Suatu hal yang mungkin
membuatkan saya sedikit “mesra” dan “bias” terhadap
karya-karya Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh dan Siti Zaleha M. Hashim
adalah berikutan hakikat bahawa kami sama-sama anak kelahiran Taiping, Perak.
Pada masa sama, puisi-puisi yang dihasilkan
kedua-dua pengarang terkenal itu tidak sekadar berputar sekitar Taiping;
sebaliknya merentas batas geografi lalu berciri kebangsaan dan universal.
Kumpulan sajak terbaru Siti Zaleha ialah Kapal Kertas dan Lautan Api (2012) yang
terbit selepas Camar di Cangkir Bumi
(1999) dan Kristal di Laut Bulan
(2006). Apabila kami bertemu di Koperasi DBP, Kuala Lumpur pada 4 Mei 2012,
saya terus membeli senaskhah untuk dinikmati.
Pengarang wanita yang bersara daripada
perkhidmatan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2011 memang sentiasa
aktif dan prolifik berkarya. Sajak-sajaknya sering menghiasi halaman akhbar dan
majalah arus perdana.
Saya paling tertarik pada kehalusan bahasa,
kesantunan berbahasa serta bahasa puitis yang digunakan oleh pengarang wanita
ini untuk memperkatakan pelbagai tema dan persoalan.
Walaupun isu yang diperkatakan adalah berat
dan mengandung emosi (seperti kemarahan), Siti Zaleha tetap mengungkapkan idea,
pandangan dan kritikan secara amat halus dan penuh budi bahasa.
Terdapat sejumlah 110 sajak di dalam buku
setebal 121 halaman ini dan kebanyakannya adalah sajak-sajak yang ringkas/pendek
tetapi penuh makna tersirat/mendalam.
Bagi Dr Rahimah Abd Hamid dari Universiti
Sains Malaysia (USM), judul kumpulan sajak ini sendiri dilihat sebagai metafora
terhadap angan-angan dan ilusi manusia.
“Bukahkah kapal kertas akan terbakar
apabila terkena api, malah mana mungkin kapal kertas berlayar di lautan api.
Kapal kertas dan lautan api merupakan pernyataan terhadap pura-pura dunia yang
melingkari kehidupan manusia,” katanya.
Nilai puitis dan kesenian yang halus
terpancar menerusi sajak-sajak dalam kumpulan ini. Hasil karya ini boleh dibaca
secara santai mahu pun dijadikan bahan kajian dan renungan ke dalam diri.
Bagi golongan ibu bapa pula, sajak-sajak
terpilih daripada kumpulan ini boleh dibacakan – malah dinyanyikan – kepada
anak-anak sebagai usaha awal memperkenalkan mereka kepada keindahan puisi tanah
air.
Golongan penulis pula – khususnya penulis
muda – boleh memanfaatkan buku terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia
(ITBM) ini untuk “belajar” beberapa perkara yang berguna dalam mengejar
cita-cita menjadi pengarang/penyair.
Misalnya, setiap sajak diakhiri dengan
catatan berupa tarikh karya dihasilkan, tempat ditulis, tarikh/media penyiaran
serta hadiah dimenangi (jika ada).
Sajak “Cahaya Bulan” misalnya ditulis pada
28 Februari 2008 tetapi hanya tersiar di Dewan
Sastera pada Julai 2010. Maka, para penulis muda perlu belajar untuk
bersabar kerana sajak pengarang besar seperti Siti Zaleha juga tidak terus
disiarkan.
Penyair kreatif ini menyentuh pelbagai tema
dan persoalan yang dekat dengan diri setiap daripada kita; daripada sejarah,
mitos, sastera sehinggalah kepada isu sosial dan dunia moden.
(Uthaya Sankar SB
lahir dan membesar di Taiping, Perak sebelum berpindah ke Klang, Selangor pada
akhir 1991. Sejak 2000, penulis sepenuh masa ini tinggal di Shah Alam. Ulasan buku ini ditulis pada 26 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 9 Jun 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)