2 Jun 2009

Alahai, Sasterawan Negara!

Semalam (1 Jun 2009) saya menulis mengenai Sasterawan Negara. Hari ini (2 Jun 2009) masih lagi mengenai Sasterawan Negara.

Akan tetapi, dari perspektif yang berbeza.

Bukan lagi mengenai cadangan dan saranan supaya Prof Madya Dr Lim Swee Tin diiktiraf sebagai Sasterawan Negara. [BACA DI SINI]

Sebaliknya tentang “nasib” Sasterawan Negara yang sedia ada – dan telah tiada.

“Kebajikan” karya dan diri Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dijaga oleh Wira Bukit Sdn Bhd; manakala “kebajikan” karya Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang dijaga oleh UA Enterprises Sdn Bhd.

Kebetulan – dan bernasib baik kerana – saya mengenali individu yang menguruskan kedua-dua syarikat berkenaan.

Saya melihat – dan lebih banyak “merasakan” – kesukaran yang dialami oleh “pemegang amanah” seperti Encik Helmy Samad, Puan Haslina Usman dan Encik Abdul Rahim Affandi dalam menjaga khazanah negara yang secara tidak langsung dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Daripada apa yang saya perhatikan, tidak ada pula pihak berwajib – dan tentunya di sini saya merujuk secara khusus pada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dipertanggungjawabkan dengan Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara” – melakukan apa yang sepatutnya dan seharusnya dilakukan bagi menjaga “kebajikan” para Sasterawan Negara dan karya-karya mereka.

Setahu saya, antara “hak” (penghargaan dan penghormatan) para Sasterawan Negara termasuk juga:

a) Kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta.
b) Kemudahan untuk penerbitan karya.
c) Kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaa.

Mungkinkah kerana sudah ada Wira Bukit Sdn Bhd dan UA Enterprises Sdn Bhd, maka DBP boleh bersikap “lepas tangan” terhadap tanggungjawab menjaga “kebajikan” Sasterawan Negara dan karya-karya mereka?

Apatah lagi apabila hak cipta bagi karya-karya Pak Samad dan Arwah Usman Awang dipegang (kesemuanya atau sebahagiannya) oleh Wira Bukit Sdn Bhd dan UA Enterprises Sdn Bhd.

Mungkin saya perlu bertanya “nasib” yang [sedang] dialami oleh para Sasterawan Negara lain berhubung soal “kebajikan” diri dan karya mereka.