Filem ini arahan dan terbitan Clint Eastwood manakala skrip ditulis oleh Anthony Peckham berdasarkan buku Playing the Enemy: Nelson mandela and the Game That Changed a Nation (2008) tulisan John Carlin. Morgan Freeman memegang watak Nelson Mandela manakala Matt Damon memegang watak Francois Pienaar, ketua pasukan ragbi Afrika Selatan.
Sekitar sepuluh minit selepas mula menonton filem ini, saya berfikir: betapa bertuah negara India kerana (pernah) memiliki Mahatma Gandhi dan betapa bertuah Afrika Selatan kerana memiliki Nelson Mandela.
Saya suka menonton filem Gandhi (1982) pada 2 Oktober sempena tarikh kelahiran Mahatma Gandhi; dan mulai tahun ini, nampaknya saya akan menonton Invictus pada 18 Julai sempena tarikh kelahiran Nelson Mandela.
Filem ini mampu menyentuh jiwa dan perasaan – heart and soul – kerana mengisahkan perjuangan seorang insan selepas 27 tahun berada dalam penjara; lalu tampil melakukan perubahan.
“Andalah yang harus menjadi perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.” Kata-kata Mahatma Gandhi amat sesuai dengan apa yang dilakukan Nelson Mandela; dengan tumpuan khusus pada filem Invictus.
Tentu sahaja permasalahan yang dipaparkan dalam filem ini boleh juga dibandingkan dengan realiti di Malaysia. Konsep “ketuanan” golongan tertentu masih ketara kerana mereka tidak dapat menerima hakikat perubahan yang berlaku; iaitu bahawa seorang lelaki “kulit hitam” menjadi Presiden Afrika Selatan.
Nelson Mandela mengimpikan “Rainbow Nation” serta memulakan kempen “One Team, One Country”. Benar, konsep “satu” bukan sesuatu yang baru wujud pada April 2009 seperti dipercayai kebanyakan tukang sorak di negara tertentu.
Dipaparkan secara begitu bersahaja bagaimana konsep “ahimsa” yang menjadi pegangan Mahatma Gandhi turut menjadi amalan Nelson Mandela. Insan mulia seperti mereka mampu memberi inspirasi kepada umat manusia; bukan seperti Badut Paul Lathic yang hanya pandai berkata-kata demi kepentingan peribadi dan kelompok sendiri.
Apabila diberi peringatan “You’re risking your future as our leader” Nelson Mandela menjawab begini: “The day I am afraid to do that (risk my future as your leader) is the day I am no longer fit to lead”.
Pernah berlaku dalam sejarah negara kita di mana Ahli Parlimen pergi ke Finas untuk menonton filem Lelaki Komunis Terakhir yang dikatakan “lemah dari aspek sinematografi”. Saya sarankan supaya Ahli Parlimen dibawa semula ke Pawagam Mini P Ramlee di Finas untuk menonton filem Gandhi dan Invictus supaya mereka tahu apa yang dimaksudkan dengan “pemimpin”.
(Bukan kerana saya mengharapkan atau mengimpikan mereka menjadi “pemimpin” tetapi semata-mata supaya mereka tahu apa yang dimaksudkan dengan “pemimpin”.)
Suasana politik dan sosial yang wujud di Afrika Selatan sebaik Nelson Mandela menjadi Perdana Menteri pada 10 Mei 1994 boleh juga dibandingkan dengan suasana politik di Selangor, Pulau Pinang, dan Kedah (serta Perak, secara teknikal) selepas Pilihan Raya Umum 2008. Mungkin kerajaan negeri – serta pembangkang di negeri berkenaan –boleh turut memperuntukkan masa mengambil inspirasi daripada Gandhi dan Invictus.
Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela adalah pemimpin yang memberi inspirasi kepada seluruh rakyat – tanpa mengira warna kulit, agama, kaum dan etnik – sekali gus tampil sebagai individu yang mampu memberi inspirasi kepada seluruh umat manusia.
Filem Invictus bermula dengan kisah Nelson Mandela dibebaskan dari penjara pada 11 Februari 1990 dan berakhir dengan kejayaan pasukan Afrika Selatan menjuarai Kejohanan Ragbi Piala Dunia 1995; iaitu 15 tahun sebelum Afrika Selatan sekali lagi membuktikan kemampuan dengan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010.
Mahatma Gandhi terus menjadi “pemimpin” walaupun beliau tidak pernah menjadi Perdana Menteri India. Nelson “Madiba” Mandela tetap menjadi “pemimpin” walaupun beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri Afrika Selatan. Begitu juga Mother Theresa (26 Ogos 1910 – 5 September 1997).
Mohanadas Karamchand Gandhi (2 Oktober 1869 – 30 Januari 1948) diberi gelaran “mahatma” (great soul) oleh Rabindranath Tagore (7 Mei 1861 – 7 Ogos 1941). Sukar untuk dipercayai bahawa seorang mahatma pernah benar-benar berjalan di muka Bumi. Namun, kehadiran seorang lagi mahatma di Afrika Selatan membuktikan bahawa keajaiban masih wujud.