Dina Zaman pernah
menimbulkan kegelisahan dan keresahan pihak tertentu menerusi buku koleksi
rencana sulungnya, I Am Muslim (2007).
Bagi pembaca yang tekun
mengikuti ruangan “Holy Men, Holy Women” tulisannya di The Malaysian Insider pasti mengakui serta menyedari hakikat ini.
Begitulah sikap dan
keberanian Dina yang ditunjukkan sejak awal penglibatannya dalam penulisan di
pelbagai media cetak dan media alternatif bermula 1994.
Pada tahun 1997, muncul
kumpulan cerpen sulung Dina berjudul night
& day dan 15 tahun kemudian, muncul kumpulan cerpen kedua berjudul King of the Sea (2012).
Setiap kali kami bertemu,
Dina tanpa segan mengakui bahawa penguasaan Bahasa Malaysia yang dimilikinya
tidak sehebat saya. Punca dan sebabnya boleh dibaca dalam buku I Am Muslim.
Bagaimanapun, tujuan
saya menyebut perkara itu di sini adalah untuk mewajarkan hakikat bahawa Dina
menulis – fiksyen dan artikel – dalam Bahasa Inggeris.
Sebelum sesiapa mula
membuat tanggapan bahawa wanita itu menulis perkara-perkara berkaitan “orang
Inggeris”, wajar saya nyatakan bahawa kebanyakan isu yang disentuhnya adalah
amat berkait rapat dengan orang Melayu dan orang Islam.
Malah, begitulah juga
dengan cerpen-cerpen dalam koleksi ini walaupun kebanyakannya dihasilkan semasa
Dina mengikuti pengajian di Universiti Lancaster.
Secara lebih khusus, Dina
banyak mengimbau kenangan dan kisah yang berlatarkan negeri Terengganu. Dina
mengakui bahawa sepanjang berada di Lancaster, England, dia begitu merindui
kampung halaman; lalu menulis cerpen berdasarkan kenangan lalu.
Walaupun Dina menulis
menggunakan Bahasa Inggeris, kisah-kisah yang disajikan sangat “Melayu”. (Dan
saya dapat membayangkan Dina menjawab, “I
am Malay.”)
Terdapat sembilan
cerpen di dalam buku ini dan setiap satu mampu berdiri sendiri; tentunya. Lebih
daripada itu, pembacaan kesemua cerpen ini mampu memberikan semacam gambaran
menyeluruh terhadap citra dan kisah yang berlatarkan kampung halaman si
penulis.
Bagi cerpen pertama
berjudul “Masbabu”, Dina memulakan dengan menyatakan bahawa “ibu saya
menceritakan kisah ini kepada saya pada suatu hari sambil kami menikmati
karipap, keropok lekor dan teh”.
Walaupun kesemua cerita
ini menggunakan Bahasa Inggeris, “roh” Melayu tetap wujud dalam setiap cerpen.
Membaca cerpen “And She Became an Angel” misalnya, sejak awal, kita disajikan
dengan batu lesung yang diwarisi oleh Mandak daripada ibunya.
Ditampilkan juga
kisah-kisah hidup masyarakat Melayu yang dekat dengan bomoh, bidan, karipap,
nasi dagang dan sambal – serta keinginan Mandak untuk menjadi malaikat!
Dina turut menyelitkan
dialog dan frasa tertentu dalam dialek orang Terengganu; sekali gus memberikan
nilai setempat kepada kisah-kisah yang diangkatnya secara kreatif.
Cerita-cerita kampung nelayan
di tepi pantai yang menjadi nadi pada kumpulan cerpen ini tidaklah membosankan
– seperti yang sering berlaku pada cerpen-cerpen yang ditulis secara langsung
dalam bahasa ibunda oleh kebanyakan penulis Melayu.
Sebaliknya, Dina mampu
mengolah tema, isi dan teknik penceritaan secara amat baik sehingga kisah-kisah
yang “biasa” dan “mudah” dalam kehidupan seharian menjadi “luar biasa” dan “menarik”
menerusi cerpen-cerpen yang dihasilkannya secara penuh teliti.
Tidak keterlaluan untuk
mengatakan bahawa King of the Sea
mampu memperkenalkan sisi-sisi menarik Terengganu kepada khalayak (pembaca dan
pelancong) antarabangsa.
Buku ini dilancarkan
pada pukul 5:30 petang, 14 April 2012 di Silverfish Books, Bangsar. Khabarnya
muzik Melayu lama/klasik dipasang sementara Sandra Sodhy membaca petikan
beberapa cerpen dalam kumpulan ini.
(Ulasan buku ini ditulis pada
5 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 14 April 2012. Uthaya
Sankar SB diakui sebagai seorang individu yang
“honestly blunt” oleh Dina Zaman menerusi sebuah artikel di New Straits Times,
4 Julai 2001. © Uthaya Sankar SB
2012. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)