istilah dalam bahasa mereka) hanya bagi kelompok itu yang ternyata amat fanatik dan berfikiran sempit. Kononnya salam (atau vanakam, atau shalom, atau namaste, atau sat sri kal, atau apa sahaja istilah yang membawa konotasi sama dalam bahasa mereka) tidak boleh diucapkan kepada orang lain dan ucapan salam daripada orang lain juga tidak boleh dibalas.
..
Mujurlah hal-hal yang menjahanamkan dan penuh kejahilan seperti ini tidak berlaku di negara bertuah ini.
..
Dalam pada itu, dalam konteks budaya masyarakat India di seluruh dunia, “salam” (aman, sejahtera) ditujukan kepada semua insan tanpa batas kaum, agama dan bangsa; seperti yang pernah saya huraikan DI SINI. Salam!
..
Nota: Pandangan saya berkaitan beberapa frasa Arab-Islam boleh dibaca DI SINI. Nota 2: Dengar lagu "Salam" - DI SINI. Baca juga makalah lebih terperinci mengenai topik ini -- SILA KLIK DI SINI.