9 Nov 2011

Interlok di Tamil Nesan

Pada pagi 9 November 2011, saya diberikan senaskhah akhbar Tamil Nesan bertarikh 31 Oktober 2011.

Tajuk utama (terjemahan) adalah “Interlok: Bahaya Calon Gagal dalam SPM”.


Salinan akhbar itu diberikan kepada saya memandangkan foto saya turut disiarkan di muka depan, bersama-sama ahli lain yang menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid.


Foto berkumpulan itu bertarikh 4 Mac 2011 dan pernah disiarkan di sebuah portal berita (rasa-rasanya di Malaysiakini).


Apa pun, berita yang disiarkan di akhbar Tamil Nesan pada 31 Oktober 2011 tidak ada apa-apa kaitan dengan Panel Bebas.


[Sila KLIK DI SINI untuk membaca pandangan saya bertajuk “SPM 2011 Tanpa Interlok” seperti disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 Ogos 2011.]


Sebaliknya Tamil Nesan menyiarkan kenyataan seorang individu yang mendakwa dirinya salah seorang ketua/pemimpin dalam National Interlok Action Team (NIAT).


Di pihak saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), kami hanya akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi – tentunya menerusi blog ini – hanya selepas kami menerima dan meneliti naskhah novel Interlok Edisi Murid yang sudah dimurnikan dan dicetak semula sebagaimana dijanjikan Menteri Pelajaran pada 24 Mac 2011 di Dewan Rakyat.


Sementara itu, para pelajar, guru, ibu bapa dan orang ramai dialu-alukan menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan senarai lengkap 106 pindaan yang diperakukan secara konsensus oleh Panel Bebas pada 4 Mac 2011 serta dipersetujui Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Mac 2011.


Apabila naskhah baru novel Interlok Edisi Murid yang sudah dimurnikan dan dicetak semula diterima oleh pelajar, maka bolehlah disemak berdasarkan senarai itu bagi memastikan sendiri sama ada kesemua 106 pindaan sudah dilakukan seperti dipersetujui dan dijanjikan.