21 Mar 2010

Mandarin Twist

Cerpen “Orang Pulau” (Siru Kambam, 1996) pernah diterjemah ke Bahasa Mandarin oleh Dr Chong Fah Hing dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk disiarkan di akhbar Sin Chew Jit Poh pada 14 April 2002. Turut disiarkan, sebuah rencana tulisan Chong Fah Hing mengenai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
..

Terima kasih kepada Tan Chee Keong, Dr Chong Fah Hing dan Too Wei Keong atas budi baik kerana memberikan saya keratan akhbar berkenaan bagi tujuan dokumentasi. Satu saya bingkaikan di gantung di dinding rumah!

..

Maklumat berikut adalah berdasarkan rencana dalam akhbar Sin Chew Jit Poh (14 April 2002) yang diterjemah dan dikirim kepada saya melalui e-mel oleh saudara Tan Chee Keong:

.
Sebanyak dua muka surat mengenai dua orang penulis Kesusasteraan Bahasa Malaysia kaum India (Uthaya Sankar SB dan Saroja Theavy a/p Balakrishnan) direncanakan untuk tatapan para pembaca Sin Chew Jit Poh keluaran 14 April 2002.
.

Karya Uthaya – “Orang Pulau” - dipaparkan di bahagian atas sebelah kiri. Wawancara Uthaya dengan penyusun merangkap penterjemah – Chong Fah Hing – pula disiarkan di bahagian bawah.

.

Antaranya, Uthaya mengatakan bahawa kemunculan sekumpulan penulis kaum India pada 80-an dan 90-an mula kelihatan mengatasi taraf beberapa penulis kaum Melayu dalam penulisan kesusasteraan kebangsaan.

.
Walau bagaimanapun, ada penulis Melayu yang rasa bangga terhadap pencapaian Uthaya; ada pula yang cemburu. Uthaya juga tidak menafikan bahawa beberapa tahun belakangan ini, ada orang cuba menafikan hak warganegara Malaysia untuk menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”. Bagi Uthaya, penulis-penulis kaum India dipinggirkan lantaran tumpuan karya-karya mereka berkecenderungan terhadap masyarakat India.
.
Uthaya menjelaskan bahawa sejak 1999, karya-karyanya tidak disiarkan di media awam kerana dia hendak meluahkan bantahannya terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menafikan haknya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan Malaysia.
.
Walau bagaimanapun, karya Uthaya masih muncul dalam New Strait Times kerana akhbar Inggeris itu mengiktirafkan kewujudan iatilah “Bahasa Malaysia” dan sejak 2001, Uthaya menggunakan wang sendiri untuk menerbitkan karya-karyanya untuk meneruskan perjuangan “Bahasa Malaysia” – Sasterawan Pulau Cinta, Vanakam dan Panchayat diterbitkan sendiri oleh beliau.
.
Di sebelah kanan (bahagian atas), Chong Fah Hing pula menggalurkan sejarah para penulis India, khususnya mengenai latar belakang Uthaya dan Saroja serta karya-karya mereka.
.

Sungguhpun demikian, dalam rumusan rencana itu, Chong Fah Hing mengkritik bahawa walaupun karya Uthaya juga bertemakan masyarakat India atau sengaja menonjolkan latar belakang orang India setempat, tetapi oleh kerana Uthaya bermatlamat mengasaskan satu “Bangsa Malaysia”, maka mahu tidak mahu, terpaksa mengulangi cerita lama seperti keharmonian kaum dan isu (perselisihan) kaum menjadi kurang penting.

.
Misalannya, pada hujung cerita “Orang Pulau”, jelas memperlihatkan ciri berdilema karya kesusasteraan kaum minoriti, terutamanya setelah zaman penjajahan. Pada hemat Chong Fah Hing, hal ini berkaitan dengan latar belakang pendidikan Uthaya yang dikongkong sistem kesusasteraan rasmi.
.
Walau bagaimanapun, memandangkan Uthaya secara terbuka mengisytiharkan pemisahannya daripada sistem berkenaan, Chong Fah Hing berharap Uthaya dapat melakukan sesuatu dalam hal ini pada masa hadapan.
.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca wawancara asal Chong Fah Hing bersama Uthaya Sankar SB melalui e-mel pada 22 Mac 2002.