24 Oct 2011

Diwali dan Reformasi Minda

Bahagian Empat. Tidak salah juga jika Deepavali diterima sebagai perayaan bagi semua; dengan erti kata, rakyat pelbagai kaum ikut serta dalam sambutan Deepavali.

Misalnya, rakan-rakan pelbagai kaum bekerjasama membuat perhiasan atau memasak juadah. Suasana seperti inilah yang akan membantu ke arah proses pembentukan sebuah Bangsa Malaysia yang sama-sama kita impikan. Atau istilah yang digembar-gemburkan sekarang adalah “1Malaysia”.

Kita tidak harus menganggap Deepavali sebagai perayaan berciri keagamaan per se. Sebaliknya, tonjolkan unsur-unsur adat dan budaya yang terkandung di dalamnya. Galakkan rakan-rakan pelbagai kaum dan budaya untuk turut serta dalam membuat persediaan bagi perayaan. Libatkan mereka dalam perayaan.


Dari sudut yang lain pula, tidak perlulah kita tunggu sehingga tiba musim perayaan untuk mengamalkan persefahaman antara kaum atau untuk bercakap mengenai kebaikan dan kasih sayang.


Kita perlu faham bahawa Deepavali diraikan sebagai simbol kejayaan Kebaikan menentang Kejahatan. Jika kita mampu menundukkan Kejahatan/Kegelapan dengan Kebaikan/Cahaya, maka tidak perlu tunggu sehingga bulan Aipasi untuk meraikan Kemenangan itu. Jadikan setiap hari dalam hidup ini sebagai sambutan Diwali penuh simbolik.


Pasti sahaja pandangan yang saya kemukakan di sini membuatkan ramai pihak marah. Tidak mengapa. Perasaan “marah” itulah Kegelapan dan Kejahilan yang perlu dilawan dengan Cahaya dan Kesedaran.


Mari kita bersama-sama melakukan reformasi minda, jika perlu, untuk mengatasi kejahilan, kejahatan, kegelapan serta segala unsur negatif dalam diri yang menghalang pembentukan insan mulia dan Bangsa Malaysia.


Dan jangan lupa menghayati makna sebenar Deepavali sebelum mula menyibukkan diri membuat persiapan dan menyambut Deepavali.


(Artikel “Diwali Perlukan Reformasi” ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Oktober 2009. Disiarkan semula di blog ini pada 21-24 Oktober 2011 sempena sambutan Deepavali pada 26 Oktober 2011.)