Monday, 9 March 2009

Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia

Selesai waktu bertugas di Bilik Operasi Unit Bencana RTM pada pukul 8:00 pagi, 8 Mac 2009 – genap setahun tsunami politik melanda negara – saya segera ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kerana tidak mahu terlewat menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dan Majlis Penjenamaan Semula Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia.

Seperti yang sepatutnya telah saya duga, mesyuarat yang dijadualkan pada pukul 8:30 pagi hanya bermula pada pukul 10:45 pagi; selepas hadirin bersarapan dan berbual-bual serta saling berkenalan.

Pada saat akhir, Presiden Kebangsaan Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia, Encik M. B. Selan meminta saya menjadi pengacara majlis; suatu tugas yang sebenarnya tidak sukar, lalu saya laksanakan dengan gembira.

Setiausaha Kebangsaan, Encik Saravanan menyampaikan ucapan alu-aluan di hadapan sekitar 15 Ahli Majlis Tertinggi yang hadir dari seluruh negara.

Timbalan Presiden Kebangsaan, Dr Thiagaraj Sivanandam pula dalam ucapan beliau menyentuh mengenai harapan pertubuhan agar Aswara menghulur bantuan serta membuka peluang kepada belia kaum India amnya dan ahli Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia khasnya untuk meneruskan pengajian di Aswara.

Pengarah Bahagian Kualiti dan Polisi Akademik Aswara, Encik Mohd Amir Hakim Mohd Yusof semasa ucapan perasmian Majlis Penjenamaan Semula Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia berkata, terdapat pengambilan pelajar Diploma dan Sarjana Muda pada Julai 2009 dan tarikh tutup adalah pada 30 April 2009. [Maklumat di sini]

Maka, kini, peluang dan ruang sudah diberikan; terpulang kepada belia kaum India menggunakan sebaik-baiknya ruang dan peluang ini. Encik Mohd Amir turut mengakui bahawa jumlah pelajar kaum India di Aswara adalah amat sedikit walaupun maklumat ada disiarkan di dua akhbar utama Bahasa Tamil.

Perasmian Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia pula disempurnakan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Nik Muhamad Faiszulikwan Mohammad.

Beliau menjelaskan bahawa JKKN menyediakan bantuan kewangan melalui “skim kebudayaan”, selain memberi peluang membuat persembahan kebudayaan di dalam dan luar negara.

Dalam ucapannya, Ketua Perhubungan Negeri Sembilan, Encik P. Manimaran pula menyentuh mengenai pentingnya penyebaran maklumat mengenai peluang di Aswara dan JKKN kepada masyarakat India.

Sepanjang mesyuarat, Encik M. B. Selan banyak berkongsi pengalaman pahit-manis beliau mengemudi pertubuhan ini sejak sekian lama. Beliau juga mengharapkan kerjasama padu daripada semua Ahli Majlis Tertinggi bagi memantapkan pertubuhan.

Perancangan juga dibuat untuk menambah ahli pertubuhan pada peringkat negeri.

Peneraju berpengalaman dari THR Raaga, “Anbulla” Maaran pula menekankan aspek promosi dan publisiti untuk menarik minat golongan seniman dan budayawan kaum India pada pelbagai peringkat umur di seluruh negara supaya menyertai pertubuhan ini.

Tarikh-tarikh bagi Mesyuarat Penubuhan dan Majlis Pelancaran Pertubuhan Peringkat Negeri juga ditetapkan dari 4 April hingga 3 Mei 2009.

Turut dibincangkan perancangan aktiviti 2009 di mana aktiviti-aktiviti akan dibahagikan mengikut negeri supaya tidak berlaku pertindihan dari segi tarikh dan jenis aktiviti.

Majlis penutupan serba ringkas disempurnakan sekitar pukul 6:30 petang oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Kreatif JKKN, Encik Hasryn Izzuddin Mohd Khairy.

Foto-foto yang dirakam semasa majlis ini boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai “rakan” boleh mengakses ke “album foto” yang disediakan.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!