17 May 2009

Undangan Terbuka Kepada PM

Belakangan ini, saya selalu membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri bahawa YAB Perdana Menteri sesungguhnya mahu menjadi Perdana Menteri kepada semua – tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

Ada dilaporkan di pelbagai media tempatan bahawa YAB Perdana Menteri bersedia untuk mengesampingkan protokol dan formaliti; asalkan dapat bertemu dan meluangkan masa bersama-sama Rakyat.

Malah, YAB Perdana Menteri juga menyertai sambutan Vaisakhi pada April 2009 dan Wesak pada Mei 2009.

Sebagai seorang individu yang sentiasa berfikiran kritis dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik, teringin juga saya untuk merasai sendiri kebenaran dan keikhlasan pada segala kenyataan yang dikeluarkan dan disiarkan di media tempatan.

Apa kata saya mengundang YAB Perdana Menteri ke majlis pelancaran Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia pada Jun atau Julai 2009?

Saya percaya, sebagai seorang Rakyat, saya berhak mengundang seorang pemimpin yang berjiwa Rakyat bagi membuktikan kenyataan itu.

Kebetulan, saya memang masih dalam proses mencari seorang tokoh berjiwa “Bangsa Malaysia” (Satu Malaysia?) untuk menyempurnakan majlis pelancaran kumpulan cerpen saya.

Kalau YAB Perdana Menteri terlalu sibuk dengan pelbagai urusan lain bertemu Rakyat, TPM pun jadilah.

Atau seorang Uthaya Sankar SB tidak termasuk dalam senarai prioriti YAB Perdana Menteri dan TPM?