19 Nov 2010

Sesi Bercerita Tribahasa

Kanak-kanak bukan kaum Cina yang belajar di sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, kanak-kanak bukan kaum India yang belajar di SJK Tamil serta kanak-kanak bukan Melayu yang fasih Bahasa Malaysia dipelawa mengambil bahagian dalam ‘Sesi Bercerita Tribahasa’ sempena Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur (PBKKL) pada Disember ini.
.

Pengurus Penerbitan One Nusantara, Lee Yoke Chan berkata, aktiviti itu bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak dalam bercerita menggunakan bahasa selain bahasa ibunda.

.

“Secara tidak langsung, acara ini menampilkan semangat 1Malaysia di mana kanak-kanak pelbagai kaum menunjukkan kebolehan bercerita dalam pelbagai bahasa,” katanya kepada selepas majlis prapelancaran PBKKL di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 11 November 2010.

.

Katanya, memang ramai kanak-kanak yang fasih bertutur bahasa selain bahasa ibunda dan sesi bercerita ini membuka ruang untuk mereka mempertontonkan kebolehan itu kepada khalayak umum.

.

PBKKL anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia serta Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) akan berlangsung pada 22-26 Disember 2010 di Dewan Tun Abdul Razak, PWTC.

.

Maklumat lanjut mengenai Sesi Bercerita Tribahasa boleh didapati dengan menghubungi Yoke Chan di talian 012-3279846 manakala senarai lengkap aktiviti sepanjang PBKKL boleh dirujuk di www.kualalumpurchildrenbookfair.com

..

(Sinar Harian edisi Selangor/KL, 19 November 2010)