18 Jul 2009

Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia

Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) akan membangunkan “pangkalan data” atau “database” mengenai penggiat dalam industri buku; khususnya penulis, ilustrator dan penerbit.

Presiden MBBY, Datin Paduka Hajah Shahaneem Hanoum berkata, “pangkalan data” itu nanti akan membantu merancakkan industri buku kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-5 MBBY di Perpustakaan Kuala Lumpur pada pagi 18 Julai 2009.

Pangkalan data itu nanti akan membantu mengumpulkan para “pakar bidang” di bawah suatu bumbung supaya boleh saling bekerjasama; selain memudahkan pihak lain menghubungi mereka.

MBBY juga aktif mempromosi sambutan “Hari Buku Kanak-kanak Sedunia” yang diraikan pada peringkat antarabangsa pada tarikh 2 April. Kempen berterusan yang dilakukan ternyata membuahkan hasil kerana kini lebih ramai penduduk Malaysia menyedari tentang tarikh sambutan itu.

Sementara itu, Naib Presiden MBBY, Ahmad Redza Ahmad Khairuddin menegaskan bahawa buku-buku yang dihasilkan oleh pengarang Malaysia dalam Bahasa Malaysia tidak semestinya diterjemah ke Bahasa Inggeris untuk membolehkannya diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Susah ada terlalu banyak bahan bacaan kanak-kanak dan remaja dalam Bahasa Inggeris. Apa yang dicari oleh peminat dan penggiat buku luar negara adalah buku dalam Bahasa Malaysia yang menceritakan keunikan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara kita,” katanya.

Dalam Pemilihan Jawatankuasa Induk MBBY 2009-2011, Datin Paduka Hajah Shahaneem Hanoum dan Ahmad Redza Ahmad Khairuddin mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai MBBY.