Pohon pisang mendapat tempat istimewa dalam kehidupan seharian masyarakat India. Pohon berkenaan berguna semasa upacara yang menggembirakan (perkahwinan, misalnya) mahupun semasa upacara yang menyedihkan (kematian, misalnya).
Apabila pasangan mendirikan rumah tangga, generasi tua kaum India selalunya akan merestui mereka supaya hidup beranak-pinak seperti pohon pisang. Perbandingan seumpama ini digunakan kerana pohon pisang memang subur dan mampu “melahirkan zuriat” secara produktif dan berterusan.
Pada majlis perkahwinan kaum India beraga Hindu, lazimnya sepasang pohon pisang subur ditempatkan di pintu masuk ke tempat upacara dan amalan ini adalah suatu kemestian. Pohon pisang yang dipilih pula mestilah yang sedang berbuah dan masih ada jantung pisang.
Sebaik sahaja melihat sepasang pohon pisang diletakkan menegak (sebenarnya diikat ke tiang atau kayu), maka orang ramai akan sedia maklum bahawa suatu majlis atau upacara yang menggembirakan sedang berlangsung. - Baca makalah penuh dalam Mandala Bicara.
(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 Mac 2012.)