10 Mar 2012

Panchayat: Bahagian 10 – Atma

[Malliga mahu segera melangkah pergi melihat Raja. Tetapi tubuhnya terasa teramat lemah untuk bergerak.]

“Hmm …,” kata bapa lagi. “Hal itu kita bincangkan kemudian. Bagaimana persediaan bagi menguruskan pengebumian? Sudah dimandikan jenazah si mati?”


Serta-merta dada saya terasa sebak. Raja Attan sudah tiada! Sebentar lagi jenazahnya akan dibawa ke tanah perkuburan. Mayatnya akan dibakar sehingga menjadi abu. Raja Attan sudah tiada!


“Mana para penduduk?”


“Ramai yang tak datang, tuan.”


“Tak datang? Kenapa?”


“Mereka … mereka tak mahu menghadiri upacara pengebumian orang yang mencuri berhala Kaali Devi.”


Saya cuba memandang Rengasamy yang berkata begitu. Samar-samar kelihatan kepalanya yang tertunduk. Samar-samar sahaja kerana mata saya semakin ditenggelami air mata.


Beginikah nasib yang diterima oleh Raja Attan? Sudah lupakah para penduduk, siapa Raja Attan; siapa Puan Janaki? Lupakah mereka tentang jasa mereka tiga beranak selama ini?


Saya mahu segera melangkah pergi melihat Raja Attan. Tapi tubuh saya terasa teramat lemah untuk bergerak walau seinci. Saya membiarkan sahaja tubuh saya tersandar pada tubuh emak.


Sudah lupakah para penduduk Kubur Gajah siapa yang sedang mereka pulaukan?


Puan Janaki menganggap seluruh penduduk Kubur Gajah sebagai ahli keluarganya. Bagi beliau, batas kaum dan agama tidak wujud. Kaum dan agama memang wujud, tapi tidak harus wujud batas di antaranya.


Puan Janaki sedia membantu semua orang setakat yang termampu tanpa mengira warna kulit. Beliau tidak berupaya membidankan ibu-ibu yang sakit melahirkan anak. Beliau tidak memiliki kepakaran itu. Tapi beliau sanggup membantu apa yang termampu olehnya.


“Kami melakukan semua ini dengan menganggap anda semua sebagai ahli keluarga kami,” kata mendiang Puan Janaki jika ada orang menghulurkan bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan. “Tolonglah jangan putuskan persaudaraan murni ini dengan memberikan kami wang sebagai bayaran.”


Apabila kuil Maha Kaali dibaik pulih dahulu, keluarga mendiang Puan Janakilah yang banyak membantu. Walaupun mereka tidak mampu menghulurkan wang, mereka menghulurkan tenaga.


Malah begitu juga semasa gereja di Lubok Buntan menganjurkan kutipan derma bagi membiaya kos membaik pulih bangunan yang runtuh. Atau semasa jawatankuasa surau di Selama mengutip derma kilat bagi mangsa banjir.


Raja Attan, Ramani, Roslan Jomel, Neo Peng Soon, Kavitha, Viveka, Barathi, Daniel serta Revathi dan saya sendiri adalah antara belia yang paling kerap terlibat dalam hal-hal kebajikan seumpama itu.


Dan kini, nama baik itu dicemar dengan tuduhan yang bukan-bukan. Semua ini angkara Sitambaram. Saya tahu. Tapi untuk apa lelaki itu perlu memusuhi Raja Attan? Raja Attan tidak pernah masuk campur dalam urusannya. Lalu, mengapa?


Sejak panchayat memutuskan Raja Attan sebagai pencuri semalam, hidup saya sudah tidak tenteram. Bapa pula tidak mahu berunding tentang hal itu di rumah. Katanya, urusan panchayat tidak boleh dibincangkan di rumah.


Namun begitu, saya telah cuba mengawal hati saya kerana saya begitu yakin bahawa Raja Attan tidak bersalah. Saya telah benar-benar pasti bahawa Raja Attan akan datang untuk membersihkan nama baik keluarganya yang cuba dicemarkan oleh Sitambaram dan rakan-rakannya. Saya telah benar-benar pasti.


Tapi kini siapa yang akan membersihkan nama Raja Attan?


Raja Attan sudah tiada. Raja Attan sudah tiada. Raja Attan sudah tiada. Suara hati itu terus bergema dalam fikiran saya. Saya cuba menafikannya. Tapi bukankah menafikan kematian bermakna kita menafikan kuasa Tuhan? Bukankah Tuhan memiliki kuasa mutlak ke atas hidup hamba-Nya.


Raja Attan sudah tiada. Suara itu bergema lagi. Saya cuba berlari masuk ke dalam rumah untuk menatap sendiri wajah Abang Raja. Tapi saya rasakan tubuh saya terlalu penat dan sudah tidak bermaya. Saya rasakan diri saya jatuh dari pegangan emak. BERSAMBUNG MINGGU DEPAN



Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 9 Julai 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 10 Mac 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)