Tuesday, 15 March 2011

Rumah di Perpustakaan

Saya sering berkunjung ke Perpustakaan Raja Tun Uda yang terletak bersebelahan dengan Wisma MBSA dan Muzium Alam Shah di Persiaran Bandar Raya, Shah Alam sejak 2003. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) juga mengadakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di situ.
.

Bermula 1 Mac 2011, perkhidmatan perpustakaan itu ditutup sepenuhnya berikutan proses perpindahan ke bangunan baru serba canggih di Seksyen 13 Shah Alam.

.

Sebelum ini, walaupun peminjaman buku dihentikan sejak 1 Disember 2010, jumlah pengunjung ke perpustakaan di bawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) masih amat menggalakkan.

.

Apatah lagi, terdapat kafe yang dibuka dari awal pagi hingga petang di luar pintu masuk perpustakaan. Sebenarnya, di sanalah saya turut selalu melepak sambil minum, makan, berjumpa rakan-rakan, mengadakan perbincangan, membaca, menulis dan melayari internet.

.

Oh, ya! Khidmat WiFi percuma turut tersedia di situ dan menjadi antara tarikan utama kepada pengunjung; khususnya generasi muda.

.

Segala kemudahan dan wajah baru ini adalah berikutan penjenamaan semula PPAS pada Mei 2009 di bawah pimpinan pengarah baru, Puan Mastura Muhamad.

.

Semasa taklimat khas kepada media di Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 25 Februari 2011, beliau menerangkan perancangan yang diatur dalam usaha menjadikan Perpustakaan Raja Tun Uda sebagai “rumah kedua” yang menjanjikan pengalaman menamba ilmu secara amat menyeronokkan bagi pengunjung dewasa, remaja dan kanak-kanak.

.

“Pendaftaran menjadi ahli masih percuma kerana kami sebagai agensi kerajaan terpanggil untuk mendidik anak-anak bangsa mengalami perubahan hati, minda dan sikap ke arah yang positif, selaras didikan semua agama,” katanya.

.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan menggunakan multimedia dan penjelasan yang diberikan, perpustakaan baru enam tingkat di hadapan Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjanjikan kemudahan yang canggih dan selaras perkembangan semasa.

.

Selain daripada bahan-bahan bacaan yang sesuai bagi kanak-kanak di tingkat bawah, remaja di tingkat satu dan dewasa di tingkat dua, perpustakaan baru ini turut menyediakan gimnasium mini untuk kegunaan kakitangan dan pengunjung.

.

Menurut Puan Mastura, kemudahan theatrette, dewan seminar dan bilik-bilik mesyuarat di bangunan baru itu memungkinkan sepuluh acara dikendalikan sekali gus untuk orang ramai.

.

Kemudahan WiFi dan komputer multimedia yang disediakan di setiap tingkat juga pasti menarik kunjungan orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

.

Bagaimanapun, suatu persoalan besar yang turut ditimbulkan beberapa wakil media yang menghadiri sesi taklimat adalah mengenai kedudukan bangunan baru ini yang amat jauh berbanding bangunan lama.

.

Bagi mengatasi masalah ketiadaan kemudahan perkhidmatan bas awam yang melalui kawasan perpustakaan baru itu, PPAS mungkin menyediakan perkhidmatan van dari sekitar Kompleks PKNS dan Muzium Alam Shah ke bangunan baru itu apabila ia mula beroperasi nanti.

.

Suatu perkara yang menarik perhatian adalah bahawa sebenarnya terdapat satu laluan yang lebih dekat dan menjimatkan masa untuk ke bangunan baru perpustakaan ini sekiranya menggunakan suatu jalan berdekatan Hotel Concorde.

.

Bagaimanapun, khabarnya penduduk di kawasan perumahan berpagar (gated community) di kawasan terbabit tidak membenarkan laluan itu dibuka kepada umum.

.

Alasan dan hujah yang mereka berikan adalah bahawa mereka memilih untuk tinggal di kawasan itu atas aspek keselamatan yang dijanjikan menerusi gated community. Sekiranya laluan orang ramai dibuka merentasi kawasan perumahan berpagar itu, maka mereka bakal kehilangan aspek keselamatan itu.

.

Hujah mereka adalah berasas dan tidak boleh dipertikaikan. Bagaimanapun, pasti akan ada jalan penyelesaian dan kompromi antara semua pihak yang terbabit dalam isu ini jika pertemuan dan dialog diadakan bagi membincangkan perkara ini secara terbuka dan dari hati ke hati.

.

Pada masa sama, satu lagi cabaran yang dihadapi PPAS adalah untuk menarik lebih ramai penduduk, khasnya warga Shah Alam, menjadi ahli perpustakaan dan mempelawa mereka menjadikan perpustakaan sebagai “rumah kedua” untuk menimba ilmu.

.

Sementara Perpustakaan Raja Tun Uda ditutup bermula 1 Mac 2011 hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, kesemua 94 perpustakaan daerah dan desa di seluruh negeri Selangor masih dibuka dan beroperasi seperti biasa.

.

Kemudahan WiFi di kawasan kafe bangunan lama perpustakaan itu khabarnya masih boleh diakses secara percuma. Bagaimanapun, kafe yang diusahakan pasangan warga Indonesia sudah ditutup.

.

Maka, tidak mustahil bahawa kumpulan pelajar, remaja dan orang ramai yang tetap setia berkunjung ke kafe perpustakaan itu akan mula berkurangan sedikit demi sedikit.

.

Akhirnya, apabila bangunan baru perpustakaan dibuka di Seksyen 13, PPAS berdepan cabaran lebih besar untuk menarik semula “pengunjung lama” selain berusaha mendekati “pengunjung baru”.

.

Tentu sahaja di bawah pimpinan Puan Mastura, kakitangan PPAS perlu bekerja lebih keras untuk berdepan pelbagai cabaran yang disebutkan di atas serta banyak lagi cabaran baru yang mungkin belum dapat dibayangkan.

..

(© Uthaya Sankar SB 2011. Disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 14 Mac 2011 sebelum didokumentasikan di blog ini pada 15 Mac 2011.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!