30 Sept 2009

Cikgu Arunegeri dan Rakan-rakan

Rakan sebilik saya ialah Cikgu Arunegeri Thannimalai, seorang guru di SMK Jalan Oya, Sibu. Melalui beliau, saya mendapat gambaran agak menyeluruh mengenai masyarakat pelbagai kaum/etnik di Sibu.

Juga mengenai isu-isu berkaitan golongan pelajar di sekolah-sekolah luar bandar, khususnya di Sibu.

Cikgu Arun turut memperkenalkan saya kepada beberapa rakan kaum India yang bekerja sebagai polis di Sibu. Melalui perbualan santai bersama Thana dan Navin, banyak maklumat baru yang saya terima.

Menurut Cikgu Arun, Thana dan Navin, memang tidak ramai kaum India di Sibu. Kebanyakan yang ditemui adalah sama ada guru, polis, tentera, peniaga atau doktor.

Pada sebelah malam 30 September 2009, Puan Norhayati Razali (Penolong Pengarah, Urus Setia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia) mengendalikan sesi “ice-breaking” bagi kesemua peserta dan guru pengiring.

Saya tidak melepaskan peluang untuk turut serta! Bagi saya, kehadiran saya ke Sibu biarlah bukan sekadar untuk mengendalikan sesi bengkel selama empat jam dan kemudian membuat kerja sendiri.

(Dan tentu sahaja saya tidak melepaskan peluang merakam foto untuk dimuatkan di Facebook untuk tatapan rakan-rakan.)

Saya mula-mula mengenali Puan Norhayati melalui Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). Kemudian, kami bertemu beberapa kali; mungkin kerana mempunyai impian dan minat yang sama dalam mengembangkan budaya membaca dan menulis.

Malah, semasa beliau mengendalikan sesi “ice-breaking” itu sendiri, dapat saya perhatikan bagaimana beliau amat berminat dan bersemangat dalam menjayakan Aktiviti Pengembangan Budaya Membaca.

Selesai acara, saya bersama-sama Cikgu Arun, Thana dan Navin meronda Sibu sambil saya didedahkan dengan pelbagai lagi kisah dan cerita mengenai masyarakat di sini.