2 Jun 2012

Panchayat: Bahagian 18 – Mundani

[“Bukankah saya memang seorang balu pada erti kata yang sebenar?” Demikian soal Malliga.]

Revathi hairan. Apa pula yang Malliga Akka buat di situ, fikirnya sendirian sewaktu berjalan ke arah kandang lembu milik Ramani dan mendiang Raja di hujung kampung.

Sejak petang semalam, heboh pasal racun rumpai yang dijumpai di rumah Ramani. Kemudian heboh pula pasal tindakan Madurai Kaala yang di luar jangkaan. Memikirkan semua itu membuatkan Revathi terasa sedikit seram.

Akka!” Laung gadis berumur dua puluh tahun itu apabila sampai di kandang lembu dan terpandang Malliga berdiri termenung sendirian di pintu pondok kayu.

Malliga tidak segera menjawab sapaan itu. Dia terus juga termenung. Hanya apabila Revathi memanggilnya bagi kali ketiga, barulah dia memandang ke arah gadis berkenaan.

Melihat keadaan Malliga, serta-merta hati Revathi menjadi sayu. Dia memandang Malliga yang berwajah lesu. Pakaiannya serba putih.

Senthamarei telah berkali-kali cuba memujuk anaknya agar menggantikan sari putih itu dengan sari warna-warni.

“Biarkanlah saya begini sahaja, appa.” Demikian reaksi yang diberikan oleh Malliga. “Walaupun saya tidak dapat hidup sebagai isteri kepada Raja Attan, sekurang-kurangnya biarlah saya hidup sebagai balunya.”

“Ya, ada apa, Revathi?” Tanya gadis bersari putih itu. “Apa halnya awak mencari saya di sini?”

Revathi duduk di kerusi kayu di dalam pondok kecil berkenaan. Malliga dipelawanya duduk sama.

“Apa akka buat di sini?”

Malliga memandang Revathi dengan pandangan kosong. Kemudian kembali tertunduk. Wajahnya kehilangan seri. Melihat semua ini membuatkan hati Revathi bertambah sayu.

“Saya ke rumah akka tadi,” tambah Revathi apabila mendapati Malliga tidak menjawab pertanyaannya. “Ragu yang beritahu saya bahawa akka ada di sini.”

Mereka saling berpandangan dan terus membisu.

“Mana Ramani Attan?”

“Entah,” Malliga menjawab sepatah. “Tak nampak sejak tadi.”

“Apa yang akka buat di sini?”

“Ketenangan. Mencari ketenangan.” Malliga memandang ke arah kandang lembu. “Saya cuba mencari sisa-sisa pengalaman yang tersimpan di sini. Kenangan silam bersama Raja Attan.”

Suasana sepi melanda semula. Hanya sesekali kedengaran bunyi anak-anak lembu dari arah kandang yang terletak beberapa ela dari pondok kecil tempat berteduh itu. Lembu-lembu lain – yang berjumlah sekitar lima puluh ekor – tentu sudah keluar meragut rumput di keliling kampung. Hanya tinggal anak-anak lembu yang dibekalkan rumput di kandang.

“Kakak dengar tak tentang Madurai Kaala?” Revathi mencari topik lain untuk dibualkan. “Lembu tu tak keluar dari kuil Maha Kaali sejak petang semalam.”

Malliga sekadar mengangguk. Tapi sejurus selepas itu, dia bertanya: “Betulkah Madurai Kaala yang membunuh orang tu?”

“Begitulah keputusan panchayat pagi tadi, akka.”

Sejak kehilangan berhala emas Kaali Devi, panchayat Kubur Gajah amat kerap bersidang. Pagi tadi, majlis timbang cara diadakan lagi bagi membincangkan hal Madurai Kaala.

Semalam, sebagaimana hari-hari Selasa sebelum ini, James Arivalahan membawa Madurai Kaala ke Selama. Saban minggu, James menyertai pesta laga lembu di sana. Pendapatannya agak lumayan.

Setakat ini, belum ada arena pertarungan yang menyaksikan kekalahan lembu laga milik James Arivalahan. Madurai Kaala memang jarang menghampakan tuannya.

Lembu berbonggol tujuh inci itu memang terkenal kerana kebengisannya di arena pertarungan. Setakat ini, Madurai Kaala sudah menyertai sekurang-kurangnya tiga puluh lima pertandingan utama laga lembu.

Lembu milik Jagan yang dibawa khas dari Siam pun kalah kepada Madurai Kaala. Bukan main marah Jagan pada waktu itu. Terus ditembaknya lembu pelaga Siam yang dibelinya dengan harga ribuan ringgit.

Sejak menyertai pesta laga lembu di Selama, nama Madurai Kaala semakin dijulang oleh para peminat laga lembu. Senyuman James juga tambah panjang, tentunya, kerana kemenangan Madurai Kaala bermakna habuan berupa wang.

Akka.”

Malliga menoleh ke arah Revathi. Revathi membalas pandangan itu tanpa kata. Dia sekadar merenung sayu pada sari putih yang menutupi tubuh Malliga.

Ah! getus hati Revathi. Baru beberapa hari lalu dia masih seorang gadis. Hari ini dia sudah menjadi seorang balu tanpa pernah berkahwin. Apakah ini tanda kecintaan? Atau hadiah kesetiaan? Atau tindakan bodoh?

Revathi kembali merenung mata Malliga. Baru disedarinya bahawa Malliga sendiri sedang merenung ke dalam matanya pula; mungkin menunggu Revathi meneruskan kata.

Akka, kenapa perlu memakai sari putih?” Mata Revathi liar mengucup mata Malliga yang dianggapnya sebagai kakak kandung. “Akka bukannya seorang balu. Maksud saya, bukan seorang balu pada erti kata yang sebenar.”

Malliga sekadar tersenyum sumbing; entah mengejek Revathi atau entah mengejek nasib diri sendiri atau entah apa. Kemudian dia mengesat mata.

“Bukankah saya memang seorang balu pada erti kata yang sebenar, Revathi?”

Revathi terpinga-pinga buat seketika.

“Kalau Raja Attan meninggal dunia setelah saya menjadi isterinya,” kata gadis itu sebagai menghuraikan pendapatnya, “maka saya akan menjadi seorang balu mengikut amalan masyarakat.”

Dia berdiri, menghampiri pintu, lalu mengibarkan mundani sari putih ke arah mukanya sendiri.

“Walaupun Raja Attan meninggal sebelum sempat mengikat taali ke leher saya, saya masih mencintainya seperti dahulu. Maka itulah saya kini menjadi seorang balu pada erti kata yang sebenar.” – Bersambung minggu depan

Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 Ogos 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 2 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantumemurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)