[Penduduk Kubur Gajah membuat pelbagai andaian mengenai Raja dan
misteri kehilangan berhala emas.]
“Tiada? Oh, hari ini Selasa. Dia pergi melaga lembu di Selama, ya?
Tak mengapa. Anda berempat pergilah sekarang. Cari di setiap inci rumah Ramani.
Sementara itu, kami akan tunggu di sini.”
Tanpa membuang masa, Sitambaram mengajak tiga lagi orang yang
disebutkan oleh Senthamarei untuk pergi segera ke rumah mendiang Raja.
Sementara itu, orang ramai yang berkumpul di bawah pohon banyan
mula membuat pelbagai spekulasi tentang kehilangan berhala Kaali Devi
dan kematian Raja.
“Tentu Raja yang mencuri berhala Kaali Devi. Sebab itulah
Tuhan telah mencabut nyawa Raja di hadapan kuil Maha Kaali,” kata seseorang
kepada rakannya.
“Betul juga kata-kata awak tu, Shenbagam. Tapi saya hairan
bagaimana anak Puan Janaki tergamak berbuat demikian. Memang memeranjatkan.”
“Apa pula yang hendak dihairankan, Kannama? Sungai lagi berubah,
ini pula manusia,” kata seorang lagi. “Agaknya dia menjadi tamak apabila
melihat berhala emas itu. Sebab itu dia tergamak mencurinya.”
“Tapi dia bukannya miskin. Kandang lembunya ada lebih lima puluh lembu. Hasilnya dikira lumayan juga.”
“Mungkin juga dia nak cari duit lebih untuk majlis perkahwinannya
dengan Malliga.”
“Dan bagi perkahwinan Ramani dengan Revathi,” tambah seorang lagi
tanpa berfikir panjang.
“Tapi di mana dia nak jual berhala itu? Semua orang di negeri ini
tahu bahawa berhala Kaali Devi dengan reka bentuk khas itu adalah dari
kuil Maha Kaali kampung kita,” wanita bernama Kannama memberikan buah fikiran.
“Jadi, kalau Si Raja cuba menjualnya kepada sesiapa, tentu mereka akan tahu
bahawa berhala itu telah dicuri dari Kubur Gajah.”
Seorang lagi wanita masuk campur dengan menambah: “Si pencuri
tentulah pandai. Mungkin sahaja dia telah melebur berhala emas itu sebelum
menjualnya!”
“Betul juga kata Mak Cik Minah,” sampuk salah seorang wanita dalam
kumpulan yang sedang berbual sesama sendiri. “Tapi berhala emas Kaali Devi
usianya sangat lama. Apa kata orang, antik? Hah, kalau berhala emas itu dijual
tanpa dilebur, nilainya tentu lebih tinggi.”
“Isy! Jangan merepeklah.” Kannama menepuk lengan wanita tadi.
“Harap janganlah sampai berhala Kaali Devi dibinasakan,” katanya lagi
sambil menadah tangan. “Aiyoo, sampai hati Raja mencuri berhala Kaali
Devi dan menjualnya pula! Tergamak dia menderhaka kepada dewi yang
memelihara keluarganya selama ini. Sampai hati dia memberaki kampung tempat
kelahirannya.”
“Patut pun dia menerima balasan Tuhan. Inilah balasan bagi sesiapa
yang cuba bermain dengan kuasa Tuhan.”
Mereka sama-sama bungkam sebentar. Beberapa lagi kumpulan penduduk
sedang membualkan hal yang sama dari sudut yang berbeza. Masing-masing
memberikan pendapat, pandangan dan andaian sendiri berhubung segala yang
berlaku sejak tiga hari lalu.
“Kalau berhala tu tak ada di rumah, ke mana agaknya berhala itu
dibawa?” Seorang lelaki tua memulakan perbualan dalam satu lagi kumpulan.
“Ingat tak tentang lelaki Inggeris yang datang ke kampung kita
tempoh hari?” Tanya seorang pemuda dengan tergesa-gesa. “Mungkin dia telah
sanggup membelinya.”
“Betul. Betul kata awak tu,” sambung seorang lagi yang lebih tua.
“Memang lelaki Inggeris itu memuji-muji berhala Kaali Devi sewaktu dia
pergi ke kuil. Mungkin juga dia yang menyuruh Raja mencuri berhala berkenaan
untuk dijual kepadanya!”
Mata mereka semua terbeliak. Mulut beberapa orang pula terlopong.
Pemuda yang mengungkitkan hal lelaki Inggeris tadi tersenyum bangga kerana
pendapatnya diterima orang ramai.
“Lelaki mana? Mister Thomas?”
“Hah, dialah; yang datang melancong ke sini. Tidak mustahil dia
yang melakukan sesuatu untuk mendapatkan berhala Kaali Devi dari kuil
Maha Kaali.”
“Setan! Dia ingat berhala di kuil kita adalah satu lagi barang
antik untuk dijadikan perhiasan di ruang tamu rumahnya di London?” Pemuda tadi
menyoal dengan marah.
“Tapi …,” salah seorang dalam bondong itu bersuara perlahan;
seperti kurang yakin pada diri sendiri. “Bukannya Raja atau Ramani yang dia
kunjungi. Bukankah Mister Thomas selalu menemui Sitambaram selama dia
berada di Kubur Gajah? Mereka berdua yang selalu berbual rancak tentang entah
apa.”
“Betul juga. Tapi tidak mustahil bahawa lelaki Inggeris itu kemudian
meminta Raja mencuri berhala itu untuknya. Lagi pun, lelaki Inggeris itu selalu
bersama Sitambaram sebab dia pandai Bahasa Inggeris. Bukankah Sitambaram
bekerja dengan orang Inggeris sebelum Malaya merdeka?” – Bersambung minggu depan
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada
23 Julai 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 5 Mei 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.
Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat:
Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT
dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)